Nabi Muhammad Serupa Kita?


Bismillaahirrahmaanirrahim

Segenap pujian bagi Allah Azza Wa Jalla tuhan yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana. Yang Kaya ia daripada tiap-tiap yang lain dan berkehendak oleh tiap-tiap yang lain itu kepadanya. Lagi yang bersifat ia dengan tiap-tiap sifat kesempurnaan dan Maha Suci ia daripada bersifat dengan sifat kekurangan. Pencipta Alam ‘Uluwi yang bertingkat-tingkat dan Alam Sufli yang bertingkat-tingkat. Pencipta Syurga dan Neraka yang berlainan tingkatannya. Pencipta makhluk dengan berbagai mertabatnya.

Solawat serta Salam ke atas Junjungan kita Nabi Muhammad s.a.w. Sebaik-baik kejadian, padanya adalah kerahmatan kepada sekalian alam, kekasih yang dikasih, Cahaya bagi segala cahaya-cahaya, Rahsia bagi segala rahsia-rahsia. Penghulu di dunia dan Raja di akhirat. Dan ke atas keluarga baginda dan para sahabat baginda.

Wahai ikhwan!…

Jika ada sesiapa (Muslim atau Non-Muslim) yang mewatakkan paras rupa baginda Rasulullah, samada berbentuk karikatur, visual atau arca. Atau disamakan dengan seseorang seperti Rasulullah itu sama dengan Gautama Buddha, atau Confucius atau Hitler. Hatta disamakan atau dibandingkan dengan nabi-nabi lain sekalipun seperti Nabi Muhammad sama macam nabi Yusuf atau Nabi Yusuf lebih cantik dari Nabi Muhammad, maka telah ijma’ seluruh ulama dari ke empat-empat mazhab menghukumkan HARAM. Kalau seorang Muslim yang melakukannya boleh menggugurkan syahadat, wajib bertaubat dan memperbaharui mengucap dua kalimah syahadat. Kalau Non-Muslim yang melakukan maka wajib diperangi.

Kalaulah seseorang datang kepada kita dan berkata “Kamu ni macam Firaun”, atau “Kamu ni macam Abu Lahab”… apa reaksi anda? Adakah anda mengiakan tohmahan sahabat anda itu dengan alasan Firaun atau Abu Lahab itukan manusia serupa kita jua. Namun saya berpendapat  tentu sekali anda menafikan dengan mengemukakan hujah anda. Atau sahabat anda itu membandingkan orang yang anda sayangi seperti katanya “Tuan Guru Nik Aziz (maaf Tuan Guru) tu serupa je macam Najib” … Saya rasa kalau tak mata sahabat anda lebam, mungkin rumah sahabat anda tu kena baling telur busuk. Atau mungkin anda panjang akal dan menafikan dengan mengemukan hujah anda bahawa Tuan Guru Nik Aziz dan Najib tak serupa, jauh panggang dari api.

Mungkin anda mempunyai sebuah keluarga yang besar, katakan anak dari isteri pertama anda berjumlah 10 orang, 5 lelaki dan 5 perempuan. Isteri kedua anda melahirkan 9 orang anak, isteri ke 3 anda ada 8 orang anak dan isteri ke 4 anda ada 4 orang anak yakni kembar empat, 2 lelaki dan 2 perempuan.  Anda sebagai bapa kepada 31 orang anak akan mendapati kesemua anak-anak anda tidak sama dari segi fizikal atau keperibadian. Begitu juga kembar 4 dari isteri ke empat anda, walaupun seakan-akan serupa wajah-wajah kembar tersebut namun tidak sama dan ada perbezaan raut wajah mereka. Ini adalah kekayaan dan kebesaran Allah Taala mengadakan makhluk dan hambanya dengan sifat yang bersalahan semenjak nabi Allah Adam a.s. hingga sekarang.

Kita manusia ini ada mempunyai sifat persamaan dari sudut Biologi Kemanusiaan, seperti anatomi tubuh badan, dan sifat tabii seperti makan , minum, tidur, berpasangan, beranak pinak dan sebagainya. Walaupun sama dari sudut  biologi kepunyaan  seperti memiliki tangan , kaki, kepala, mulut, hidung dan sebagainya namun masih tidak sama dari segi aspek individual seperti rupa paras, bentuk besar, kecil, panjang , pendek, lebar, kurus, gemuk dan sebagainya. Lihatlah pada jari-jari tangan dan kaki anda, ibu jari tak sama dengan jari telunjuk, begitu juga dengan jari hantu, jari manis dan kelingking. Begitu juga ira-ira jari manusia.  Malahan mata kanan dan kiri anda pun tak sama.  Begitu juga sifat tabii yang lebih subjektif seperti selera, keinginan, kepandaian berfikir, kepercayaan, pegangan hidup dan sebagainya. Kalau kita pergi lebih terbuka yakni hubungan sesama manusia, kedudukan di dalam masyarakat, perbezaan pangkat, darajat, harta, keturunan seperti Tun , Syed, Tungku, Wan dan sebagainya memanglah berbeza. Begitu jugalah hubungan manusia dengan Yang Maha Pencipta, Allah Azza wa Jalla lagilah tidak sama antara seorang dengan seorang yang lain. Maka di dalam Quran Allah mengkelaskan golongan manusia mengikut mertabat mereka dengan Allah seperti Golongan Muqorrobin, Muttaqin,  Siddiqqin,  Mukhlisin, Muhsinin, ‘Abidin, ‘Alimin, Solihin dan sebagainya. Allah menyeru hamba-hambanya mengikut mertabat mereka begitu juga golongan engkar dan ma’asi dibezakan Allah daripada orang yang taat dengan panggilan seperti Kafirun, Musyriqun,  Munafiqun, Thoghut dan sebagainya.

Orang-orang yang jahil dan orang-orang yang ‘alim adalah mempunyai perbezaan yang sangat jauh, seperti maksud firman Allah:

“Di angkat oleh Allah orang-orang yang berilmu daripada kamu dan orang orang yang diberi ilmu dengan beberapa tingkat.” ( Al Mujadalah: 11)

Ibnu Abbas r.a mengatakan, “Untuk ulama beberapa tingkat di atas orang mukmin dengan 700 tingkat tingginya. Antara dua tingkat itu jaraknya sampai 500 tahun perjalanan.”

Saya mengemukakan dalil dan kiasan-kiasan di atas bagi membuka minda membetulkan salah anggap sesetengah golongan kita hari ini terhadap mertabat Nabi besar kita Sayyidina Muhammad sallallahi ‘alaihi wasallam. Anggapan-anggapan yang songsang seperti mengatakan:

  • Nabi Muhammad manusia serupa macam kita juga cuma dia dipilih oleh Allah menjadi Rasul.
  • Nabi Muhammad tu serupa macam Mat Mat yang lain juga, seperti Awang Mat, Adik Mat, seperti Mat-Mat kampung juga. Ibunya Aminah tak tahu pun Muhammad ini akan jadi Nabi.
  • Kita tak ada kene mengena dengan Nabi Muhammad sehinggalah umurnya 40 tahun.  Setelah menjadi Rasul baru kena mengena dengan kita.
  • Nabi Muhammad itu ibarat macam posmen,  tugas dia tukang bawak surat pada kita, yang penting ialah surat tu.
  • Marilah kita berfikir seperti mana Nabi Muhammad Berfikir.

Nabi Muhammad manusia serupa macam kita juga cuma dia dipilih oleh Allah menjadi Rasul.

Ungkapan di atas selalu kita dengar dan yang mengucapkannya bukanlah kalangan orang awam tetapi orang yang berilmu dan bertaraf Tuan Guru. Maka orang awam macam kita ini terikut-ikut memahami seperti itu jua tanpa menyedari dengan perkataan begitu telah merendahkan martabat Nabi Muhammad.  Kebanyakan mereka mengambil faham dari sepotong ayat Quran yang maksudnya  berbunyi:

Firman Allah :

“Katakanlah (wahai Muhammad): Sesungguhnya aku hanyalah seorang manusia seperti kamu, diwahyukan kepadaku bahawa Tuhan kamu hanyalah Tuhan Yang Satu; Oleh itu, sesiapa yang percaya dan berharap akan pertemuan dengan Tuhannya, hendaklah dia mengerjakan amal yang soleh dan janganlah dia mempersekutukan sesiapapun dalam ibadatnya kepada Tuhannya.
[Al-Kahf (18) : 110]

ANA BASYARUN MISTLUKUM bermaksud Aku bersifat Basyariah seperti kamu atau aku bertubuh badan manusia seperti kamu atau aku adalah BANGSA MANUSIA seperti kamu. Bersifat dengan sifat manusia seperti makan minum, tidur, sakit, sihat, berkeluarga, bermasyarakat, berekonomi, berpolitik dan sebagainya. Dan bukan bersifat dengan sifat Malaikat atau Jin. Kalaulah nabi itu bersifat dengan sifat Malaikat atau Jin  maka tidak ada satu manusia pun yang dapat menjadikan nabi tersebut sebagai ikutan.

Walaupun nabi itu Basyar seperti basyarnya manusia namun Darejat Basyariah nabi dengan Basyariah Manusia lainnya masih tidak sama. Nabi bertangan kita pun bertangan namun kearah mana tangan kita hendak kita gunakan memerlukan panduan atau tauladan dari nabi.  Begitu juga melihat, mendengar, berkata-kata, makan , minum, berpasangan, bermasyarakat dan sebagainya memerlukan suatu tauladan dan ikutan dari nabi.  Tentulah yang menjadi tauladan dan ikutan itu adalah yang terbaik peri kejadiannya, terbaik akhlaknya, terbaik basyarnya. Tanpa nabi tentu kita hidup seperti haiwan, makan apa sahaja, berkahwin dengan siapa sahaja, dengan ibu, dengan adik dan tidak ada istilah Sumbang Mahram. Kalaulah nabi itu serupa kita apa perlunya kita kepada nabi lagi?

Allah berfirman, maksudnya:

“Rasul-rasul itu Kami lebihkan sebahagian mereka atas sebahagian yang lain. Di antara mereka ada yang Allah berkata-kata (langsung dengan dia ) dan sebahagiannya Allah meninggikan beberapa derajat. Dan Kami berikan kepada Isa putera Maryam beberapa mukjizat serta Kami perkuatkan dia  dengan Ruhil Qudus.” (Al Baqarah: 253)

Dan firmannya lagi, maksudnya:

“Dan tuhan mu lebih mengetahui siapa yang ada di langit dan di bumi. Dan sesungguhnya telah kami lebihkan sebahagian nabi-nabi itu atas sebahagian (yang lain), dan kami berikan Zabur kepada Daud.” (Al Israa’ : 55)

Firman Allah di atas jelas sekali bahawa di antara para rasul-rasul, Allah telah mengurniakan mertabat yang berbeza-beza dan tidak serupa. Nabi Adam a.s. Allah mengurniakan pangkat Sofiyyallah, Nabi Ibrahim a.s. dengan pangkat Khalilullah, Nabi Musa dengan pangkat Kalimallah, Nabi Isa dengan pangkat Ruhillah dan Nabi besar kita Muhammad s.a.w. dengan pangkat yang tertinggi, termulia terbesar teragomg yakni HABIBALLAH atau KEKASIH ALLAH.

Kalaulah kita sesama manusia yang bukan nabi ini tidak mempunyai sifat persamaan dan di antara nabi-nabi pun mempunyai taraf yang berbeza mentelah lagi antara kita dengan nabi. Seperti batu dengan permata. Jadi mana bukti dan dalil mengatakan NABI MUHAMMAD SERUPA KITA JUGA?.

Nabi Muhammad Seperti Adek Mat, Awang Mat Seperti Mat-Mat Kampung?

Rentetan dari menganggap Nabi Muhammad macam kita juga maka keluarlah suara-suara pincang, cabul dan kurang ajar mengatakan Nabi Muhammad macam adik Mat, Awang Mat dan macam Mat-Mat kampung. Dan ibunya Aminah tidak tahu pun bahawa Muhammad ini akan jadi Nabi.

Allah berfirman yang maksudnya:

Janganlah kamu jadikan panggilan Rasul di antara kamu seperti panggilan sebahagian kamu kepada sebahagian (yang lain).” ( Al-Nur: 63)

Perlu ditegaskan di sini bahawa sebelum nabi kita itu zahir ke dunia ini TIDAK ADA SATU MAKHLUK PUN SAMADA DARI KALANGAN MALAIKAT, JIN ATAU PUN MANUSIA YANG BERNAMA “MUHAMMAD”. Nama Muhammad itu bukan ibunya yang beri nama, bukan datuknya Mutallib yang beri nama, tetapi Allah sendiri yang menamakan Muhammad itu. Muhammad bermaksud Yang Terpuji. Selain bernama Muhammad, Nabi mempunyai lebih kurang seratus nama-nama lain yang ada disebut di dalam Quran yang diharuskan untuk kita mengetahuinya.

Saidina Omar berkata, Rasulullah s.a.w. telah bersabda:

Maksudnya “Apabila Nabi Allah Adam a.s. melakukan kesilapan, baginda a.s. berkata: ya tuhanku, aku bermohon kepada dengan hak Nabi Muhammad s.a.w. akan keampunan bagiku. Allah berfirman: Wahai Adam, bagaimana engkau kenal Nabi Muhammad s.a.w. pada hal aku belum menjadikannya. Nabi Adam a.s. menjawab: Wahai Tuhanku, apabila engkau jadikan aku, aku mengangkat akan kepalaku dan melihat di tiang Arasy tertulis: LAA ILAAHA ILLALLAHU MUHAMMADUR RASULULLAHI, aku tahu sesungguhnya Engkau tidak menggandingkan kepada Mu melainkan sekasih-kasih makhluk kepada Mu. Allah berfirman: Benarlah katamu wahai Adam, sesungguhnya ia (Nabi Muhammad s.a.w.) adalah sekasih-kasih makhluk kepada Ku dan apabila engkau memohon dengan haknya, aku mengampunkan engkau, dan KALAULAH TIDAK KERANA NABI MUHAMMAD S.A.W. NESCAYA AKU TIDAK JADIKAN ENGKAU.” (Hadis diriwayatkan al Hakim dan disahkan oleh al Tabarani)

Di bawah ini saya nukilkan sebahagian daripada terjemahan kisah Maulud Nabi oleh Syiekh Wan Abdullah bin Wan Muhammad Amin atau Tok Syiekh Duyong  (1216 H) Terengganu seorang Wali Allah yang masyhur. Tok Syeikh Duyong adalah ulama Terengganu yang telah melahirkan ramai ulama-ulama tersohor seperti Tok Ku Paloh, Syeikh Abdur Rahman Gudang al-Fathani,  Haji Wan Muhammad yakni anak beliau sendiri yang pernah menjadi Mufti Terengganu setelah Tok Syeikh Duyung wafat. Beliau juga merupakan guru kepada dua orang sultan Terenggganu yaitu Sultan Omar dan Sultan Zainal Abidin III :

“Dan daripada Yazid ibni Abdullah ibni  Wahab, daripada mak saudaranya berkata ia bahawa adalah kami mendengar akan bahawa senya Siti Aminah tatkala mengandung ia dengan Rasulullah s.a.w., adalah ia berkata tiada aku ketahui akan bahawa senya aku telah aku mengandung dan tiada aku dapat baginya akan berat dan tiada sakit seperti barang yang mendapat oleh segala perempuan. Melainkan bahawa senya aku telah aku engkar akan terangkat haid ku. Dan datang akan daku oleh yang datang dan aku antara tidur dan jaga. Maka berkata ia bagiku adalah engkau ketahui bahawa senya engkau telah engkau mengandung. Maka seolah-olah aku berkata tiada aku ketahui. Maka berkata ia bahawa senya engkau sungguhnya telah engkau mengandung dengan PENGHULU INI UMAT dan nabinya itu nabi RAHMAT dan yang demikian itu pada hari Isnin. Berkata ia maka yang demikian itu setengah daripada  barang yang memberi yakin pada aku akan mengandung.

