Mari Tegakkan Negara Islam, Iman, Ehsan (2)


Sejak Allah Taala menurunkan Nabi Allah Adam ke bumi  serta diajarkan Agama sebagai satu cara kehidupan untuk Nabi Allah Adam dan bagi disampaikan kepada zuriatnya. Untuk menghadapi kehidupan baru di bumi Allah Taala membekalkan benih-benih tumbuhan seperti gandum, padi dan kapas serta logam berupa besi daripada syurga. Jibril sebagai guru, melalui Jibril Nabi Allah Adam telah mengajarkan anak-anaknya ilmu berhuma dan ilmu membentuk besi menjadi peralatan keperluan seharian, ilmu melombong logam dan sebagainya. Dalam perkara ibadah, puasa tiga hari dalam sebulan yakni pada 13, 14 dan 15 haribulan setiap bulan telah disyariatkan kepada Nabi Allah Adam dan menjadi ikutan kepada anak cucunya. Begitu juga dalam bab perkahwinan, bab qurban dan ibadat-ibadat lain. Nabi Allah Adam mempunyai syariat nya yang tersendiri.  Nabi Allah Adam memperkenalkan ajaran yang berupa Syariat Nabi Adam, juga baginda menanamkan keimanan kepada Allah dan mengajarkan akhlak (ehsan) kepada anak-anak cucunya. Ilmu ladunni yang Allah perhiaskan kepada Nabi Allah Adam sejak dari dalam syurga lagi tidak hilang dari jiwa Nabi Adam.

Setelah kewafatan Nabi Allah Adam, Allah Taala menzahirkan Nabi Allah Syeith dari zuriat Adam sebagai pembaharu Agama. Seterusnya Nabi Idris, Nuh, Hud, Soleh dan dari satu generasi ke satu generasi sentiasalah Allah Taala mengutuskan nabi-nabi dan rasul-rasul bagi mengajarkan Agama kepada umat manusia sehinggalah nabi akhir zaman Sayyidina Muhammad Rasulillah s.a.w.  Walau apa pun bentuk syariat yang difardhukan berbeza-beza antara nabi-nabi dan rasul-rasul namun hakikat atau intipatinya tetap sama yaitu kembali kepada Zat Allah Taala, seperti maksud firman Allah Taala:

“Tidak aku jadikan jin dan manusia itu melainkan untuk menyembah (beribadat) ia akan daku”.

Maka diturunkan amalan syariat supaya dengan amalan syariat ini bagi menguat serta menambah keimanan dan dengan keimanan yang tinggi membuahkan intipati Agama yakni Ehsan. Ini bermakna Ehsan itu adalah tujuan terakhir atau maksud kepada firman Allah tersebut, yakni tujuan Allah menjadikan manusia dan jin adalah untuk menyembah Allah dan murod dengan menyembah itu ialah dengan Makrifatullah, kerana mustahil  sesorang dapat menyembah dengan tiada mengenal itu siapa yang disembah. Juga mustahil seseorang itu dapat Muroqabah dan Musyahadah yakni merasa diperhatikan Allah dan merasa berhadap-hadapan dengan Allah (pada makam Ehsan) tanpa mereka itu makrifat kepada Allah.

Secara mudahnya Allah memfardhukan pekerjaan syariat seperti Syahadah, sembahyang , puasa, zakat, dan  haji, serta fardhu yang dituntut sebahagiannya seperti bab Munakahat, Muamalat, Jinayat, berjuang, berjihad, politik Islam, juga pekerjaan-pekerjaan sunat, semua ini adalah Thoriqah umum (jalan) untuk menyampai dan memperkuatkan keimanan. Oleh jtu janganlah kita terhenti dan berpuas hati setakat pekerjaan Islam sahaja. Jangan kita merasa cukup dengan berlafaz Syahadat sahaja, atau berpuas hati dengan sembahyang, atau banyak mana kita keluarkan zakat atau berapa kali kita pergi haji. Juga jangan kita terhenti setakat politik Islam, kerana politik Islam bukan lagi kemuncak hidup beragama. Politik dan mendapatkan kuasa memerintah adalah Fadhu Kifayah kepada umat Islam. Allah Taala berfirman,yang maksudnya