Maka tatkala hampirlah oleh beranak ku, datanglah akan daku oleh  demikian yang datang itu maka berkata ia “Kata oleh mu U’IDUHU BIL WAAHIDISSOMADI MIN SYARRI KULLI ZIIHASAD. ” Telah berkata oleh Siti Aminah maka adalah aku, aku berkata akan yang demikian itu dan aku ulang akan dia beberapa kali.

Dikatakan tatkala menghendaki oleh Allah ‘azza wa jalla menyatakan sebaik-baik kejadiannya Nabi Muhammad s.a.w. menyuruh ia akan Jibril bahawa mengambil ia akan tanahnya daripada tempat kuburnya yang mulia, maka mengambil ia akan dia kemudian mengelilingkan  ia dengan dia akan segala Syurga Naim. dan menyelam ia akan dia di dalam segala sungai Taslim. Dan memperhadapkan ia dengan dia kepada antara haderat Allah yang Maha Tinggi lagi yang Maha Besar. Dan baginya itu peluh yang mengalir ia maka menjadikan oleh Allah daripada demikian peluh itu akan nur tiap-tiap nabi yang besar-besar.

Maka sekalian anbia itu dijadikan mereka itu daripada nur nabi Sallallahu ‘alaihi wa sallam kemudian di taruhkan tanah itu pada belakang Nabi Adam dan dijatuhkan padanya akan nur yang terdahulu oleh kemegahannya dan mendahului ia maka jatuh di sana oleh berkeliling segala malaikat yang Muqorrobin sujud bagi nabi Adam. Kemudian mengambil oleh Allah Taala atas Nabi Adam beberapa perteguhan dan beberapa perjanjian. Ketika menyuruh ia akan malaikat baginya dengan sujud. Bahawa tiada menaruh ia akan yang demikian nur itu melainkan pada yang mempunyai kemuliaan dan kemurahan. Yang di sucikan sekaliannya daripada cemar-cemar dan ingkar maka senantiasa demikian nur itu berpindah ia daripada belakang yang pilihan hingga kepada perut orang yang merdeka. Hingga menyampai akan dia oleh tangan yang mempunyai kemuliaan dan kemurahan kepada Abdullah ibni Abdul Mutalib ibni Hasyim.

Maka tatkala hampir ketika sempurna perjanjiannya terbitlah di dalam AKUAN ini oleh yang terlebih bahagianya. Dikembangkan panji-panji kemuliaan kerena menyatakan kesudahan NUBUWWAH. Meniliklah bagi Abdullah oleh segala mata, telah meneranglah atasnya oleh segala cahaya dipakaikan dia akan kain keelokan. Berkata -kata ia dengan kenyataan dan FASOHAH. Berseru-serulah akan dia oleh lidah kehendak dengan katanya “Ya Abdullah, tiada patut perbendaharaan bagi barang yang engkau menanggung daripada pertaruhan itu melainkan perut siti Aminah yang tertegah daripada kejahatan lagi yang disucikan daripada cemar-cemar dan kekeruhan. Penghulu segala perempuan kaum BANI NAJJAR. Telah berhimpunlah oleh perhubungannya dengan perhubungan Siti Aminah. Nyatalah oleh jernih yakinnya meliputilah oleh perut Siti Aminah atas anaknya. Naik cemerlang oleh nur Nabi Sallallahu’alaihisalam pada dua keningnya.

Bermula oleh bulan daripada segala bulan yang telah mengandung ia akan dia itu datang akan Siti Aminah di dalam tidurnya oleh Nabi Adam dan memberi tahu ia akan dia bahawa senya telah mengandung ia dengan yang terlebih besar alam. Dan bulan yang kedua datang akan dia di dalam tidurnya oleh Nabi Idris dan mengkhabar ia akan dia dengan kemegahan Nabi Muhammad dan qadarnya yang Rais. Dan bulan yang ketiga datang akan dia di dalam tidurnya oleh Nuh dan berkata ia baginya bahawa senya engakau telah mengandung engkau dengan yang mempunyai Pertolongan dan FUTUH. Dan bulan keempat datang akan dia di dalam tidurnya oleh Nabi Ibrahim Al Khalil dan menyebut ia baginya akan kelebihan Nabi Muhammad dan tempatnya yang Jalil. Dan bulan yang ke lima datang ia di dalam tidurnya oleh Nabi Ismail dan mencitera ia akan dia bahawa senya anaknya itu yang mempunyai hebat dan TABJIL. Dan bulan yang ke enam datang akan dia di dalam tidurnya oleh Nabi Musa Al Kalim dan memberi tahu ia akan dia dengan mertabat Nabi Muhammad dan kemegahannya yang ‘Azim. Dan bulan yang ke tujuh datang di dalam tidurnya oleh Nabi Daud dan memberi tahu ia akan dia bahawa senya telah mengandung ia dengan yang mempunyai maqam yang MAHMUD kolam yang didatangkan dan panji-panji yang MA’QUD dan kemuliaan dan kemurahan dan mengkhabar ia akan dia  bahawa senya anaknya yang mempunyai maqam yang dipujikan. Dan bulan yang ke delapan datang akan dia di dalam tidurnya oleh Nabi Sulaiman dan menkhabar ia akan dia bahawa senya telah mengandung ia dengan Nabi AKHIRUZZAMAN. Dan bulan yang kesembilan datang akan dia di dalam tidurnya oleh Nabi ‘Isa Al Masih dan berkata ia baginya bahawa senya engkau sungguhnya telah ditentukan dikau dengan menyatakan agama yang SOHIH dan lidah yang FASIH.

Bermula tiap-tiap seorang daripada mereka itu berkata ia baginya di dalam tidurnya “Hai Aminah, apabila beranak engkau akan matahari kemenangan dan petunjuk maka namai oleh akan dia MUHAMMAD.  Maka tatkala keraslah dengan dia oleh kesakitan beranak dan tiada mengetahui dengan dia oleh seseorang daripada manusia nescaya menghampar ia akan dua tapak tangan mengadunya kepada tuhan yang mengetahui akan rahsianya dan berbisik-bisikkan maka tiba-tiba ia dengan Asiah perempuan bagi Fir’aun dan Siti Maryam anak ‘Imran dan jemaah daripada BIDADARI yang elok-elok, sesungguhnya telah menerangilah daripada keelokkan mereka itu oleh tempat itu maka hilanglah daripadanya oleh barang yang mendapat ia daripada segala dukacita dan AHZAN.”

Walaupun bahasa yang digunakan di atas sudah hampir 200 tahun lalu namun diharap pembaca dapat memahaminya. Suka saya menarik perhatian bahawa sebelum Siti Aminah mengandungkan Baginda Rasulullah s.a.w., bapanya Abdullah mempunyai ceritanya yang tersendiri. Di dalam rawi di atas dicerita kan sedikit sahaja iaitu: “Meniliklah bagi Abdullah oleh segala mata, telah meneranglah atasnya oleh segala cahaya dipakaikan dia akan kain keelokan. Berkata -kata ia dengan kenyataan dan FASOHAH. Berseru-serulah akan dia oleh lidah kehendak dengan katanya “Ya Abdullah, tiada patut perbendaharaan bagi barang yang engkau menanggung daripada pertaruhan itu melainkan perut siti Aminah yang tertegah daripada kejahatan lagi yang disucikan daripada cemar-cemar dan kekeruhan.”

Cerita mengenai bapa Rasulullah pula begini:

“Maka Abdullah bin Abdul Mutallib pada masa berada di Mekah menanggung ia akan NUR NABI SALLALLAHU ‘ALAIHISSALAM. Maka tidak ada siapa-siapa pada masa itu yang terlebih elok rupanya dan terlebih hebat daripadanya pada ketika itu. Maka apabila ia berjalan pada siang hari, bertaburanlah bau-bauan yang keluar dari tubuhnya dan apabila ia berjalan pada waktu malam maka berkilat-kilat cahaya di dahinya hingga naik cahayanya itu ke atas seperti pelita. Maka orang Mekah panggil Abdullah pada ketika itu dengan PELITA TANAH HARAM MEKAH kerana  banyak cahayanya. Sehingga bila berjumpa ia dengan perempuan nescaya jadi berkenan maka ramailah perempuan yang meminangnya. Tetapi akhirnya berkahwin Abdullah dengan Aminah (dikhabarkan lebih kurang 200 wanita yang tergila-gilakan Abdullah mati setelah mengetahui perkahwinan Abdullah) dan bersetubuh keduanya pada malam Jumaat dan terus mengandung pada ketika itu ia itu 1 haribulan Rajab maka berpindahlah Nur itu kepada Aminah. Maka bertambah elok dan cantik Aminah berganda-ganda lebih daripada dahulunya. Maka pada malam itu Malaikat Redzuan menyuruh dibukakan pintu syurga dan melaung-laung (memuji-muji)

Maka tatkala keluarlah Nabi s.a.w. daripada perut Aminah maka Siti Aminah pandang kepada Nabi s.a.w. maka dilihatnya Nabi sujud sambil mengangkatkan dua anak jari (setengah ulama mengatakan satu anak jari) ke langit seperti orang yang menghinakan dirinya. Kemudian dilihat oleh Siti Aminah awan putih turun dari langit hingga menutup akan Nabi dan dibawa oleh malaikat akan Nabi ke pihak Masyriq dan ke pihak Maghrib dan di bawa masuk ke dalam laut supaya dikenal akan dia.

Kemudian kata Aminah: Terbukalah awan daripada aku, tiba-tiba adalah Nabi s.a.w menggenggam kain sutera yang hijau berlipat akan sebagai lipat yang teguh dan keluar daripada kain itu air. Tiba-tiba (kata Siti Aminah)  ada suara yang berkata:

“Telah menggenggam  oleh Muhammad akan dunia sekaliannya. Tidak tinggal oleh makhluk melainkan masuk di dalam genggamannya hal keadaan taat kepadanya.”(yakni wajib mentaati Rasulullah).

Diceriterakan juga di dalam rawi di atas orang yang membidani akan Siti Aminah bukan bidan kampung, tidak juga bidan hospital tetapi orang yang menyambut baginda Rasulullah keluar dari perut Aminah diimport khas dari syurga yakni Asiah isteri Fir’aun yang telah diberkati dan Siti Maryam anak ‘Imran dan jemaah daripada bidadari. Begitulah hebatnya layanan dari Allah terhadap Habiballah waNabiAllah Muhammad s.a.w. Jadi layakkah kita mengatakan nabi Muhammad itu sama macam budak kampung dan betulkah kenyataan mengatakan ibunya Aminah tak tahu bahawa anaknya ini akan jadi nabi? Mana dalil dan mana kitab yang dijadikan rujukan?.

Nabi Adam apabila kehilangan anak kesayangannya, Habil maka Allah mengilhamkan kepadanya akan kezahiran seorang nabi dari anaknya yakni Nabi Syieth. Begitu juga nabi Musa bukan sahaja Allah mengilhamkan tentang kezahiran Musa kepada orang tuanya, maksud firman:

“Dan sesungguhnya kami telah memberi nikmat kepada mu pada kali yang lain, yaitu ketika Kami mengilhamkan kepada ibumu suatu yang diilhamkan, Yaitu ‘Letakkanlah ia (Musa) di dalam peti, kemudian lemparkan ia ke sungai (Nil)…” (Thoha: 37)

Malahan Allah membuka pengetahuan kepada Ahli Nujumnya Fir’aun tentang kebangkitan kerasulan Musa. Begitu juga dengan Nabi Zakaria yang ketiadaan zuriat, Allah mengilhamkan kepadanya dengan maksud Firman :

“Hai Zakariya, sesungguhnya Kami memberi kabar gembira kepada mu akan (beroleh) seorang anak yang namanya Yahya, yang sebelumnya Kami belum pernah menciptakan orang yang serupa dengan dia.” (Maryam: 7)

Begitu juga dengan nabi Isa, sebelum zahirnya Allah mengilhamkan kepada Siti Maryam melalui Jibril, dengan maksud Firman:

“Ia (Jibril) berkata: Sesungguhnya aku ini hanyalah seorang utusan Tuhanmu, untuk memberi mu seorang anak laki-laki yang suci”  (Maryam: 19)

Maka apakah susah bagi Allah untuk mengilhamkan kepada ibu yang disucikan Allah yakni Siti Aminah yang mengandungkan penghulu bagi sekalian rasul-rasul?

Wahai ikhwan, inilah dia cerita yang sampai kepada pencinta-pencinta Rasulullah dan pencinta ahlul bait baginda. Golongan yang rindu dan ternanti-nanti untuk berjumpa dengan Rasulullah s.a.w., samada semasa hidup, atau saat sebelum sakaratul maut. Semoga golongan yang menyamakan Nabi Muhammad itu seperti Mat-Mat kampung, segera bertaubat dan belajarlah untuk mengasihi Rasulullah. Kerana semasa hayat baginda pun telah melafazkan rasa rindu baginda terhadap umat baginda yang terkemudian, seperti sabdanya yang bermaksud:

“Betapa ingin aku bertemu dengan saudara-saudaraku!” Para sahabat berkata: “Wahai Rasulullah, bukankah kami ini saudara-saudaramu?” Rasulullah s.a.w menjawab: “Kamu sekalian adalah sahabat-sahabatku, saudara-saudaraku adalah suatu kaum yang belum lagi muncul.”