“Wajiblah ada di antara kamu suatu umat (golongan) yang menyeru (manusia) kepada melakukan kebaikan, menyuruh berbuat baik dan melarang berbuat yang jahat. Mereka itulah orang-orang yang berjaya (berbahagia).” _Ali Imran:104

Bersabda Rasulullah s.a.w : “Jihad yang utama ialah mengucap satu kalimah yang benar (mengingatkan perkara yang betul) di hadapan pemerintah yang zalim.”

Allah berfirman: “ Serulah (manusia) kepada jalan tuhan mu dengan Hikmah dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang baik. Sesungguhnya tuhan mu Dialah yang lebih mengetahui tentang siapa yang tersesat dari jalan-Nya dan Dialah yang lebih mengetahui orang-orang yang mendapat petunjuk.” (QS. An-Nahl:125)

Menyeru dengan Hikmah hanya dapat dilakukan oleh ahli-ahli hikmah. Hanya orang-orang yang Allah perhiasi dengan Ilmu Hikmah yang mampu menegur dan membantah dengan cara yang baik. Ahli-ahli Hikmah adalah nabi-nabi dan para rasul, aulia-aulia  Allah dan orang-orang soleh yang mewarisi ilmu Hikmah  kerana mereka ini sudah mencapai kepada peringkat Muroqqabah, Muqobalah, Musyahadah, Mukasyafah, Tawajjah, yakni makam tertinggi pada mertabat Ehsan.

Allah berfirman: Dan barang siapa yang diberikan Hikmah maka sesungguhnya dia telah diberikan kebaikan yang banyak”

Sabda Rasulullah: “Seorang Alim memberi peringatan dengan ilmu dan adab.  Sedangkan orang yang bodoh memberi peringatan dengan pukulan dan marah.”

Rasulullah bersabda lagi: “Kamu sekalian harus mahu bergabung dengan Ulama dan mendengar perbicaraan Ahli Hikmah.  Allah  menghidupkan hati dengan cahaya hikmah seperti menghidupkan bumi dengan air hujan. “

Sabda Rasulullah lagi: “Satu kalimat yang mengandungi Hikmah merupakan sesuatu yang hilang dari Ahli Hikmah. Ia mengambilnya bila menemukannya.”

Mengerjakan pekerjaan syariat bukanlah sekadar mengumpul pahala atau takut kerana berdosa sahaja malahan semua ini adalah menjadi wadah untuk mendapatkan serta memperkukuhkan Iman. Tidak ada jalan lain untuk meningkatkan Iman melainkan dengan Islam yakni membuat yang disuruh dan meninggalkan yang ditegah syara’.

Sabda Rasulullah s.a.w: “Siapa yang menyaksikan sesuatu yang munkar hendaklah ia mengubahnya dengan tangan. Jika tiada kuasa maka dengan lisannya. Jika tiada berkuasa juga maka dengan hatinya dan yang demikian adalah selemah-lemah iman.”

Hadis di atas menunjukkan membuat yang makruf dan mencegah yang munkar adalah menunjukkan tahap keimanan seseorang.  Jadi Iman itu ada kuat dan ada lemah.  Oleh sebab itu ulama ahli Usuluddin membahagikan Iman itu kepada beberapa peringkat:

  1. Iman Taklid
  2. Iman Ilmu
  3. Iman A’yan
  4. Iman Hak
  5. Iman Hakikat
  6. Iman Kamil

Iman Taklid iaitu iman ikut-ikutan. Ia meniru atau mengambil daripada perkataan orang dengan tiada boleh mengeluarkan dalil. Iman ini ada pada kebanyakan orang awam. Kalau apa yang diikutnya atau orang yang diikutnya tu boleh menyesatkan maka tersesatlah ia dan jikalau orang yang diikutnya itu tergolong dari ahli-ahli kebenaran maka selamatlah ia. Iman sebegini adalah belum melepaskan diri dari api neraka. Imam Al-‘Asy’ari, Abi Bakrin Bakilani, Imam Malik dan Imam Haromain, berpendapat bahwa Iman Taqlid hukumnya adalah Sah, hanya orangnya berdosa mengikuti orang lain tanpa dalil. Manakala Ibnu ‘Aroby dan Imam Sanusi berkata Iman Taqlid  tidak Sah.  Untuk keluar dari iman taqlid ini ialah melalui belajar ilmu sekira-kira melepaskan had fardhu ain dalam ilmu fekah, usuluddin dan tasawwuf. Sabda nabi “Belajar ilmu itu fardhu ke atas muslimin dan muslimat”

Firman Allah:  artinya  “Adakah sama bagi orang yang dibukakan Allah akan dadanya kepada Islam yang mulia maka adalah ia beroleh cahaya daripada tuhannya.”

Iman Ilmu iaitu iman yang terhasil daripada makrifat pada segala ‘Aqaid dengan segala dalil. Iman ini adalah bagi orang-orang yang mempunyai dalil dan burhan. Namun iman sebegini juga tidak melepas seseorang itu dari api neraka, kerana mereka ini tahu mengenai pegangan ketuhanan sekadar makrifat ilmu yakni sekadar akal fikiran sahaja dan belum menyelinap ke lubuk hati dengan makrifat zouqi.  Golongan Iman Ilmu ini boleh berhujjah dengan dalil tentang adanya tuhan dan tentang perkara-perkara pokok dalam keimanan, tapi belum mendapat ‘Ain wujudnya tuhan, jadi rasa takut (taqwa) kepada tuhan belum sampai.   Iman sebegini masih lemah  kerana belum lagi merasa diperhatikan tuhan (muroqabah), mudah terjerumus kepada kesesatan dan kemungkaran dalam keadaan ia tahu sesuatu kemungkaran.  Oleh itu orang yang alim dalam ilmu fekah dan boleh membaca beribu-ribu kitab pun tak terlepas dari belenggu Iman Ilmu ini seperti apa yang dikiaskan oleh Al Imam Ghazali:

“Orang alim yang anda katakan memakan barang haram, ia tahu benda itu haram. Sama seperti anda tahu arak, babi, riba haram. Malah sama seperti anda tahu bahawa umpat keji, dusta, fitnah semuanya itu haram, tapi anda buat juga. Bukan kerana anda tidak percaya perbuatan itu maksiat, tapi anda dikuasai oleh hawa nafsu.  Hawa nafsu orang alim itu sama seperti hawa nafsu anda. Ia dikalahkan oleh hawa nafsunya sebagaimana anda dikalahkan oleh hawa nafsu anda. Tapi terdapat perbezaan antara anda dan si alim ya itu pengetahuannya, selain daripada hal ini ada banyak lagi perkara yang anda tidak tahu.

Firman Allah:  artinya  “Orang Arab (Badwi) berkata : Kami telah beriman. Katakanlah (wahai Muhammad) : Kamu belum beriman (janganlah berkata demikian, tetapi sementara Iman belum lagi meresap
masuk ke dalam hati kamu) berkatalah sahaja : Kami telah Islam”
.

Tidak ada suatu jalan yang telah ditempuh oleh ulama-ulama silam untuk memecah tembok Iman Ilmu ini kepada mencapai kepada peringkat yang lebih tinggi melainkan mengikut jalan Tarikat Tasawwuf  Sufiyyah. Sebagaimana apa yang diperkatakan oleh Hujjatul Islam Al Imam Ghazali dalam kitabnya Al Munqidh Min Ad Dalal :