“Wahai Rasulullah, bagaimanakah engkau dapat mengenali suatu kaum dari umatmu yang belum lagi muncul?” tanya sahabat. Baginda menjawab: “Bagaimanakah menurutmu, bila seseorang memiliki seekor kuda yang putih kepala dan kakinya di antara kuda-kuda yang hitam legam, bukankah dia dapat mengenali kudanya?” “Tentu saja wahai Rasulullah!” jawab mereka.

“Sungguh, mereka akan datang dengan warna putih bercahaya pada wajah dan tubuh mereka disebabkan air wudhu’. Dan akulah yang akan mendahului mereka tiba di telaga (Al-Kautsar)!” jawab baginda.” (HR. Muslim)
Muhammad s.a.w. adalah seorang yang berakhlak Agong
Belum pernah ada dikalangan makhluk ciptaan Allah, dulu, sekarang dan selama-lamanya samada bangsa Malaikat, Jin atau manusia yang Allah puji dengan pujian KHULUQIN ‘ADZHIM, hatta malaikat yang Muqorrobin sekali pun, sebagaimana maksud firman:
“Dan sesungguhnya engkau benar-benar berbudi pekerti yang agung.” (Al-Qalam 4)
Adalah Allah itu memiliki 99 nama dan di antaranya ialah  Al ‘Adzhim, yakni  Yang Maha Agong, nama yang tidak boleh dimiliki oleh sekalian makhluk. Namun kita dibolehkan menamakan anak-anak kita dengan Abdul ‘Adzhim, tetapi Nabi Muhammad bukan sahaja Abdul ‘Adzhim malahan Khuluqin ‘Adzhim.  Jadi bila Allah sendiri memartabatkan akhlak Nabi Muhammad dengan KHULUQIN ADZHIM maka layakkah kita meletakkan mertabat Nabi itu setaraf BUDAK KAMPUNG?.  Siti Aisyah apabila ditanya oleh para sahabat akan akhlak Rasulullah, maka berkata Aisyah r.a.:
“Akhlak beliau (Rasulullah) adalah Al Quran.” ( Abu Dawud dan Muslim).
Apa yang kita faham dengan akhlak Rasulullah adalah Al Quran?. Apa pula yang kita mengerti dengan Al Quran?.  Al Quran itu adalah KALAMULLAH, yakni KALAM QODIM.  Bila dikatakan Kalam Qodim maka ianya bukanlah makhluk, bukan kalam makhluk. Jadi bila Kalamullah ini bukan kalam makhluk, bukan perkataan makhluk, bukan ucapan makhluk, maka apakah kelayakan makhluk untuk memahami Al Quran itu. Oleh itu  tidak ada suatu makhluk pun samada bangsa malaikat, jin atau manusia yang mengetahui dan memahami Al Quran tanpa melalui ilmu Nubuwwah. Tidak ada sesiapa pun yang dapat mengenal, membaca mahu pun menafsir Al Quran tanpa melalui pengenalan, pembacaan mahu pun penafsiran Nabi.
Bila Allah ingin makhluknya supaya mengenal, boleh membaca dan memahami kalam ilahiatnya maka Allah Taala menurunkan Al Quran dalam bahasa makhluk, yakni bahasa yang boleh difahami oleh makhluk. Maka Allah menciptakan sebaik-baik makhluk yakni Habiballah Muhammad Rasulullah s.a.w.  sebagai wakil,  perantara,  penterjemah atau sebagai kamus ketuhanan bagi menterjemahkan kalamullah supaya dapat mengenal oleh sekalian makhluk. Sebagaimana maksud firman Allah:
“Dan sesungguhnya kamu diberikan Al Quran dari sisi (Allah) Yang Maha Bijaksana lagi Maha Mengetahui.” (An Naml: 6)
Dan Firmannya lagi:
“Sesungguhnya Kami jadikan Kitab itu sebagai Al-Quran yang diturunkan dengan bahasa Arab, supaya kamu (menggunakan akal) memahaminya. (Al Zukhruf : 3)
Jadi Nabi Muhammad itu sendiri adalah Kalamullah dan juru bahasa ketuhanan, memindahkan bahasa ketuhanan kepada bahasa makhluk.  Nabi Muhammad adalah perantara bagi sekalian makhluk mentafsirkan wahyu ilahi. Segala firman Allah yang tidak berhuruf dan tidak bersuara ditafsirkan oleh Nabi Muhammad dengan perkataannya, perbuatannya,  suruhnya dan tegahnya. Ayat di atas juga membuktikan bahawa Nabi Muhammad sudah pun menerima Wahyu yakni Al Quran sebelum lagi Jibril di perintah menyampaikan Wahyu kepada Nabi.
Tanpa Jibril sekali pun Nabi Muhammad mampu mengerti Al Quran. Namun bagi menunjukkan bahawa setiap ilmu itu mesti melalui lidah guru dan Wahyu itu bukan ciptaan Muhammad, maka wahyu Allah disampaikan melalui Jibril. Sedangkan Nabi sudah pun termaklum tentang Al Quran sebelum Malaknya Jibril. Allah Taala pernah menegur Nabi Muhammad dengan maksud firman:
“Maka Maha Tinggi Allah, Raja Yang Hak dan janganlah kamu tergesa-gesa membaca Al Quran sebelum disempurnakan mewahyukan kepada mu. Dan katakanlah: Ya Tuhanku, tambahkanlah kepada ku ilmu pengetahuan.” (Thoha:14)
Teguran Allah kepada Nabi itu sebenarnya adalah untuk menjelaskan bahawa jiwa atau peribadi atau akhlaknya nabi itu sudah terterap dengan Al Quran. Nabi sudah tahu membaca Al Quran seawal kejadiannya. Sehinggakan semasa nabi berkhalwah di Gua Hira’ dan tatkala didatangi Jibril memeluk baginda dan menyuruh dengan “Baca olehmu ya Muhammad!…”. Nabi berkata “Ma ana biqorib…” Apa yang aku nak membaca (sedangkan Al quran itu sudah termaklum pada Nabi). Bukan bermaksud Nabi tak tahu nak membaca atau buta huruf tetapi Nabi tidak membaca apa yang ditulis oleh makhluk. Nabi tidak membuat rujukan dengan kitab-kitab karangan makhluk lainnya. Nabi hanya tahu membaca akan Kalamullah yang sudah termaklum di dalam ilmunya dan bukan kalam makhluk, juga bukan perantaraan makhluk lain. Menerima wahyu terus dari Allah dengan tidak melalui Jibril yang di namakan Hadis Qudsi dan juga berjumpa dan melihat Allah di Sidratul Muntaha semasa Mi’raj nabi sedang Jibril tidak mampu lagi  untuk menemani nabi juga menjadi dalil bahawa Nabi Muhamad adalah seorang makhluk teristimewa yang khusus.
Kita tak ada kene mengena dengan Nabi Muhammad sehinggalah umurnya 40 tahun?.
Kenyataan seperti di atas hanyalah suatu ciptaan untuk menolak amalan memuliakan nabi dengan  sambutan maulud Nabi s.a.w. Tidak ada suatu nas pun samada dari Al Quran, hadis, perkataan sahabat atau ijma’ ulama yang mengatakan sedemikian. Malahan ia amat bertentangan sekali dengan firman Allah di dalam Quran yang maksudnya:
“Sesungguhnya Allah dan para malaikat-Nya berselawat ke atas Nabi. Wahai orang-orang yang beriman, berselawatlah kamu ke atas Nabi dan ucapkanlah salam penghormatan kepadanya.” (Surah al-Ahzaab, 33: 56)
Persoalannya ialah BILA dan SAMPAI BILA  Allah dan para malaikat bersolawat dan salam keatas Nabi Muhammad dan Allah menyeru orang-orang beriman supaya bersolawat serta mengucap salam kepada Nabi BILA pula? Adakah setelah Nabi berusia 40 tahun baru bersolawat. Jawabnya ialah sejak di alam arwah lagi Allah dan para malaikat mendahului memuji Nabi Muhammad (Muhammad bermaksud Yang Terpuji) dengan bersolawat keatas Nabi DAIMAN ABADA berkekalan selama-lamanya. Kemudian Allah menyeru sekalian manusia yang beriman supaya bersolawat dan mengucap salam ke atas Nabi, maka Jumhur ulama dari kalangan Ahlussunnah Wal Jamaah menghukumkan bersolawat keatas Nabi ini WAJIB. Maka dihukumkan wajib mengucap solawat di dalam sembahyang fardhu dan sunat dan di dalam khutbah jumaat sebagai satu rukun serta disunatkan bersolawat pada bila-bila masa.

Kenyataan kita hanya kena mengena dengan Nabi pada usia Nabi 40 juga bercanggah dengan ayat Quran yang maksudnya:

“Tiadalah Kami mengutus engkau (wahai Muhammad) melainkan untuk menjadi Rahmat bagi sekalian alam.” (Al Anbiya : 107)
Ayat di atas menunjukkan bukan orang Islam sahaja yang kena mengena dengan Nabi malahan orang kafir dan sekalian alam pun kena mengena dengan Nabi Muhammad. RAHMATAN LIL ‘ALAMIN ini adalah rahmat bagi sakalian kainat, termasuklah malaikat,  jin dan manusia. Jadi kerahmatan yang diperoleh bagi sekalian alam itu adalah natijah dari dikeranakan oleh Nabi Muhammad. Tanpa Nabi Muhammad tiadalah diperoleh Rahmat pada sekalian maujudat. Sesuatu yang wujud jika tiada rahmat baginya sama sahaja seperti tidak wujud. Tidak wujud itu maknanya tidak ada. Jadi adanya alam ini, syurga, neraka, arasy, kursi, malaikat, jin, cakerawala, manusia dan binatang adalah dikeranakan oleh diciptakan Allah akan Nabi Muhammad.
Lihat apa kata Sultanul Aulia As Syeikh Abdul Qodir Jailani di dalam kitab Sirru Asrar nya:
“Makhluk yang pertama yang di ciptakan oleh Allah adalah Ruh Muhammad saw. Ia diciptakan dari cahaya JAMAL  Allah. Sebagaimana firman Allah di dalam hadis Qudsi “Aku ciptakan ruh Muhammad dari cahaya Zat Ku”.

Nabi Muhammad saw, juga bersabda: “Yang pertama diciptakan oleh Allah ialah ruh ku. Dan yang pertama diciptakan oleh Allah ialah cahaya ku. Dan yang pertama diciptakan oleh Allah ialah qalam. Dan yang pertama diciptakan oleh Allah ialah akal”.

Ruh, cahaya, qalam dan akal pada dasarnya adalah satu yaitu hakikat Muhammad.

Hakikat Muhammad di sebut “nur”, karena bersih dari segala kegelapan yang menghalangi untuk dekat kepada Allah sebagaimana firman Allah “Telah datang kepada mu cahaya dan kitab penerang dari Allah”.

Hakikat Muhammad di sebut juga akal, karena ia yang menemukan segala sesuatu. Hakikat Muhammad disebut qalam karena ia yang menjadi sebab perpindahan ilmu (seperti halnya mata pena sebagai pengalih ilmu di alam huruf pengetahuan yang tertulis). Ruh Muhammad adalah ruh yang termurni sebagai makhluk pertama dan asal seluruh makhluk sesuai dengan sabda Rasulullah saw:

“Aku dari Allah dan orang-orang mukmin dari aku”.

Dan dari ruh Muhammad itulah, Allah menciptakan semua ruh di alam ‘Lahut’ dalam bentuk yang terbaik yang hakiki. Itulah nama seluruh manusia di alam Lahut. Alam Lahut adalah negeri bagi seluruh manusia. Allah menciptakan Arasy dari cahaya zat Muhammad saw. Bagitu juga makhluk lain berasal dari zat Muhammad.

Selanjutnya ruh-ruh di turunkan ke alam yang terendah, dimasukkan pada makhluk yang terendah yaitu jasad. Sebagaimana firman Allah “Kemudian Aku turunkan manusia ke tempat yang terendah” Proses turunnya adalah setelah ruh diciptakan di alam Lahut, maka diturunkan ke alam Jabarut dan dibalut dengan cahaya Jabarut. Sebagai pakaian antara dua haram lapis kedua ini di sebut ruh ‘Sultani’.

Selanjutnya ia diturunkan lagi ke alam Malakut dan dibalut dengan cahaya Malakut yang disebut ruh ‘Ruhani’. Kemudian diturunkan lagi ke alam Mulki dan dibalut dengan cahaya Mulki. Lapis keempat ini di sebut ruh ‘Jismani’.

Selanjutnya Allah ciptakan badan (jasad) dari Mulki (bumi), sebagaimana firman Allah: “Dari bumi aku mencipta kamu. Kepada bumi aku mengembalikan mu. Dan dari bumi pula lah aku mengeluarkan mu”.

Setelah terwujud jasad, Allah memerintahkan ruh agar masuk ke dalam jasad, maka ruh masuk ke dalam jasad, sebagaimana firman Allah: Ku tiupkan ruh dari Ku ke dalam jasad”….

Berkata Syeikhul Islam, Hujjatul Islam Al Imam Habib Abdullah Alawi Al Haddad di dalam kitab karanagannya Sabilul Iddikar Wa I’tibar:

“Dan telah diriwayat bahawasanya Nabi Adam a.s. pernah mendengar Nur Junjungan Rasulullah s.a.w. bertasbih di tulang belakangnya (di sulbinya yakni pada ketika itu Nur Muhammad atau roh Junjungan Nabi s.a.w. berada dalam sulbi Nabi Adam a.s.) seperti bunyi kibasan burung. Maka tatkala Siti Hawa mengandungkan puteranya Nabi Syitsalaihimas salam, nur itu berpindah kepada Siti Hawa, kemudian kepada Nabi Syits a.s. pula. Kemudian berterusan nur tersebut berpindah-pindah kepada sulbi-sulbi yang suci dan rahim-rahim yang cemerlang, sehingga lahir Junjungan Rasulullah s.a.w. daripada (pernikahan) kedua ibubapa baginda yang mulia. Tidaklah pernah terkena Junjungan Rasulullah s.a.w. akan sesuatu kekotoran jahiliyyah dan kekejiannya, walaupun ketika itu berlaku pada kalangan mereka (yakni kalangan umat-umat terdahulu) pernikahan-pernikahan yang dianggap batil, maka Allah telah mensucikan baginda daripadanya, sebagaimana disabdakan baginda ‘alaihis sholatu was salam: “Aku dilahirkan daripada nikah dan bukan daripada perzinaan.”