“Aku sesungguhnya tahu dengan yakin bahawa para ahli tasawwuf itulah yang sebenar berjalan di ‘jalan’ Allah taala. Keindahan cara hidup mereka tidak ada tolok bandingnyaJalan mereka adalah yang paling benar, akhlak mereka juga paling murni.  Malah jika dikumpulkan semua akal para cendikiawan, kebijaksanaan ahli falsafah dan pengetahuan alim ulama yang menyelami rahsia syariat dengan tujuan hendak mengubah sedikit cara hidup dan akhlak ahli tasawwuf dan diganti dengan sesuatu yang lebih baik, tak akan dapat mereka berbuat demikian. Ini disebabkan oleh gerak dan diamnya ahli tasawwuf, samada pada zahir atau batin, berpandukan cahaya yang terang daripada misykat Nubuwwah (kenabian). Di sebalik cahaya kenabian itu tidak ada lagi di atas muka bumi ini cahaya lain yang boleh meneranginya.”

Iman A’yan iaitu iman yang terbit daripada makrifat hati kepada Allah Taala selama mana tiada ghaib daripada hatinya dengan muroqabah kepada Allah Taala. Iman ini bagi orang-orang soleh Ahli Muroqabah dinamakannya Makam Muroqabah. Iman ini sudah mula memasuki wilayah Ehsan. Makam Muroqabah tidak akan tercapai dengan ilmu Fekah mahu pun ilmu Usuluddin. Untuk sampai ke makam ini mesti melalui jalan ahli Tasawwuf Mukasyafah dan menjalani Thoriqah Sufiyyah yakni setelah mampu beradab dengan syariat Nabi menggabungkan ilmu Fekah, Usuluddin dan Tasawwuf serta mengambil Talqin dari Guru Mursyid.

Iman A’yan juga disebut ‘Ainul Yaqin.  Orang berada pada mertabat ini setelah melalui mujahadah membersihkan hati dari sifat-sifat yang ditegah syara’ (mazmumah) seperti riak, takabur, sum’ah, kikir dan sebagainya dan diperhiasi dengan sifat-sifat terpuji (mahmudah) seperti sabar, syukur, reda, zuhud, kana’ah, fakir, tawadhu’ dan sebagainya.  Maka akan terpancarlah dari cermin hati dengan Tajalli Asma dan Af’al Allah. Orang salik pada mertabat iman a’yan merasa apabila melihat sesuatu pada alam ini diperoleh dengan Muroqabahkan nama-nama Allah dan perbuatan Allah.  Namun iman pada mertabat ini tidak sunyi lagi dengan syirik khofi yakni sirik halus yang tersembunyi. Mereka pada mertabat ini beramal dengan hadhir hati mereka pada Allah Taala, menyempurnakan hukum dan rukun syariat , mengerjakan yang disuruh dan meninggalkan yang ditegah, suci dari riak,  takabur dan sumaah, tidak mengharapkan pahala dan tidak takut pada neraka, serta memandang dirinya Hamba Allah semata-mata. Memandang bagi pihak dirinya dan memandang dari Allah kepadanya adalah syirik yang samar-samar serta halus syiriknya (khofi). Bagi orang khusus, keberadaan mereka adalah suatu syirik dan syirik yang begini adalah tersangat besar dosa bagi mereka.  Namun Rasulullah telah mengajar kita yakni dengan membanyakkan istighfar dan bertaubat serta minta berlindung dengan Allah, merasa takut (Khauf) dan merasa harap (roja’) akan Allah boleh melepaskan dari syirik khofi ini.

Dari `Abdullah bin Huzn r.a berkata ia : Pada suatu hari Rasulullah s.a.w  berkhutbah, maka beliau bersabda : “Wahai manusia, takutlah kamu kepada syirik ini. Sesungguhnya dia lebih tersembunyi dari jalannya semut”, lalu berkata kepada beliau: “Bagaimana kami akan menjauhinya sementara dia lebih halus dari jalannya semut ya Rasulullah!”, beliau bersabda : “Kalian ucapkanlah! Ya Allah! Sesungguhnya kami berlindung dengan Engkau dari mempersekutukan Engkau dengan sesuatu yang kami ketahui, dan kami minta ampun kepada Engkau bagi apa apa yang kami tidak mengetahuinya”.