Selanjutnya Habib Abdullah Alawi Al Haddad menukilkan tentang tafsiran dari Ibnu Abbas mengenai maksud firman Allah:

“Yang melihat engkau ketika engkau berdiri. Dia melihat gerak badanmu di antara orang-orang yang sujud.” (As Syu’ara: 218-219)

Ibnu Abbas menafsirkan bahawasanya maksud ‘gerak badanmu di antara orang-orang yang sujud’, ia ituberpindah-pindahnya zat baginda Sallallahu ‘Alaihiwassalam  dari satu sulbi Nabi kepada sulbi Nabi yang lain; umpamanya Ismail, Ibrahim, Nuh, Syeith dan Adam alaihimus salam dan hal ini tiada syak dan ragu lagi. (Sabilul Iddikar Wa I’tibar)

Jadi apakah kena mengenanya Nabi Allah Adam dengan Nabi Muhammad itu. Jawabnya ‘Ya’ memang kena mengena sejak seawal kejadian Nabi Allah Adam, dari maksud hadis yang diriwayatkan Umar r.a. “…..KALAULAH TIDAK KERANA NABI MUHAMMAD  S.A.W. NESCAYA AKU TIDAK JADIKAN ENGKAU.” (Hadis diriwayatkan al Hakim dan disahkan oleh al Tabarani).

Allah Taala mengurniakan makrifat kepada Nabi Allah Adam tentang Nur Muhammad seawal kejadian Adam a.s, yakni setelah dimasukkan ruh kedalam lembaga Adam, kemudian setelah Nabi Adam mula membuka matanya, ia melihat dengan pengenalan yang jelas akan kehebatan nama Muhammad tertulis pada setiap tiang Arasy dan di dinding-dinding syurga. Begitu juga perkara yang melibatkan pernikahan antara Nabi Adam dengan Siti Hawa di mana mas kahwinnya ialah bukan dari emas perak atau intan berlian tetapi harga mas kahwinnya ialah Solawat keatas Nabi Muhammad sebanyak sepuluh kali. Dengan itu Adam dan Hawa menjadi suami isteri yang sah. Malahan seawal-awal syafaat yang diperolehi oleh bangsa manusia ialah apabila Nabi Adam bertawassul dengan hak Nabi Muhammad bagi mendapatkan pengampunan daripada Allah Taala, lalu Allah mengampunkan Nabi Adam.

Makrifat tentang Hakikat Muhammad ini bukan dikurniakan Allah pada Adam a.s sahaja, malahan nabi-nabi lain pun pada hal Allah belum menzahirkan lagi Nabi Muhammad ke dunia ini. Di dalam kitab MUKASYAFAH AL QULUB karangan Al Imam Al Ghazali ada dinyatakan bahawa Allah swt telah mewahyukan kepada Nabi Musa  a.s:

“Wahai Musa , jika engkau ingin Aku lebih dekat kepada mu daripada ucapan mu kepada lisanmu, daripada rohmu  kepada badanmu, daripada cahaya pengelihatanmu kepada matamu dan daripada pendengaranmu kepada telingamu maka perbanyaklah membaca solawat kepada Nabi Muhammad.”

Diceritakan oleh para ulama bahawa tatkala Jibril diperintahkan untuk membentuk lembaga Nabi Adam namun tidak diketahui apakah rupa bentuk yang boleh dijadikan tauladan, maka Allah memperlihatkan rupa bentuk Nabi Muhammad kepada Jibril. Dengan rupa bentuk Nabi Muhammadlah sebagai rupa bentuk Manusia maka dijadikan panduan oleh Jibril bagi merupabentukkan Basyariah Adam. Oleh sebab itu digelarkan Nabi Muhammad itu sebagai SAIYIDUL BASYAR dan Nabi Adam itu ABU BASYAR.

Jelaslah sekarang bahawa kita bangsa Manusia ini ada kena mengena bukan sahaja dengan Nabi Adam Abu Basyar  malahan juga dengan Saiyidul Basyar Nabi Muhammad s.a.w.  samada zahir kita atau pun batin kita. Maka pendapat yang mengatakan kita kena mengena dengan Nabi Muhammad setelah Nabi berumur 40 tahun adalah pendapat yang berpandukan akal fikiran semata-mata. Sejak di awal kelahiran Nabi di tanah Mekah lagi manusia memperoleh menafaat daripada kebarkahan baginda. Dengan kezahiran baginda telah meruntuhkan suatu kerajaan yang besar pada masa itu yaitu kerajaan Maharaja Kisra dan padam pula api kaum Majusi di negeri Parsi di mana api tersebut merupakan tuhan yang disembah dan tidak pernah padam-padam sejak beberapa ratus tahun. Peristiwa Ibu susu Nabi, Halimatun Sa’adiah yang ketiadaan susu telah menjadi banyak susunya, peristiwa kambing yang kurus menjadi sihat dan gemuk, peristiwa kemarau yang panjang ielah didatangi hujan dan banyak lagi itu semua kerana kena mengenanya nabi seusia bayi lagi dengan manusia. Kena mengenanya nabi dengan masyarakat jahiliah seusia remajanya sehinggakan seluruh masyarakat jahiliah meletakkan kepercayaan kepada Nabi dan menggelarkannya sebagai Al Amin, membawa maksud orang yang terpecaya.

Demikian lagi Abdul Uzza yakni bapa saudara Nabi yang dikenali sebagai Abu Lahab yang kuat memusuhi Nabi telah diberi keringanan siksa neraka oleh Allah pada setiap hari Isnin hanya kerana beliau memerdekakan seorang sahaya yang menyampaikan berita kelahiran Nabi kepadanya. Juga mengorbankan seratus ekor unta untuk dijamu dan disedekahkan kepada orang ramai kerana kesukaannya dengan kelahiran Nabi s.a.w. Malahan banyak lagi peristiwa- peristiwa yang menjadi tanda kerahmatan dari Allah diatas kelahiran Nabi s.a.w. yang kena mengena dengan kita.

Nabi Muhammad itu ibarat macam posmen,  tugas dia tukang bawak surat pada kita, yang penting ialah surat tu

Allah berfirman yang maksudnya:

Janganlah kamu jadikan panggilan Rasul di antara kamu seperti panggilan sebahagian kamu kepada sebahagian (yang lain).” ( Al-Nur: 63)

Dengan amaran Allah itu layakkah kita mengumpamakan Nabi Muhammad itu macam Posmen pembawa surat?. Posmen tu tidak penting yang penting ialah surat itu. Surat yang dimaksudkan di sini mungkin Al Quran. Dengan lain-lain perkataan Nabi Muhammad itu tidak penting, yang penting ialah apa yang dibawanya yakni Al Quran. Huh!…Pelik, macamana diaorang ni bersyahadat ya? Kefahaman begini adalah berkaitan juga dengan kefahaman bahawa kita kena mengena dengan Nabi Muhammad pada usia Nabi 40 tahun, bermakna bila nabi wafat maknanya Nabi Muhammad sudah tidak ada kena mengena dengan kita, tak perlu memujinya, tak perlu mengingatinya, tak perlu membesarkannya, tak perlu mengadakan majlis maulud. Yang penting adalah apa yang dibawanya dari Allah yakni Al Quran.  Quran sudah lengkap dan ada pada kita, maka kitalah pula bawa Quran, kitalah pula bawa Islam.

Inilah bentuk-bentuk kejahilan ahli-ahli agama zaman mutaakhir ini. Mempelajari ilmu ugama yang disukat-sukat seperti menyukat beras atau gandum. Ilmu ugama yang mengikut sukatan pelajaran, samada sukatan pelajaran di sekolah-sekolah, di kolej-kolej hatta universiti sekali pun. Maka berbanggalah mereka mendapat pangkat Sarjana Muda, Doktor dan sebagainya dari Universiti Mesir, Jordan, Yaman, Madinah tapi bila balik ke negeri sendiri hentam ulama-ulama silam, hentam orang buat majlis maulud, hentam orang bertahlil, hentam orang bertariqat, kenduri arwah, mengaji kubur, bertawassul, tapi bertawassul kepada orang-orang besar untuk dapat kerja tak apa. Menolak apa sahaja amalan dan ilmu yang mereka tidak jumpa dalam sukatan pelajaran mereka maka mereka menuduh ilmu dan amalan ulama silam adalah pengaruh Hindu, pengaruh Kristian, pengaruh jahiliah, Israiliat dan sebagainya.

Mempelajari ilmu mengenal sifat-sifat Nabi biarlah sampai kepada  mengenal hakikat kenabian dan kerasulan Saiyidina Muhammad sallallahu ‘alaihissalam. Walaupun Nabi Muhammad telah diwafatkan oleh Allah Taala, namun baginda masih berhubung dan sentiasa mendoakan kepada umatnya, seperti sabda baginda yang bermaksud:

“Hidupku mengandungi kebaikan bagi kamu semua, kamu melakukan sesuatu dan diberikan penjelasan bagi kamu (diturunkan wahyu). dan kematianku, mengandung kebaikan bagi kamu. Amal-amal kamu diperlihatkan kepadaku, apabila kebaikan yang aku lihat, akupun mengucapkan puji syukur kepada Allah subahanahu wa ta’ala. dan apabila keburukan yang aku lihat, aku memohonkan ampunan kepada Allah subahanahu wa ta’ala untuk kamu.” (Hadith riwayat al Bazzar)

Rasulullahi sallallahu ‘alaihissalam bersabda:

“Para nabi hidup di dalam kubur, mereka (melaksanakan) solat (beribadah).” (Hadith riwayat Dailami)

Dan sabdanya lagi:

“Tidaklah seseorang mengucapkan salam kepadaku kecuali Allah subahanahu wa ta’ala mengembalikan nyawaku, sehingga aku membalas salamnya”  (Hadith riwayat Imam Ahmad)

Imam al-Baihaqi rahimahullaah menukil dalam Syu’ab al-Iman dari al-Halimi, katanya: “Sudah maklum bahawa hak Nabi sallallaahu ‘alaihi wasallam sangat mulia dan agung serta mulia dan terhormat bagi kita. Hak beliau atas kita jauh lebih daripada hak seorang tuan atas budak-budaknya (sahaya) atau orang tua atas anak-anaknya. Karena Allah Ta’ala telah menyelamatkan kita dari siksa neraka di akhirat melalui beliau. Allah juga menjamin arwah, badan, kehormatan, harta, dan keluarga serta anak-anak kita di dunia melalui beliau, juga menunjuki kita dengan perantara beliau. Sebagaimana juga apabila kita mentaati beliau maka Allah akan menyampaikan kita ke surga na’im. “

Jadi mengapakah kita terlalu biadap dengan baginda Rasulullahi sallallahu alaihi wasallam dengan berbagai-bagai ungkapan yang tidak layak bagi baginda seperti mengumpamakan seperti posmen, menyamakan seperti adik mat, mat-mat kampong dan sebagainya.

Setengahnya pula membuat perbandingan songsang “Mana baik kita menyambut Nuzul Quran atau menyambut Maulidurrasul”. Jawabnya bukan Nuzul Quran atau Malidurrasul sahaja yang patut kita sambut, malahan banyak lagi syiar-syiar agama yang patut kita perbesarkan, seperti maksud firman Allah:

“Sesiapa yang membesarkan syiar Allah maka ia adalah dari tanda ketaqwaan hati” (Al-Hajj : 32)

Al Quran adalah syiar Allah maka mengamal, menjaga dan memuliakan Al Quran adalah membesarkan syiar Allah. Nabi Muhammad juga syiar Allah, Nabi-nabi lain adalah syiar Allah, para sahabat, ulama-ulama, wali-wali Allah, tempat-tempat pemakaman atau kubur nabi-nabi, kubur sahabat, kubur para syuhada, kubur wali-wali Allah, tempat maulud nabi, rumah nabi, rumah isteri-isteri nabi, Baitullah, Baitul Maqdis, Masjid Nabawi, Masjid Quba’, Hajar Aswad, Hijir Ismail,  makam Ibrahim, Safa, Marwah dan banyak lagi semua itu adalah ikon atau lambang atau syiar-syiar Allah.

Kalau kita kasih kepada seorang ulama yang banyak jasanya kepada ugama Islam, yang banyak berkorban untuk ugama Islam samada ia masih hidup atau sudah mati, kemudian kita gantungkan gambarnya di rumah kita atau kita lekatkan pada kenderaan kita sebagai ikon atau simbol pejuang agama bukan bermakna kita jadikannya sebagai pemujaan atau sembahan. Itu maksudnya kita membesarkan syiar Allah kerana ulama tersebut telah berjuang memertabatkan agama Allah juga menjadi simbol di atas agama Allah. Begitu juga dengan mengibarkan bendera Islam samada kita pasang pada kenderaan kita atau di bumbung rumah kita juga termasuk di dalam membesarkan syiar Allah kerana ia adalah simbol kepada keagongan agama Allah. Jadi orang yang mengagongkan syiar Allah ini adalah termasuk di dalam tanda-tanda ketaqwaan hati kepada Allah.

Marilah kita berfikir seperti mana Nabi Muhammad Berfikir.

Suatu perkara besar yang juga membezakan kita sebagai manusia biasa dengan Rasulullahi Sallallahu ‘alaihissalam ialah kita menggunakan kekuatan akal fikiran, menggunakan otak untuk mentadbir-fikir dalam kehidupan seharian. Maka buah atau hasil dari fikiran itu bergantung kepada sebanyak mana kekuatan akal tersebut yang dikurniakan oleh Allah. Namun sehebat mana dan sebijak mana akal fikiran seseorang itu masih terkurung atau terbatas kepada hukum aqli. Akal tidak akan bebas selagi dikuasai oleh nafsu. Maka kita dapat lihat orang-orang yang bijak berfikir tetapi menurut hawa nafsunya, kebijaksanaannya tidak memanafaatkannya. Orang bijak tapi penipu, orang yang bijak tapi menzalimi rakyat, bijak berfikir tapi menolak hukum Quran. Jadi kebijakan akal fikiran tidak melepaskan seseorang itu dari api neraka. Apa yang menyelamatkan orang-orang yang berakal ialah dengan iman dan taqwa.

Tidak ada istilah berfikir bagi Nabi Muhammad. Gerak dan diam baginda adalah wahyu Allah.  Allah berfirman di dalam Quran yang maksudnya:

Tidaklah ia (Muhammad )  berkata dengan hawa nafsunya,   melainkan merupakan wahyu yang diwahyukan (kepadanya).” (An-Najm: 3-4)
Inilah Hakikat Kerasulan Nabi Muhammad sallallahu ‘alaihissalam. Wahyu yang difahami umum yakni wahyu yang diturunkan melalui Jibril semenjak Nabi berumur 40 tahun itu suatu hal. Namun firman di atas tidak membatasi Nabi itu dengan faktor umur baginda. Fathonah atau bijaksana baginda bukan dengan dari akal fikiran baginda tetapi kerana adanya Wahyu dari Allah Taala. Begitu juga sifat-sifat yang menghiasi diri baginda yakni Siddiq, Amanah dan Tabligh adalah kerana adanya Wahyu Ilahi pada baginda. Dan bukan baginda berumur 40 tahun baru baginda bersifat  Amanah, Siddiq, Tabligh dan Fathonah. Sifat-sifat kerasulan itu berdiri pada batang tubuh Baginda Rasulullah semenjak di awal kejadiannya dan untuk membuktikannya Allah Taala mencatitkan kalimah MUHAMMADUR RASULULLAH digandingkan bersama kalimah LAAILAHA ILLALLAH pada setiap tiang Arasy.
Akhir kalam, sempena bulan Rabiul Awal ini bulan yang ditsabitkan dengan kelahiran junjungan besar kita Muhammad Sallallahu ‘Alaihissalam marilah kita semua bersama-sama berbanyak-banyak mengucapkan solawat dan memberi salam kepada baginda. MUDAH-MUDAHAN MEMBERI TAUFIQ IA AKAN KITA OLEH ALLAH BAGI SEMPURNA MENGIKUT AKAN DIA (RASULULLAH), DAN MENGURNIA IA BAGI KITA SEMPURNA BERPEGANG DENGAN JALANNYA.  DAN MENJADI IA AKAN KITA AKAN SETENGAH DARIPADA ORANG YANG MENGHIDUP IA AKAN HUKUM SYARIATNYA, DAN MEMATI IA AKAN KITA ATAS UGAMANYA, DAN MENGHIMPUN IA AKAN KITA SERTA PERHIMPUNANNYA (RASULULLAH). AMIN.
Wallahu A’lam

Apabila ‘Aqidah diremehkan


Tiga gambar di atas saya rakamkan pada hari christmas di sebuah pusat membeli belah. Kelihatan beberapa orang dari kalangan keluarga Melayu mengambil gambar mungkin sebagai koleksi kenang-kenangan. Bagi mereka bergambar di sebelah patung santa claus itu perkara biasa sahaja, tanpa mengetahui ia akan menjejaskan aqidah umat Islam. Sudah menjadi anutan dan aqidah bagi orang kristian bahawa mereka menyambut dan membesar-besarkan syiar agama mereka dengan merayakan hari kelahiran Jesus Kristus tanggal 25 December pada setiap tahun. Semua penganut Kristian akan menghiasi rumah-rumah mereka dengan pohon cemara, lampu perhiasan yang berwarna warni, kertas-kertas berwarna-warni bagi menyerlahkan sambutan Hari Natal tersebut. Pakaian rasmi Santa Claus juga menjadi kebanggaan mereka yang menjadi upacara keagamaan mereka.

Apa yang mendukacitakan kita pada hari ini apabila orang Islam kita pun turut menghidupkan suasana hari Natal tersebut samada secara sedar atau sebaliknya. Perkataan ‘Selamat’ sepatutnya dikhususkan kepada Ugama Islam sahaja dan bukan ugama lain, telah disalah gunakan. Ini kerana hanya ugama Islam sahaja ugama yang selamat. Ugama lain tak Selamat. Ugama lain boleh gunakan istilah lain seperti ‘ Happy Christmas Day’, atau sebagainya. Begitu juga sesetengah dari penganut Islam secara terang-terangan menyambut sama hari Natal tersebut dengan mengenakan pakaian ala Santa Claus dengan bangganya.

Bagi orang Islam yang pecah liur dengan perayaan Hari Natal maka apabila ada kesempatan suasana perayaan tersebut di tempat-tempat atau pusat-pusat membeli belah maka mereka akan mengambil peluang untuk bergambar seperti foto di atas.

Inilah akhibatnya daripada kecintaan terhadap agama Islam kian terhakis dan kejahilan tentang pegangan aqidah Islam

Hijrah Hakiki


Beberapa orang taulan telah berbincang dan meminta pendapat saya mengenai hikmah daripada hijrah Nabi Muhammad s.a.w. Saya katakan tidak mempunyai pengetahuan yang banyak mengenai perkara ini tetapi semua orang yang memberi atau mengambil pelajaran daripada sejarah hijrah nabi itu selagi menepati hukum syara’ adalah baik semuanya. Ada orang menyimpulkan dan menisbahkan kepada hijrah untuk kejayaan dan kemajuan duniawi, Maka dia berusaha dan diperoleh kejayaan dunia. Ada orang yang menisbahkan kepada urusan mendapatkan kuasa memerintah, siasah perjuangan, maka ia mendapat suatu contoh yang baik dari sejarah hijrah rasulullah itu. Ada orang mengambil iktibar dengan hijrah dari sifat keji kepada sifat-sifat yang terpuji, maka mereka ini juga benar di atas jalan mereka. Rasulullah saw bersabda:

”Orang yang berhijrah adalah yang (meninggalkan) apa-apa yang dilarang oleh Allah swt.” (HR Bukhori).

Maka meninggalkan apa-apa larangan Allah itu sudah dikira suatu penghijrahan, suatu perpindahan yang total dan menjadi tapak untuk melakukan perkara yang disuruh Allah.

Allah swt berfirman:

Dan orang-orang yang beriman, berpindah dan berjuang di jalan Allah dan orang-orang yang memberikan tempat perlindungan (kepada orang-orang yang berhijrah) dan memberikan pertolongan, itulah orang-orang yang sebenarnya beriman. Mereka beroleh ampunan dan rezeki yang berharga.” (Al-Anfal 74).

Allah telah mengangkat darjat dua golongan yang beriman yakni golongan Muhajirin (ahli Mekah) dan Golongan Ansar (ahli Madinah) yang diberi keampunan oleh Allah. Mereka inilah yang telah melakarkan sejarah penghijrahan kaum muslimin bersama-sama dengan Rasulullah s.a.w.

Sabda Rasulullah s.a.w.:

Bahwasannya semua amal itu beserta dengan niat, dan bahwasannya apa yang diperoleh seseorang adalah sesuai dengan apa yang diniatkannya. Barang siapa yang hijrah karena Allah dan Rasulnya maka hijrahnya itu akan diterima oleh Allah dan Rasulnya, dan barang siapa yang hijrahnya, karena mencari dunia atau karena wanita yang akan nikahinya maka hijrahnya itu hanya memperoleh apa yang diniatkannya dalam hijrahnya itu. (HR Bukhori dan Muslim)

Di dalam hadis di atas ada dua perkara pokok yang utama yang menjadi teras kepada kita yang berjalan mencari keridhoan Allah Taala. Pertama ialah “Apa yang dikatakan NIAT itu?” dan yang kedua pula ialah AMAL perbuatan. Disini difokuskan kepada pekerjaan HIJRAH itu. Niat berhijrah dan hijrah yang paling utama ialah HIJRAH KEPADA ALLAH DAN RASUL. Bermakna hijrah inilah yang menjadi maksud kepada  HIJRAH HAKIKI. Jadi BAGAIMANAKAH cara atau method untuk kita melakukan hijrah kepada Allah dan Rasul ini? BILA  masa yang dikatakan kita berhijrah kepada Allah dan Rasul ini?  Adakah ia terhad kepada masa-masa tertentu? Setahun sekalikah? Sebulan sekalikah? seminggu sekalikah? Setiap harikah? Setiap jamkah? Setiap minitkah? Setiap saatkah? Atau memadai dengan disimpan sebagai bahan sejarah dan dikenang setahun sekali sahaja? Apa pula yang dimaksudkan dengan Hijrah kepada Allah dan Rasul?

Secara  hakikinya para sahabat Rasulullah melalui tarbiyyah daripada baginda Rasulullah sudah pun berjaya melakukan hijrah kepada Allah dan Rasulnya sebelum peristiwa hijrah dari Mekah ke Madinah tersebut. Para sahabat dan pengikut nabi yang setia  seperti Abu Bakar, Umar, Uthman, Ali, Bilal, Abdul Rahman Auf, Yasser, Sumaiyyah dan beberapa orang lagi telah sampai kepada maksud keimanan kepada Allah dan Rasul. Namun perintah Allah kepada Nabi supaya melakukan Hijrah ke Madinah itu adalah merupakan suatu hadiah besar kepada para sahabat khususnya dan  seluruh umat Islam sehingga akhir zaman umumnya. Perintah hijrah ini juga adalah untuk menzahirkan suatu tauladan untuk orang-orang terkemudian membetulkan niat  dan melakukan hijrah seperti mana tauladan dari para sahabat nabi.

Niat dikaitkan dengan Hijrah dan Hijrah pula adalah melibatkan penduduk tanah Mekah dan tanah Madinah. Allah memilih Mekah dan Madinah sebagai dua simbol atau dua ikon untuk melengkapkan pekerjaan Hijrah dan tidak negeri lain, tidak di Mesir, tidak Baitul Muqaddis, tidak Yaman atau sebagainya, mengapa?. Makkatul Mukarramah adalah sebuah negeri tempat zahirnya Muhammad, negeri yang ada padanya Baitullah yakni rumah Allah, negeri awal tempat zahirnya dakwah Islam oleh nabi Muhammad dan tempat besarnya pengaruh kaum Musyriqin. Tempat penyembahan patung-patung besar dan patung-patung kecil oleh kaum musyriqin. Kaum Musyriqin adalah golongan manusia yang menyekutukan Allah. Menyembah selain dari Allah. Maka adalah menjadi tugas Rasulullah membawa cahaya Hijrah manusia dari kegelapan SYIRIK kepada mentauhidkan Allah dengan mengesakan Allah.

Manakala Madinatul Munawwarah pula telah ditakdirkan Allah dengan Masjid Nabawi sebagai masjid kedua umat Islam. Madinah juga menjadi tempat pemakaman Rasulullah. Kalau di Mekah Rasulullah berdepan dengan golongan Musyriqin , maka di Madinah musuh utama umat Islam ialah kaum Munafiqin.

Makkatul Mukarramah dan Madinatul Munawwarah adalah dua tanah haram yang dinisbahkan kepada jasad anak Adam dengan sesuatu yang dibangsakan kepada MAKIYYAH dan MADANIYYAH. Maka dua penyakit utama yang menghalang manusia berhijrah kepada Allah dan Rasullullah ialah penyakit SYIRIK  (dibangsakan kepada Makiyyah) dan penyakit NIFAQ (dibangsakan kepada Madaniyyah). Penyakit syirik disini tidak dikhususkan kepada orang kafir yang menyembah berhala, tetapi maksud syirik yang ditekankan  di sini ialah syirik I’tiqodi yakni orang Islam yang belum sempurna iman dan i’tiqodnya kepada Allah kerana di dalam hatinya masih tebal dengan SELAIN ALLAH (ghairullah). Seperti kata Saidina Ali k.w.j.

“Aku duduk di pintu hatiku dan selain dari Allah tidak aku benarkan masuk ke dalam hatiku. Jika ada selain Allah di dalam hati ku nescaya telah meletakkan patung kecil dan patung besar di dalam hatiku.”

Saidina Ali menyifatkan keberadaan sesuatu selain Allah di dalam hati itu merupakan ‘patung’ atau  suatu bentuk sembahan selain Allah. Ini adalah kerana hati insan itu merupakan rumah Allah, sebagaimana sabda nabi maksudnya “Qolbu mukminin Baitullah, qolbu mukminin ‘Arsyullah”, maka selain daripada Allah tidaklah layak berada di dalam rumah Allah itu. Maka bandingkan lah dengan hati kita ini, apa yang kita lambakkan di dalam hati kita. Kalaulah bermacam-macam aghyar-aghyar yang terhimpun di dalam hati kita itu berjisim tentulah sekali pecah hancur lebur hati kita itu kerana limpahan aghyar-aghyar tersebut. Mana tidaknya kalau padang golf, rumah , kereta, set sofa, tv, projek, konsert semuanya kita letakkan dalam hati kita mana nak muat.

Manakala sifat Nifaq pula ada dua jenis pertama Nifaq Akbar dan kedua Nifaq I’tiqodi. Nifaq Akbar adalah seperti apa yang di gambarkan oleh Rasulullah s.a.w:-

“Apabila ia berkata ia berdusta, apabila diberi amanah dia khianat dan apabila ia berjanji ia mungkiri”

Nifaq Akbar ialah orang yang menzahirkan pekerjaan Islam untuk dilihat orang, namun batinnya ia menyembunyikan pendustaannya. Lidahnya berkata yang baik-baik namun hatinya mempunyai tujuan tertentu. Telunjuk lurus kelinking berkait. Nifaq ini mempunyai persamaan dengan Nifaq I’tiqod. Nifaq I’tiqod lebih halus dan lebih samar kerana ia tidak melibatkan orang lain melainkan dirinya sendiri. Nifaq I’tiqod adalah kepalsuan yang terhasil dari tidak sempurnanya pegangan hati seseorang dengan Allah dan Rasul. Lain yang dilafaz pada lidah lain pula yang qosodkan pada hati. Lidah mengatakan ‘Tiada tuhan melainkan Allah’ namun hati masih kuat pergantungan selain Allah, hati masih kuat bergantung pada usaha ikhtiar sendiri, pada periuk nasi, pada bos, pada projek, pada wang ringgit. Lidah mengatakan ‘Muhammadurrasulullah namun kita masih menyokong pemimpin yang menolak Islam.

Allah Ta’ala berfirman;

“Dan di antara manusia ada yang mengatakan: ‘Kami telah beriman kepada Allah dan Hari Akhir,’ padahal mereka sebetulnya bukan orang-orang yang beriman. Mereka hendak menipu Allah dan orang-orang beriman, padahal mereka hanya menipu diri sendiri, sedang mereka tidak menyedari.  Dalam hati mereka ada penyakit, lalu Allah memperhebat penyakit itu, dan mereka diberi siksaan yang pedih kerana mereka mendustakan kebenaran.”

Allah berfirman, maksudnya:-

“Sesungguhnya orang-orang munafiq itu menipu Allah dan Allah akan membalas tipuan mereka. Dan apabila mereka berdiri untuk solat mereka berdiri dengan malas. Mereka bermaksud riya’ (dengan solat) di hadapan manusia. Dan tidaklah mereka menyebut Allah kecuali sedikit sekali.” (An Nisaa: 142)

Allah menyebut bahawa orang-orang yang sedikit menyebut dan mengingati Allah adalah golongan munafiq. Sesuai dengan sabda nabi, maksudnya “Barangsiapa yang memperbanyakkan zikrullah, ia terlepas dari kemunafikan.”