Iman Hak iaitu iman yang jadi daripada musyahadahkan Allah Taala dengan Ainul Basyirah(mata hati). Iman ini bagi orang Arif  lagi muqorrobin yang dinamakan Maqam Musyahadah. Mereka pada mertabat Iman Hak dibuka oleh Allah Taala akan rahsia hakikat kerasulan nabi Muhammad atau dipanggil Hakikat Muhammadiah seperti firman Allah: artinya  “Tidak dusta barang apa yang dilihat oleh (Muhammad) Fuad”.

Quran mengkelaskan mertabat hati kepada lima peringkat, pertama hati yang bernama Shodar yang dibukakan Allah akan Islam, kedua hati yang bernama Qolbi yang dibukakan Allah Taala akan Iman ketiga hati yang bernama Fuad yang dibukakan Allah Taala akan hakikat Muhammad, keempat hati yang bernama Labban yang dibukakan Allah Taala akan Tauhid dan kelima hati yang bernama Syaghof tempat keluarnya Mahabbah

Rasulullah SAW pernah bersabda:

“Sesungguhnya aku merindui ikhwanku”  Sahabat-sahabat bertanya: “ Bukankah kami ini ikhwan mu, siapakah Ikhwanmu ya Rasulullah?” Jawab Rasulullah “Kamu adalah sahabat-sahabatku, ikhwan ku ialah mereka yang tidak pernah melihatku, tetapi berpegang teguh pada ajaranku”

Saidina Ali k.w.j pernah bertanya kepada Uwais Al Qarni:

“Rasulullah telah memperkatakan berkenaan engkau sedang ia tidak pernah melihat  engkau dan menyebut engkau dan mengatakan engkaulah se afdhal Tabi’in.  Bagaimana engkau menggambarkan Rasulullah itu ya Uwais?”

Berkata Uwais Al Qarni, “Hei Ali, sesungguhnya adalah bagi kamu kelebihan berseronok-seronok, bersuka-suka dan beramah tamah dengan baginda, tetapt aku sama sekali tidak dapat kemuliaan dan kelebihan itu. Aku menggambarkan dan merupakan  Rasulullah pada pengelihatan ku lain daripada apa yang kamu lihat dengan mata kepala kamu dan pengelihatan kamu.  Rupanya Rasulullah kepada aku penuh bercahaya yang memancar memenuhi keseluruh pelusuk angkasa dan memancar keseluruh wujud ketara kepada aku rupanya, kepalanya yang mulia itu di singgah sana QOBAQOUSSAINI di Arasy dan kakinya yang mulia itu berpijak di bumi yang ketujuh…”

Apa pun hikmah daripada amanah Rasulullah kepada Umar dan Ali supaya mencari Uwais Al Qarni ialah untuk menzahirkan hadis bahawa terdapat satu jalan bagi orang-orang yang tidak semasa dengan Rasulullah untuk mengenal dan melihat HAKIKAT MUHAMMADIAH  pada maqam Haqqul Yakin seperti mana yang dinyatakan oleh Uwais tadi.  Itulah jua yang menjadi kerinduan, kegilaan dan kecintaan para pengamal Tariqah Suffiyyah, tidak ada yang lebih tinggi nilai ma’nikam dan terlebih besar nilainya berbanding se isi dunia dengan berjumpa Rasulullah.

Orang-orang pada mertabat ini adalah orang-orang yang Allah kurniakan Tajalli Sifat atau dalam istilah usuluddin Tauhidussifat.

Firman Allah:
“Wahai orang yang berjiwa mutmainnah, pulanglah kepangkuan Tuhanmu dalam keadaan redhai meredhai olehNya dan masuklah ke dalam golongan HAMBAKU dan masuklah ke dalam syurgaKU”.

Iman Hakikat yaitu iman yang jadi daripada keadaan tiada memandang ia melainkan Allah s.a.w.  Iman ini bagi orang yang ahli Muhaqqiqun yang dinamakan Makam Fana. Iman ini ialah iman nabi-nabi dan wali-wali Allah serta golongan KhowasulKhowas. Inilah makam yang tertinggi dari kalangan nabi-nabi dan wali-wali yang Allah kurniakan bagi mereka dengan Tajalli Zat

Firman Allah:

Maksudnya: Dan tatkala nabi Musa  datang pada waktu yang Kami telah tentukan itu, dan Tuhanmu berkata dengannya, maka nabi Musa berkata “Wahai Tuhanku perlihatkanlah kepadaku (akan ZatMu) supaya aku dapat memandang kepadaMU,  Allah berfirman “Engkau tidak sekali-kali akan sanggup melihatKu, tetapi lihatlah ke gunung itu, maka jika ia tetap berada pada tempatnya, nescaya engkau akan dapat melihatKu, maka tatkala Tuhan mentajallikan dirinya, kepada gunung itu maka hancur leburlah gunung itu, lalu Musa pun jatuh pengsan, setelah ia sedar semula berkatalah Musa Maha suci Engkau, aku bertaubat kepadaMu dan akulah orang yang awal beriman kepadaMu”

Firman Allah:
“Apa yang di sisi kamu itu pasti lenyap dan apa yang ada di sisi Allah tetap kekal”.

Rasulullah bertanya kepada Abu Bakar ” Apa yang ada pada engkau ya Abu Bakar?”  Abu Bakar menjawab “Allah dan Rasul”.  Jawapan Abu Bakar itu adalah keluar dari tingkatan kerohanian yang tinggi yang tidak sekali-kali beliau memandang pada Ananiah diri. Jadi layaklah jika Rasulullah berkata “Barang siapa yang ingin melihat mayat berjalan maka lihatlah pada Abu Bakar”.

Iman sebegini telah melepaskan daripada Syirik Khofi yakni syirik yang halus kerana tiadalah mereka itu memandang akan wujud diri melainkan Allah semata-mata.  Amal ibadat golongan ini adalah Minallah, Billah, Lillah yakni daripada Allah dengan Allah Bagi Allah. Golongan ahli Hakikat ini adalah orang yang fana akan dirinya sesuai dengan firman Allah “Apa yang di sisi kamu itu pasti lenyap dan apa yang ada di sisi Allah tetap kekal”.

Iman Kamil Juga disebut Kamalul Yaqin atau iman kamil mukamil.  Iman ini adalah iman yang tetap hatinya dengan Allah Taala.   Setelah hamba Allah itu melepasi makam fana pada iman hakikat, kemudian diangkat oleh Allah Taala dengan kemurahan dan kasih sayang Allah ke makam Baqo, disebut juga dengan Baqo Billah, yakni kekal dengan Allah Taala. Jangan tersalah anggap bukanlah bermaksud hamba Allah ini bersifat Baqo, kerana yang bersifat Baqo hanya  Allah Taala jua. Baqo di sini adalah Baqo dengan Allah, yakni Allahlah yang menetapkan hati-hati hambanya yang pilihan dengan ingatan yang berkekalan dengan tiada putus walau sekejip mata jua pun. Juga tidak menghalang tidur mereka itu atau jaga atau beranak beristeri atau bermasyarakat atau mentadbir dunia atau memiliki kerajaan dari mengingati Allah.

Nabi s.a.w bersabda, “Tidur orang alim lebih baik daripada ibadat orang jahil”. Orang alim di sini adalah Ahli Ilmu pada mertabat Kamalul Yakin. Jasad mereka kelihatan tidur manakala rohani mereka sentiasa beribadat kepada Allah Taala. Golongan ini diletakkan setara dengan para malaikat seperti firman Allah yang bermaksud :

“Allah telah menyatakan bahawa tidak ada tuhan yang berhak disembah melainkan dia dan dia telah mengakui pula para malaikat dan ahli ilmu sedang Allah itu berdiri dengan Keadilan. Tiada tuhan yang berhak disembah melainkan dia yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.  “