Tidak ada sesiapa pun yang terlepas dari penyakit ini yakni syirik dan nifaq kecuali Nabi-nabi, Rasul-rasul dan orang yang dipelihara Allah hati mereka. Rasul WAJIB  bersifat dengan sifat Benar (siddiq), Amanah, Tabligh dan Fatonah dan MUSTAHIL  bagi rasul-rasul itu dusta, khianat, menyembunyikan dan bodoh.  Manakala kita manusia biasa ini Wajib pada syarak mengikuti atau mencontohi sifat sekurang-kurangnya dengan sifat Siddiq dan Amanah.  Nabi-nabi dan Rasul tak perlu bermujahadah melawan nafsu untuk memiliki sifat-sifat yang terpuji kerana ruh dan jasad mereka disucikan oleh Allah, manakala kita dibangsakan kepada umat ini wajib berjihad memerangi hawa nafsu dan mengikut fi’il perangai nabi. Jadi mana bukti orang yang mengatakan Nabi Muhammad itu manusia serupa macam kita juga?

Syirik I’tiqodi dan Nifaq I’tiqodi adalah dua penyakit hati yang menghalang seseorang hamba itu untuk sampai hijrahnya kepada Allah Taala. Syirik I’tiqodi ini adalah syirik khofi yakni sangat halus syiriknya, hampir tidak disedari kita berlaku syirik dengan Allah Taala dengan perkataan, perbuatan dan i’tiqod kita.  Kalaulah kita menghitung sehari semalam perbuatan kita, percakapan kita dan pekerjaan hati kita maka tak terhitung berapa banyak kita berlaku syirik dengan Allah Taala. Bagaimanakah keadaannya orang yang tidak menghiraukan atau tidak mencari jalan untuk menyucikan hati mereka dengan syirik dan nifaq ini? Bagaimanakah golongan yang menganggap Mujahadah menyucikan hati ini tidak penting.  Bagaimanakah orang yang mengejar kehidupan dengan keduniaan sahaja tanpa memikirkan mereka akan berhijrah ke akhirat jua akhirnya. Bagaimanakah kita ini berhadapan dengan Allah Taala dengan jiwa yang bergelumang dengan noda syirik dan nifaq ini. Tidakkah kita malu dengan tuhan, kita mengharapkan pengampunan tuhan sebelum kita melangkah untuk berjuang memerangi penyakit syirik dan nifaq ini?.

Itulah sebabnya mengapa perlunya seseorang itu menjalani perjalanan Thoriqah Sufiah. Thoriqah Sufiah sahajalah merupakan hospital yang mampu memberikan kaedah terapi dan ubat yang mujarab bagi menyembuhkan penyakit syirik dan nifaq ini. Boleh dikatakan semua ulama-ulama yang muktabar termasuk imam feqah yang empat menjalani kehidupan kesufian dan berthoriqah.  Macamana pula orang sekarang begitu rakus menolak thoriqah, dalam masa yang sama mengaku berjuang Islam?. Sebutkan satu cara atau kaedah atau motivasi untuk menyucikan hati daripada kesyirikan dan kemunafikan selain dari jalan thoriqah Sufiah.

Walaupun telah berlaku hijrah yang pertama oleh para sahabat nabi ke Habsyah, namun hijrah nabi inilah yang diambil kira.  Al Imam Nawawi telah meletakkan hadis di atas pada susunan yang pertama di dalam kumpulan Hadis Arba’in susunan beliau. Ini menjelaskan bahawa betapa pentingnya hadis tersebut untuk kita hayati. Betapa pentingnya Niat itu kita fahami kerana niat itulah yang menjadi teras kepada setiap amalan samada yang wajib atau yang sunat. Tidak sah sesuatu amalan kalau tidak disertai dengan Niat dan tidak dikatakan niat kalau tidak disertakan dengan perbuatan.

Adapun kefahaman mengenai niat itu adalah berbeza mengikut tingkatan keimanan dan maqam (tingkatan hati) dengan Allah. Golongan ahli fekah dan Mubtadi memahami niat ini tak sama dengan golongan Mutawasitd (pertengahan) dan Muntahi (waliyullah, nabi-nabi dan rasul).

Kita orang awam memahami niat itu contohnya seperti niat di dalam  sembahyang, kita sebut lafaz niat “Usolli fardhu dhuhri arba’aroka’aatin lillahi ta’ala allahu akbar” dan kita pasang maknanya “Aku sembahyang fardhu dzuhur empat rakaat kerana Allah Taala.. Allahu Akbar. Inilah niat yang difahami bagi kita orang awam ini. Namun syarat niat itu mesti lah beserta perbuatan yakni bermula dari Takbiratulihram hinggalah ke Salam dan bukan sekadar dari “Alif” pada Allahu sehingga “Ra” pada Akbar seperti yang difahami umum. Jadi apa sebenar niat itu yang beserta perbuatan ?

Yang dikatakan sebenar niat itu seperti sabda ini “ANNIATU FI QOLBI LAA HARFIN WALAA SHOUTIN” Niat itu pada hati (dalam hati) dengan tiada huruf dan tiada suara. Apakah perkaranya yang tiada huruf dan suara yang di dalam hati itu iaitulah KALAMULLAH, seperti firman Allah di dalam Quran WA KALLAMALLAHU MUSA TAKLIIMA, ertinya “Berkata-kata Allah Taala kepada Musa dengan tiada huruf dan tiada suara”. Jadi di sini sebenar-benar niat itu ialah Kalamullah yang tiada huruf dan tiada suara, disebut juga Kalam Sirr. Maka Kalamullah ini adalah Sifat Allah. Bukan bermakna sifat Allah itu berada dalam hati manusia, tetapi TAJALLI SIFAT ALLAH pada hati manusia. Allah mentajallikan sifatnya pada hati manusia atau dalam istilah ilmu usuluddin disebut juga sebagai TAUHIDUSSIFAT. Orang yang sampai kepada Tajalli Sifat ini ialah orang yang telah sampai HIJRAHnya  pada wilayah Hakikat Muhammadiah. Dengan Tajalli sifat pada maqam Muhammadiah inilah para Arifin Billah boleh sampai ke  Tajalli Zat  dapat berjumpa dengan Allah, mengenal Allah . Mereka mengenal nabi walaupun tidak semasa dengan Nabi. Melihat Rahsia Kenabian yang tersembunyi di dalam FUAD dan pada maqom QOBAQOUSSAINI. Sebagaimana Uwais Al Qarni menjawab pertanyaan Saidina Ali k.w.j.

Saidina Ali bertanya kepada Uwais:

“Rasulullah telah memperkatakan berkenaan engkau sedang ia tidak pernah melihat  engkau dan menyebut engkau dan mengatakan engkaulah se afdhal Tabi’in.  Bagaimana engkau menggambarkan Rasulullah itu ya Uwais?”

Berkata Uwais Al Qarni, “Hei Ali, sesungguhnya adalah bagi kamu kelebihan berseronok-seronok, bersuka-suka dan beramah tamah dengan baginda, tetapt aku sama sekali tidak dapat kemuliaan dan kelebihan itu. Aku menggambarkan dan merupakan  Rasulullah pada pengelihatan ku lain daripada apa yang kamu lihat dengan mata kepala kamu dan pengelihatan kamu.  Rupanya Rasulullah kepada aku penuh bercahaya yang memancar memenuhi keseluruh pelusuk angkasa dan memancar keseluruh wujud ketara kepada aku rupanya, kepalanya yang mulia itu di singgah sana QOBAQOUSSAINI di Arasy dan kakinya yang mulia itu berpijak di bumi yang ketujuh…”

Apa yang diperkatakan oleh Uwais tentang pengelihatan rupa Rasulullah itu bukanlah pengelihatan mata kepala yang zahir tapi adalah pengelihatan MATAHATI.  Sultanul Aulia As Syiekh Abdul Qadir Jailani mengkelaskan bahawa hati itu memiliki dua pengelihatan, yang pertama AINUL SUGHRO, yakni Pengelihatan Kecil dan kedua AINUL KUBRO atau Pengelihatan Besar.
Berkata lagi Syeikh Abdul Qadir Jailani bahawa Ainul Sughro adalah melihat Tajalli Sifat dengan cahaya Asma usSifat hingga ke alam Darajat. Dan yang kedua adalah Ainul Kubro iaitu ia akan melihat cahaya Tajalli Zat dengan cahaya Tauhid Yang Maha Tunggal di alam Lahut dan Alam Qurbah. Waktu untuk mencapai Darajat ini ialah sebelum mati dan sebelum rusak dari jisim manusia. Jadi sebelum terlambat, marilah kita berhijrah kepada Allah dan Rasul di alam Darajat dan di alam Qurbah.
Wallahu A’lam

Mengajak Berzikrullah Meninggalkan Perjuangan ?


Saya masih terfikir-fikir untuk meletakkan tajuk yang sesuai dengan artikel saya kali ini. Namun begitulah lebih kurangnya tajuk di atas memberi pengertian tentang masih ramai lagi para pendokong pejuang Islam (moga-moga mereka dipilih Allah sebagai mujahid Agama) yang meremehkan tentang pekerjaan Berzikrullah ini.  Menganggap kecil, remeh lebih dasyat lagi memperlekeh orang atau ulama yang mengajak kepada jalan zikrullah serta menolak HUKUM BERZIKRULLAH ini. Mencipta berbagai istilah bagi mencerca golongan ahli zikrullah dengan berbagai-bagai tohmahan. Antaranya ialah golongan ahli zikrullah ini tidak berjuang, mundur ke belakang, bila semua orang sibuk berzikir nanti siapa pulak nak perjuangkan Islam?, tidak menghiraukan dunia dan sebagainya. Lebih membingungkan ada yang menuduh kumpulan -kumpulan ahli zikir ini diwujudkan oleh musuh-musuh Islam untuk melemahkan gerakan Islam dan kejatuhan Islam dahulu disebabkan oleh orang Islam sibuk dengan soal berzikir saja.

Menganggap kecil dan meremehkan pekerjaan berzikrullah ini bermakna samalah menganggap kecil dan meremehkan Al Quran dan hadis dan kalau memperlekeh serta menolak pekerjaan berzikir ini samalah jua memperlekeh dan menolak Al Quran. Jadi apa rasionalnya kita memperjuangkan Islam pada satu sudut dan menolak seruan Al Quran pada sudut yang lain.

Allah berfirman yang maksudnya:

“Zikrullah itu adalah pekerjaan yang agong (AKBAR)” .surah Al ankabut, ayat 45.

Terang sekali Allah meletakkan pekerjaan zikir kepada Allah itu adalah pekerjaan yang Akbar. Yakni Allah mengangkat mertabat pekerjaan zikrullah ini menyamai sifatnya yang Akbar, kerana orang yang berzikir itu tak selain dari mengAKBARkan zat Allah Taala.  Jadi orang yang mengajak kepada zikrullah itu sebenarnya mengajak orang kepada perjuangan yang akbar dan orang yang mengerjakan zikrullah itu pula adalah sebenarnya mengerjakan kerja yang Akbar.

Allah berfirman yang maksudnya:

“Maka ingatlah aku (dengan berzikir kepada ku) nescaya aku akan mengingati kamu”. (Al Baqarah: 152)

Firman Allah lagi:

“Kemudian apabila kamu telah selesai mengerjakan sembahyang, maka ingatilah Allah dalam keadaan kamu berdiri, duduk dan ketika kamu berbaring”. (An Nisa’: 103)

Firman Allah lagi:

“Wahai orang-orang yang beriman ingatlah Allah dengan sebanyak-banyak ingatan.” (Al Ahzab: 41)

Firman Allah lagi

“Dan sebutlah (dengan lidah dan hati) akan nama tuhanmu (terus menerus malam dan siang), serta tumpukanlah (amal ibadatmu) kepadanya dengan sebulat-bulat tumpuan.” (Al Muzammil: 8)

Firmannya lagi:

“Dan sebutlah dengan lidah dan hati akan nama tuhanmu pada waktu pagi dan petang.” (Al Insan: 25)

Diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim, Rasulullah bersabda:

“Allah berfirman: Aku berada di sisi sangkaan hamba ku dengan ku dan Aku besertanya jika ia ingat kepada ku: Maka jika ia mengingati ku di dalam dirinya nescaya aku ingat kepadanya di dalam diri ku dan jika ia ingat kepadaku dalam berkumpulan, maka Aku akan ingat dia dalam kumpulan yang lebih baik dari mereka.”

Dalam riwayat yang lain dari At Tarmizi, Rasulullah bersabda:

“Mahukah aku ceritakan kepada kamu dengan SEBAIK-BAIK PERBUATAN kamu dan YANG SESUCI-SUCINYA DISISI TUHAN KAMU dan YANG SETINGGI-TINGGINYA DARIPADA DARJAT KAMU dan lebih baik bagi mu daripada mensedekahkan emas dan perak dan lebih baik bagi kamu daripada berhadapan dengan musuh kamu lalu berbunuh-bunuhan di antara kamu dengan mereka? Mereka berkata : ‘Bahkan!’ Maka jawab Rasulullah s.a.w. “INGAT KEPADA ALLAH”

Al Bahaqi meriwayatkan dari Anas, bersabda Rasulullah s.a.w.:

“Jika kamu melalui pada kebun syurga, maka makanlah (buah-buahannya)” Apabila ditanya “Apakah itu kebun syurga?” Jawab Rasulullah s.a.w. “PERHIMPUNAN-PERHIMPUNAN AHLI-AHLI ZIKIR.”

Dari Abi Dardak r.a. pula, Rasulullah s.a.w. pernah bersabda:

“Sesungguhnya Allah akan membangkitkan beberapa kaum di Hari Kiamat nanti yang wajah-wajah mereka penuh bercahaya di atas mimbar-mimbar berkilauan sedang orang lain iri hati terhadap mereka. Bukanlah mereka itu terdiri dari golongan para nabi dan orang-orang yang mati syahid.” Maka berdiri seorang Badawi di atas kedua lututnya sambil bertanya “Ya Rasulullah perihalkan kepada kami supaya dapat kami mengenal mereka.”

Rasulullah s.a.w. pun berkata: “Mereka ialah orang-orang yang cinta mencintai antara satu sama lain kerana Allah, mereka terdiri daripada berbagai kabilah dan dari merata negeri. Mereka berkumpul beramai-ramai dengan tujuan BERZIKIR KEPADA ALLAH.”

Rasulullah mengumpamakan ornng-orang yang berzikir mengingati Allah ini melalui hadis yang diriwayatkan oleh Al Baihaqi dari Ibn Umar r.a., maksudnya, “Umpama orang yang berzikir di tengah-tengah orang yang lalai seperti sebuah pohon yang menghijau kesuburan di tengah-tengah pohon yang kering.”