Orang yang Baqo billah ini ibarat sebelah kaki mereka di dunia manakala sebelah kaki lagi di negeri akhirat.  Jasad mereka di bumi hati dan ruh mereka di langit. Tubuh mereka dengan manusia manakala ruh mereka dengan Allah Taala. Wajah zahir mereka berhadap kepada alam shahadah manakala wajah batin mereka berhadap kepada Qurbah Allah Taala.   Oleh itu mereka sudah mampu mentadbir masyarakat, berada  di tengah-tengah masyarakat, menanggung amanah (sebagai warithatul ambia) Rasulullah meneruskan tugas dakwah. Berbeza dengan orang yang makam fana, hal keadaan mereka yang tenggelam dalam lautan tauhid membuatkan mereka tidak tahu akan keadaan mereka sendiri jadi macamana hendak memimpin umat.  Sesetengah daripada ahli fana ini kekal keadaan fana mereka sampai ke mati dan sesetengahnya pula Allah Taala menarik mereka kepada makam Baqo bercampur gaul dengan masyarakat. Adalah sukar untuk mengenali mereka melainkan diperkenalkan Allah, sebagaimana maksud firman:

” Aku sembunyikan wali-wali ku di dalam makhluk ku”

dan firman Allah:

“Wali-wali Allah adalah wangi-wangian Allah di muka bumi”

Jika Allah inginkan seseorang hambanya menghampirinya maka akan diketemukan dan terciumlah wangi-wangian Allah itu, yakni wali-walinya bagi memimpin orang-orang yang terpilih ke jalan Allah. Maka berdoalah kita supaya diketemukan dengan orang-orang soleh ini bagi menghampirkan kita kepada Allah.

Berkata Syeikh Abdul Qadir Jilani di dalam kitabnya Sirrul Asrar Fi ma Yahtaju Ilaihil Abrar:

“Wali-wali yang menjadi guru memiliki kehampiran yang serupa dengan Nabi S.a.w dengan Tuhannya (Ma’rifah, Qurbah dan Mahabbah). Amanah dan penjagaan terhadap ilmu ketuhanan yang serupa dianugerahkan kepada mereka. Mereka merupakan Pemegang sebahagian daripada kenabian, dan diri batin mereka selamat di bawah penjagaan Rasulullah s.a.w.”

Wali-wali yang menjadi guru dan pemimpin ummah adalah mereka pada makam Kamalul Yakin ini. Setengah mereka adalah Ulama lagi Umara yang dikurniakan kuasa memerintah seperti Kulafa al Rasyidin, seperti Umar Abdul Aziz, Sultan Salahuddin Al Ayubi, dan Sultan Mohammad Fateh. Sebahagiannya menjadi tempat rujukan oleh Penguasa atau khalifah Islam contohnya Al Imam Ghazali sendiri.   Sebahagiannya pula menjadi guru dan pemimpin kerohanian dan memimpin thoifah-thoifah kecil kaum suffiyyah yang melata di atas muka bumi Allah ini. Boleh dikatakan golongan-golongan ini sentiasa ada dan tidak terputus serta bersambung-sambung seperti rantai sejak dari zaman Rasulullah hingga sekarang.  Carilah golongan ini walau pun sampai ke negeri China (Istlmbat dari hadis nabi: “Tuntutlah ilmu walau sampai ke negeri China.”)  Mereka membawa apa yang Rasulullah bawa yakni AGAMA yang tersimpul pada nya ISLAM, IMAN DAN EHSAN

Wallahu A’lam

Mari Tegakkan Negara Islam, Iman, Ehsan (1)


Jika ada orang yang bertanya ‘Apakah agama kamu?’ maka kita akan menjawab ‘saya beragama Islam’.  Kita tidak akan menjawab ‘Saya beragama Iman’ atau ‘Saya beragama Ehsan’.  Islam Iman dan Ehsan adalah tiga sumber yang telah menjadi rukun yang mengesahkan agama seseorang itu. Tidak sah agama seseorang itu jika hanya mengambil salah satu daripada tiga sumber tersebut. Jika Islam sahaja diambil, Iman dan Ehsan dibuang maka jadilah orang yang beramal zahir sahaja tanpa mengetahui kemana dan kepada siapa ia beramal.  Walaupun nampak cantik zahirnya namun roh amalannya hampa, kosong. Begitu juga sebaliknya jika diambil Iman atau Ehsan sahaja dan meninggalkan Islam sama seperti orang yang tiada beragama kerana tiada nyata pekerjaan agamanya maka tiada sah jualah agamanya.