Dan lagi Rasulullah s.a.w. bersabda yang diriwayatkan oleh Al Bukhari dari Abi Musa Al Asy’ari:

“Umpama orang yang mengingati tuhannya dan orang yang tidak mengingatinya laksana orang yang mati dengan orang yang hidup.’

Hadis yang diriwayatkan oleh At Tabrani dari Abi Hurairah:

“Barangsiapa yang memperbanyakkan zikrullah, ia terlepas dari kemunafikan.”

Katanya lagi “Zikrullah adalah ciri iman, kemerdekaan diri daripada kemunafikan, benteng pertahanan daripada serangan syaitan dan perisai daripada keganasan api neraka.”

Betapa pentingnya berzikir kepada Allah ini amatlah ditekankan oleh Rasulullah sehingga pernah baginda bertanya kepada para sahabatnya seperti yang diriwayatkan oleh Al Asbahani dari Ruzain Al’Aqili, maksudnya:

“Hendakkah ku tunjukkan kepada kamu sesuatu perkara yang merupakan kebajikan di dunia dan di akhirat?” Jawab mereka: “Bahkan!” Nabi s.a.w. berkata pula, “Hadirilah majlis-majlis zikir dan jika kamu bersendirian maka gerakkanlah lidah-lidah kamu dengan zikrullah.”

Hadis yang diriwayatkan oleh At Tabrani Al Baihaqi dari Abi Said Al Khudri, maksudnya:

“Perbanyakkanlah kamu berzikirkan Allah sehingga dikatakan kamu gila.”

Hadis yang diriwayatkan oleh Al Baihaqi dari Abil Jauzak, bersabda Rasulullah:

“Perbanyakkanlah kamu mengingati Allah sehingga orang-orang munafiq mengatakan kamu menunjuk-nunjuk.”

Hai!, bagaimanakah keadaannya orang yang berzikir itu sehinggakan dikatakan atau dituduh dengan perkataan gila dan menunjuk-nunjuk itu ya? Tapi orang sekarang lebih cenderung kepada menuduh kumpulan orang yang berzikir atau ratib kuat (zikir Jahar) itu dengan Ajaran Sesat, tapi kalau menyanyi terpekik terlolong memuja nafsu itu tidak pula dikatakan sesat. Kalau di rumahdan tempat kenduri kahwin dipanggil berkaraoke, kalau dalam dewan atau di stadium dipanggil konsert. Inilah yang terjadi pada hari ini yang palsu dipuja dan dibela, sebaliknya yang Hak, dicela malahan dituduh bidaah.

Rasulullah s.a.w. bersabda yang diriwayatkan oleh Al Baihaqi dari Abi Said Al Khudri maksudnya:

“Berfirman tuhan yang maha tinggi di hari kiamat: Akan mengetahui orang-orang yang berkumpul pada hari ini, siapakah mereka yang mendapat kemuliaan.” Para sahabat bertanya, “Siapakah orang yang mendapat kemuliaan itu, Ya Rasulullah?” Baginda menjawab, “Mereka itu ialah kumpulan-kumpulan zikir dalam masjid-masjid.”

Telah meriwayatkan oleh Al Baihaqi dari Zaid Ibnu Aslam, katanya:

Telah berkata Ibnul Ad Ra’ ” Aku berjalan bersama Rasulullah s.a.w. pada suatu malam, maka baginda melintasi seorang laki-laki di dalam masjid, sedang meninggikan suaranya. Saya berkata: Ya Rasulullah, boleh jadi dia ini menunjuk-nunjuk? Baginda menjawab: Tidak, tetapi dia bersangatan.”

Begitulah wahai ikhwan, berzikir dengan meninggikan suara atau Zikir Jahar ini selalu dalam masyarakat kita menyebut Ratib Kuat sebenarnya sudah berlaku di zaman Rasulullah. Kalaulah Ibnul Ad Ra’ seorang sahabat nabi sudah merasa tidak senang dengan perlakuan pemuda yang berzikir dengan meninggikan suara namun dipertahankan oleh Rasulullah, mentelah lagi orang kita di akhir zaman ini. Berbagai-bagai tohmahan dan sangka buruk serta fitnah yang dilemparkan kepada golongan yang berzikir ini.

Telah berkata Abu Arakah, “Aku telah bersembahyang Subuh bersama Saidina Ali, selepas ia memaling ke kanan (memberi salam) maka dia berdiam seolah-olah bersedih, sehinggalah terbit matahari, maka ia sembahyang dua rakaat kemudian menadah tangan sambil berkata, “Demi Allah, sesungguhnya telah aku lihat sahabat-sahabat Muhammad s.a.w., tidak pernah aku lihat pada hari ini sesuatu yang menyerupai mereka. Adalah mereka itu berpagi-pagi dengan keadaan muka yang pucat, kusut masai dan berdebu-debu, mereka itu seperti dalam kesedihan. Sesungguhnya mereka telah bermalam dengan sujud dan berdiri di hadapan Allah Taala membaca kitabnya. Apabila berpagi-pagi mereka berzikrullah, hal keadaan mereka itu bergerak (bergoyang) seperti goyangnya pokok ditiup angin ribut. Demi Allah telah mengalir air mata mereka sehingga membasahi baju mereka.”

Mufti Syaikh Ahmad bin Muhammad Sa`id Linggi dalam kitabnya “Faraa-idul Maatsir al-Marwiyyah lit Thoriqah al-Ahmadiyyah” di mana pada mukasurat 56 sebagai berikut:-

Al-Hafidz Abu Nu`aim meriwayatkan bahawa as-Sayyid al-Jalil al-Fudhail bin ‘Iyyadh berkata:- “Sahabat-sahabat Rasulullah s.a.w. apabila berzikir mereka menggerakkan badan condong ke kiri ke kanan seperti pohon kayu yang condong ditiup angin kuat.”

Ustaz Hassan Al Banna pengasas Ikhwanul Muslimin yang memperjuangkan Islam Di Mesir adalah seorang tokoh ulama yang sangat rapat dengan golongan ahli sufi dan kerap menghadiri majlis-majlis zikir golongan tersebut. Tidak pula Ustaz Hassan mengatakan golongan ini (ahli sufi dan ahli zikri) adalah alat musuh-musuh Islam atau menjadi barua atau Proksi King Farauq untuk menjatuhkan Islam?. Mengapakah pejuang-pejuang hari ini tidak mencontohi amalan Ustaz Hassan Al Banna dalam menghidupkan sebahagian ajaran Quran dan sunnah nabi ini.

“Oh! Saya tak nampak pun ada golongan sufi (ahli Tariqah dan ahli zikir)  di zaman sekarang ini.” Saya jawab “Memang pun kalau kita hanya melihat kepada diri sendiri hanya golongan kita sahaja yang memperjuangkan Islam dan kita tak nampak di sekeliling kita rupanya ada golongan yang berupa api dalam sekam yang bergerak memberi sokongan terhadap gerakan Islam. Golongan ini seperti Uwais Al Qarni, tidak terkenal di bumi, ada mereka tidak dipedulikan dan ghaib mereka tidak dicari.

Anda berkata lagi “Apa perlu berkumpul beramai-ramai semata-mata untuk berzikir!, bukankah sembahyang berjemaah itu sudah dikira berzikir berkumpulan, mendengar ceramah pun berzikir,bukankah zikir-zikir dan doa-doa yang tertentu pada masa tertentu itu juga berzikir namanya, seperti bertamid , bertahlil, tasbih dan takbir tiap-tiap lepas sembahyang fardhu, bukankah zikir atau doa sebelum/selepas makan,doa naik kenderaan,doa masuk tandas, masuk masjid, bermusafir, bila mendapat musibah, sakit dan kematian dan sebagainya itu adalah zikir? Saya menjawab: ‘Benar!’, yang kamu sebut itu adalah dipanggil sebagai Zikir Muqoyyad. Namun mengikut Ibnu Abbas apa yang dimaksudkan oleh dalil Quran dan hadis nabi di atas adalah Zikir Mutlaq.

Zikir Mutlaq adalah di kerjakan dengan lisan zahir (secara jahar) beserta lisan hati (zikir khofi) atau didalam hati semata-mata dengan hudur hati kepada Allah Taala. Dikerjakan tanpa ada waktu khusus. Ia boleh dikerjakan sepanjang masa, samada semasa beribadat khusus seperti sembahyang, puasa, haji dan sebagainya atau di luar sembahyang. Semasa berhadas atau suci. Tidak kira di mana berada, samada di rumah, di tempat kerja, di tempat ceramah agama, di masjid, semasa mengurus rumahtangga, mentadbir urusan pejabat, mentadbir negeri, semasa seminar, semasa bermesyuarat,  malahan dalam tandas sekali pun.

Ibadat lain seperti sembahyang , puasa, zakat, haji dan lain-lainnya mesti memenuhi syarat dan rukun tertentu bagi mengesahkan pekerjaan ibadat tersebut namun zikir mutlaq ini tak perlu kepada rukun dan syarat. Ianya boleh dikerjakan dalam apa-apa keadaan seperti berdiri, berjalan, duduk atau berbaring.

Apa pentingnya zikrullah itu kepada kita?

Zikrulllah itu ialah menyebut serta mengingati Allah. Menyebut nama-nama Allah adalah untuk mendatangkan ingat kepada Allah. Ingat kepada Allah itulah yang menjadi maksud kepada setiap hamba. Ingat kepada Allah itulah intipati bagi segala amal ibadat. Ingat kepada Allah itulah sebenarnya yang menghubungkan seseorang hamba itu dengan tuannya. Sebanyak mana, sedalam mana dan selama mana seseorang hamba itu mengingati Allah maka sebanyak dan selama itulah ibadat dia kepada Allah. Orang yang ingat kepada Allah itulah sebenarnya dikatakan orang yang ada ibadah. Orang yang ingat kepada Allah itulah yang dikatakan ada Hamba dan ada Tuhannya, ada yang menyembah dan ada yang disembah. Orang yang ingat kepada Allah itulah dikatakan ada NUR, ada MAKRIFAT. Dan orang yang ingat kepada Allah itulah yang mendapat dua syurga: pertama syurga di dunia yakni syurga yang tiada bidadari, tiada sungai madu dan susu yakni SYURGA  MAKRIFATULLAH. Kedua syurga akhirat.

Manakala orang yang lupa kepada Allah pula dikatakan orang yang lalai hati. Orang yang lupakan Allah dikatakan orang yang ghaflah. Orang yang berada dalam kegelapan. Orang yang Jahil walaupun alim ilmu fekah. Orang yang tiada makrifatkan Allah. Orang yang terhijab dengan Allah. Lupa hati kepada Allah itulah yang memutuskan perhubungan dengan Allah. Orang yang terputus perhubungan dengan Allah ialah orang yang tiada TALI dengan Allah. Orang yang lupa kepada Allah juga dikatakan JAUH dengan Allah. Berkata Al Imam Al Ghazali “Kegelapan itu mendekatkan kepada Kufur”. Na’uzubillahi min zaaliq. Orang yang lalai, lupa dan terhijab dengan Allah itu dikatakan juga orang itu BUTA. Bukan matanya yang buta tapi HATInya yang buta sebagaimana maksud firman Allah dalam surah Al Isra’ ayat 72:-

“Barang siapa di dunia ini BUTA, maka di akhirat akan buta jua dan lebih sesat lagi jalannya.”

Seterusnya Allah menjelaskan lagi dalam firmannya:

“Kerana keadaan yang sebenarnya bukanlah mata dan kepala yang buta, tetapi yang buta itu ialah MATAHATI yang ada di dalam dada.” (Surah Al Haj 46).

Jadi bagaimana orang buta ingin menjadi pemimpin ummah? Bagaimana orang buta mahu mentadbir negara? Bagaimana orang buta berebut-rebut nak jadi wakil rakyat?

Bagaimana orang yang bersembahyang yang tiada zikrullah (ingat Allah)  dalam hati mereka?. Allah memberi peringatan dengan NERAKA WAIL bagi mereka yang lalai dalam sembahyang. Bagaimana orang yang menyembah Allah “Seolah-olah melihat Allah (Musyahadah) atau merasa dilihat oleh Allah (Muroqabah) tanpa MENGINGATI ALLAH?. Itu perkara mustahil!. Jadi orang yang meninggalkan berzikrulah mustahil mendapat makam EHSAN. Bagaimana orang yang menjalani ibadah-ibadah yang menjadi rukun ugama yang lupa atau lalai hatinya dari mengingati Allah? Dan bagaimana pula orang yang mendakwa memperjuangkan Islam tapi lalai hatinya kepada Allah. Apa sebenarnya yang diperjuangkan?. Jadi siapa yang sebenarnya meninggalkan PERJUANGAN??.

Wallahu A’lam

Ramadan Syaitan Dibelenggu Dan Nafsu Bebas


Bagi orang awam mereka masih tertanya-tanya mengapa di bulan ramadan masih terdapat maksiat yang berleluasa sedangkan hadis nabi yang masyhur yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a:

“Apabila masuk bulan Ramadhan, dibukakan pintu-pintu langit dan ditutup pintu-pintu neraka Jahannam, serta dibelenggu  syaitan-syaitan”. (Imam Bukhari)

Ketidak fahaman mengenai peranan syaitan dan hubungan dengan nafsu manusia membuatkan sesetengah dari mereka meragui kebenaran hadis tersebut.  Ini timbul apabila walaupun bulan ramadan dan dijanjikan dengan syaitan itu dibelenggu namun kejadian maksiat masih berleluasa.  Tambahan lagi bagi individu-individu sendiri yang terlibat dengan maksiat, di sepanjang bulan puasa pun sukar merubah tabiat mereka. Ada yang bertekad untuk merubah amal buruk dan diganti dengan amal baik, perangai buruk kepada perangai baik namun tidak mampu. Jadi mereka tertanya-tanya “benarkah syaitan itu telah dibelenggu?”

Bagi ahli thoriqah mereka sentiasa dilatih menjalani riadhah serta berjihad melawan hawa nafsu sepanjang usia, tidak tertakluk kepada hari atau bulan atau tahun. Apa lagi bulan ramadan yang diberkati adalah menjadi kayu ukur menilai tahap diri, setakat mana kedudukan nafsu (diri) mereka pada sisi Allah. Mereka beriman dengan hadis nabi di atas dan mereka beriman dengan hadis nabi yang bermaksud:Bermula yang terlebih sangat jahat daripada seterumu itu ialah nafsumu yang antara dua lambung itu”. Juga hadis nabi yang bermaksud:

“Sesungguhnya dalam tubuh jasad anak Adam itu ada seketul daging bila baik nescaya baiklah seluruh anggota tubuhnya dan bila jahat ia nescaya jahatlah seluruh anggota tubuhnya. Ketahuilah! iaitulah Qalbu (hati).”

Allah swt menyebut dalam firman-Nya:
“Sesungguhnya nafsu itu sangat mengajak kepada kejahatan”

Kebanyakan orang hanya melihat hanya syaitan yang bertanggung jawab atas apa-apa kemungkaran yang berlaku, sebab itulah bila disebut syaitan dibelenggu mereka berpendapat tentulah tiada lagi kemaksiatan kerana syaitan telah dibelenggu. Pandangan ini tersangat jauh tersimpang kerana tidak mengenal perbezaan antara nafsu dan syaitan. Mengenal nafsu adalah termasuk di dalam bab mengenal diri.

Siapakah yang dimaksudkan dengan “Seteru mu” di dalam hadis di atas. Mari pula perhatikan maksud firman Allah ini:

Bukankah Aku telah perintahkan kamu wahai anak-anak Adam, supaya kamu jangan menyembah Syaitan? Sesungguhnya ia musuh yang nyata terhadap kamu!(Yaasin: 60).

Jadi di sini musuh atau seteru yang amat nyata ialah Syaitan. Kalau begitu yang dimaksudkan “Yang terlebih sangat jahat daripada seterumu (syaitan)” ialah NAFSU yang berada antara dua lambung mu. Ini bermakna Nafsu kita itu adalah terlebih jahat daripada syaitan…. benarkah begitu? Syaitan hanya mampu membisikkan perkara-perkara kejahatan tapi yang melakukan kejahatan dan kezaliman adalah manusia yang dikuasai nafsu (Ammarah) yang jahat.

Kita lihat samada Islam atau kafir adalah mempunyai perkakasan yang membentuk manusia serupa sahaja. Kalau orang Islam dan beriman ada nafsu orang   kafir pun ada, kalau orang Islam ada hati orang kafir pun ada, begitu juga akal dan roh. Ini adalah dalil keadilan tuhan. Kalau kita lihat pada hadis “Sesungguhnya dalam tubuh jasad anak Adam itu ada seketul daging bila baik nescaya baiklah seluruh anggota tubuhnya dan bila jahat ia nescaya jahatlah seluruh anggota tubuhnya. Ketahuilah! iaitulah Qalbu (hati).”

Maka tahulah kita bahawa kelakuan jasad atau peribadi seseorang adalah dari hati (nafsu) yang di dalam rongga tubuh seseorang itu. Peribadi Firaun adalah kerana besarnya nafsu Firaun. Peribadi Abu Jahal adalah pembentukan nafsu  jahat Abu Jahal begitulah seterusnya samada Yahudi, Nasrani dan sebagainya. Samada yang berjuang untuk Islam atau penentang Islam. Jadi bila kita lihat satu-satu golongan itu zalim seperti Firaun maka yang zalim itu adalah bertolak dari nafsunya yang bersifat zalim.  Maka kita menentang golongan yang zalim ini pada jalan Allah sebenarnya kita berperang dengan nafsunya yang zalim di atas jalan syariat. Namun kita jangan lupa kepada dorongan nafsu kita sendiri yang melampaui syariat nabi yang juga wajib diperangi. Disamping kita berjuang menentang kerakusan nafsu pemerintah yang zalim baiklah juga kita berjihad melawan nafsu kita sendiri.  Kalau setiap ahli jemaah Islam mempunyai tekad untuk berjuang menumbangkan pemerintahan nafsu yang zalim di dalam diri masing-masing dan menegakkan pemerintahan nafsu yang suci sudah tentulah kita akan mempunyai satu pasukan Mujahid yang terbaik di bawah pemimpin yang terbaik. Insyaallah.

Nafsu, hati, qolbu, akal, jiwa, roh adalah benda yang sama. Nama yang berbeza kerana mertabat yang berbeza. Dikatakan nafsu kerana ada sifat berkehendak. Dikatakan hati atau qolbi kerana ada kepercayaan (iman). Dikatakan akal kerana tahu membeza (memilih) dan dikatakan jiwa atau roh kerana mengesakan tuhan.

Syaitan pula dengan izin Allah Taala dapat menggoda dan membisikkan manusia bagi menyesatkan dari jalan sebenar pada keempat-empat daerah atau mertabat tadi. Pada daerah nafsu syaitan menggoda dengan keindahan dan keseronokan syahwat hingga lupa akan Allah. Pada daerah hati atau qolbu syaitan membisikkan rasa takabur, ingin menunjuk-nunjuk, ingin dipuji, rasa hebat, haloba, dengki, iri hati dan sebagainya. Pada daerah akal syaitan membisikkan perasaan Syak, Dzan dan Waham kepada akal manusia. Pada daerah ruh pula syaitan membisikkan bahawa ada sifat ketuhanan berdiri pada manusia, seperti Firaun merasa dirinya tuhan.

Seperti setengah orang berkata “Aku nak buang  nafsu” sebenarnya tak boleh, kerana ia adalah sebahagian dari kejadian manusia. Hanya yang boleh dilakukan ialah menunduk atau mengawal nafsu atau menguasai nafsu dan bukan ditunduk, dikawal atau dikuasai oleh nafsu.

Ada pun jalan untuk kita mengawal nafsu ini adalah yang pertama mesti ada ilmu syariat nabi yang zahir dan syariat nabi yang batin serta beramal dengan ilmu tersebut. Mengerjakan amalan amalan wajib dan memperbanyakkan amalan-amalan sunat bagi memantapkan keimanan kepada Allah. Menjalani thoriqah umum seperti sembahyang puasa dan sebagainya serta thoriqah khusus yang muktabar yang mempunyai sanad bagi mendapat warid dan Mahabbah tuhan. Mengenal khatir-khatir Nafasi, Syaitani, Malaikat dan Khatir Rabbani pada Latifatul Qolbi.

Oleh itu di bulan ramadan yang mulia ini walaupun guru kepada nafsu Ammarah yakni syaitan dibelenggu namun muridnya masih bebas dan meronta-ronta jika tidak dikawal.  Dengan sebab itulah maksiat masih berleluasa yang berlaku di depan mata kita sehari-hari.  Puasa tinggal beberapa hari sahaja lagi, marilah sama-sama kita berjihad melawan nafsu mengubah dengan tangan  jika kuasa atau dengan lidah (zikrullah) atau paling kurangnya kritiklah dengan hati di atas keburukan mazmumah hati kita.

Wallahu a’lam

Berzikir sambil menari


Wednesday, 02 June 2010 06:52 | Written by Dr Haron Din | PDF Print E-mail

SOALAN : Bolehkah laku zikrullah secara menari-nari?

SELESAI satu ceramah di masjid kami, dalam isu zikrullah ada seorang bertanya penceramah, bolehkah majlis zikrullah dilakukan dalam keadaan berdiri dan menari-nari macam bekhayal-khayalan seperti yang pernah dilakukan oleh sesetengah golongan tarikat sufi. Penceramah tersebut secara spontan menjawab: Rasa saya itu adalah haram, mana boleh zikrullah yang begitu murni dicampurkan dengan tarian, tarian itu haram. Kami menjadi keliru, minta pandangan Dato’, terima kasih.

JEMAAH RAGU,
Sepang

JAWAPAN oleh Dr Harun Din:

SETIAP soalan memang ada jawapan. Jawapan itu bergantung kepadaa pengetahuan yang ada pada penjawabnya.

Kadang-kadang ada yang mengikut ‘rasa’, seperti soalan anda di atas, penjawab itu berkata rasanya tidak boleh. Mungkin juga ada orang lain yang akan menjawab rasanya boleh.

Jawapan bagi persoalan agama bukan boleh dimain dengan ‘rasa’. Ia memerlukan sandaran hukum yang perlu dirujuk kepada sumber yang sahih.

Berkenaan dengan zikrullah, Allah SWT berfirman (mafhumnya): “Iaitu orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): ‘Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab neraka.’” (Surah ‘Ali-’Imran ayat 191).

Ayat ini memberi isyarat bahawa zikrullah boleh dilakukan dalam pelbagai keadaan dan gaya.

Ummul Mukminin Aisyah r.ha. pernah melaporkan bahawa Rasulullah SAW berzikrullah (berzikir kepada Allah) dalam semua keadaan. Sedang berjalan, menaiki kenderaan, di atas kenderaan, berbaring, duduk dan bermacam lagi pernah dilaksanakan oleh Rasulullah SAW.

Dalam satu riwayat pernah diceritakan bahawa Jaafar bin Abi Talib r.a (sepupu Rasulullah), pernah menari-nari melenggok lentuk di hadapan Rasullullah SAW sebaik sahaja beliau mendengar Rasulullah SAW menyebut kepada beliau, “Allah menjadikan rupa parasmu seiras dengan Allah menciptakan daku.”

Mendengar kata-kata yang seindah dan semurni itu, terus dita’birkan dengan menari-nari di hadapan Rasullullah SAW. Tingkah laku beliau itu atau ‘body language’ beliau tidak ditegah atau ditegur oleh Rasulullah SAW.

Di sinilah dikatakan atau dijadikan asal usul sandaran bahawa menari-nari sambil berzikir kepada Allah yang dilakukan oleh ahli tarikat atau golongan sufiyah, ada sandarannya.

Sahlah berlaku tarian di majlis zikir yang dihadiri oleh ulama besar yang muktabar. Antara mereka ialah al-Imam Izzuddin Abdus Salam dan tidak diengkarinya.

Ditanya Shaikhul Islam Sirajuddin al-Balqini tentang persoalan tari-menari dalam majlis zikir, lalu dijawab beliau dengan mengiyakannya, yakni boleh dilakukan.

Ditanya al-A’llamah Burhanuddin al-Abnasi, perkara yang sama, maka beliau menjawab dengan membolehkannya.

Ditanya ulama besar dalam mazhab Hanafi dan Maliki, semuanya menjawab, “Tidak mengapa dan boleh dilakukan.”

Semua jawapan ini dibuat dengan bersandarkan kepada ayat dalam Surah ‘Ali-’Imran di atas berserta hadis yang diriwayatkan oleh Jaafar bin Abi Talib r.a.

Adapun tarian yang dilarang adalah tarian yang bercampur lelaki perempuan yang bukan mahram, lebih-lebih lagi ia diadakan dalam majlis yang kemaksiatannya ketara seperti berpakaian tidak menutup aurat, diiringi dengan muzik dan suasana yang mengundang kepada syahwat dan lain-lain.

Itulah yang disebut haram. Haram bukan soal tarian, tetapi dilihat dari aspek persembahan, suasana dan dilihat dengan jelas kemaksiatan.

Adapun tarian dalam zikrullah, adalah tarian khusus yang lahir daripada rasa kesyahduan kepada Allah, dengan kelazatan munajat dan bertaladdud (berseronok kerana zikrullah).

Perasaan seronok dan lazat itu yang diketahui oleh orang yang mengetahuinya, merupakan anugerah Allah kepada mereka.

Mereka hendak menunjukkan bahasa badan (body language) mereka dengan menari-nari tanda keseronokan, tetapi dibuat kerana Allah SWT.

Inilah yang disebut di dalam Al-Quran (mafhumnya): “(Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah. Ketahuilah dengan “zikrullah” itu, tenang tenteramlah hati manusia.” (Surah ar-Ra’d, ayat 28).

Ketenangan adalah suatu kenikmatan. Hendak menghargai kenikmatan itu adalah sesuatu yang boleh dita’birkan dengan isyarat, dengan kata-kata, dengan bahasa badan yang dijelmakan dalam bentuk tarian untuk menyatakan kesyukuran dan kenikmatan yang mereka perolehi hasil anugerah Allah.

Atas itulah pada pendapat saya bahawa tarian dalam majlis-majlis sufi itu adalah harus.

Untuk menyatakan haram atau tidak boleh memang mudah, tetapi harus disandarkan kepada dalil. Jika tidak ada dalil atau hujah, berbaliklah kepada hukum fekah bahawa, “Asal semua perkara adalah harus sehingga ada dalil yang membuktikannya haram.”

Oleh itu berzikrullah yang difahami dari ayat al-Quran di atas, hadis Rasulullah SAW dan pandangan ulama muktabar, maka saya menyatakan ia harus dan bukanlah haram.

Wallahu ‘alam.

Puasa Syariat, Puasa Thoriqat, Puasa Hakikat


Puasa Syariat

Puasa bagi ahli syariat ialah menyempurnakan rukun, dengan berniat berpuasa di malam hari, menahan diri dari makan dan minum serta bersetubuh di siang hari serta menjaga perkara-perkara yang boleh membatalkan puasa.  Puasa yang begini hanya yang diperoleh adalah lapar dan kenyang sahaja. Mata dan telinga mereka tidak terlepas dari melakukan maksiat.  Begitu juga hati tidak di jaga dan berada dalam ghaflah dengan Allah taala.

Sabda Nabi:

“Banyak orang yang berpuasa hasilnya hanyalah lapar dan kenyang sahaja”

Puasa Thoriqat

Puasa ahli thoriqat ialah menjaga seluruh anggota dari segala perbuatan yang  diharamkan lahir dan batin serta memelihara hati dari sifat-sifat tercela seperti riak, ujud, sum’ah, takabor dan sebagainya.  Puasa ahli syariat mempunyai waktu-waktu tertentu manakala puasa ahli thoriqat adalah sepanjang masa seumur hidup. Jika datang riak atau takabor di hati maka terbatallah puasa thoriqat tersebut dan wajib bertaubat serta menjalani semula puasa atas pekerjaan hati.

Sabda nabi:

“Banyak yang berpuasa tapi berbuka.   Banyak yang berbuka tetapi berpuasa.”

Banyak yang berpuasa yakni puasa pada lahiriah sahaja, tetapi berbuka maknanya hatinya mengambil daripada pekerjaan maksiat batin atau batinnya tidak berpuasa.

Banyak yang berbuka tetapi berpuasa ditujukan kepada orang yang sentiasa memelihara anggota lahirnya serta hatinya dari maksiat lahir dan batin.

Puasa Hakikat

Inilah puasa orang khusus, seperti puasanya nabi-nabi, wali-wali, solihin dan mukhlisin. Puasa hakikat adalah puasa menjaga hati selain Allah (Ghairillah). Hanya Allah sahaja yang ada dan selain dari Allah tidak ada.  Kecintaan golongan ini hanya pada Allah sahaja dan jika mereka mencintai selain Allah atau ada di dalam hatinya selain Allah maka terbatallah puasa hakikat tersebut.  Taubat bagi golongan ini dari dosa kerana ada sesuatu selain Allah di dalam hati.

Puasa bagi golongan ahli hakikat memenuhi dengan maksud firman Allah di dalam hadis Qudsi:

“Puasa itu untuk ku dan akulah yang akan membalasnya.”

Wallahu A’lam

Ikut

Get every new post delivered to your Inbox.