Islam Iman dan Ehsan telah menjadi Rukun Agama.  Ulama mengistinbatkan ketiga-tiga rukun ini dari sebuah hadis nabi yang bermaksud, ” Dari Umar r.a, beliau berkata: Pada suatu hari ketika kami duduk di dekat Rasulullah s.a.w, tiba-tiba muncul seorang laki-laki yang berpakaian sangat putih dan rambutnya sangat hitam. Pada dirinya tidak tampak bekas dari perjalanan jauh dan tidak ada seorangpun diantara kami yang mengenalnya. Kemudian ia duduk di hadapan Nabi s.a.w, lalu merapatkan kedua lututnya ke lutut Nabi, dan meletakkan kedua tangannya di atas kedua pahanya, kemudian berkata: ”Wahai Muhammad, terangkanlah kepadaku tentang Islam.” Kemudian Rasulullah s.a.w menjawab: ”Islam yaitu: hendaklah engkau bersaksi tiada tuhan yang haq disembah melainkan Allah dan sesungguhnya Muhammad adalah utusan Allah. Hendaklah engkau mendirikan sholat, membayar zakat, berpuasa pada bulan Ramadhan, dan mengerjakan haji ke rumah Allah jika engkau mampu mengerjakannya.””Engkau benar.” Kami menjadi heran, karena dia yang bertanya dan dia pula yang membenarkannya. Orang itu bertanya lagi: ”Lalu terangkanlah kepadaku tentang iman”.”Hendaklah engkau beriman kepada Allah, beriman kepada para malaikat-Nya, kitab-kitab-Nya, para utusan-Nya, hari akhir, dan hendaklah engkau beriman kepada taqdir yang baik dan yang buruk.”Orang tadi berkata: ”Engkau benar.” Lalu orang itu bertanya lagi: ”Lalu terangkanlah kepadaku tentang ehsan.” (Beliau) menjawab: “Hendaklah engkau beribadah kepada Allah seolah-olah engkau melihat-Nya. Namun jika engkau tidak dapat (beribadah seolah-olah) melihat-Nya, sesungguhnya Ia melihat engkau.” Orang itu berkata lagi: ”Beritahukanlah kepadaku tentang hari kiamat.” (Beliau) mejawab: “Orang yang ditanya tidak lebih tahu daripada yang bertanya.” Orang itu selanjutnya berkata: ”Beritahukanlah kepadaku tanda-tandanya.” (Beliau) menjawab: ”Apabila budak melahirkan tuannya, dan engkau melihat orang-orang Badui yang bertelanjang kaki, yang miskin lagi penggembala domba berlomba-lomba dalam mendirikan bangunan.” Kemudian orang itu pergi, sedangkan aku tetap tinggal beberapa saat lamanya. Lalu Nabi s.a.w bersabda: ”Wahai Umar, tahukah engkau siapa orang yang bertanya itu ?”. Aku menjawab: ”Allah dan Rasul-Nya yang lebih mengetahui.” Lalu beliau bersabda: ”Dia itu adalah malaikat Jibril yang datang kepada kalian untuk mengajarkan agama kalian.”(HR. Muslim).

Sebahagian ulama meletakkan hadis ini sebagai Induk (Ibu) Sunnah kerana kesimpulan daripada keseluruhan sunnah nabi terhimpun kepada hadis ini. Maka selayaknyalah Jibril sendiri datang kepada jemaah sahabat-sahabat Rasulullah dalam rupa bentuk manusia demi mengajar tentang apa itu yang dikatakan agama. Ilmu mengenai agama sebenarnya sudah termaklum kepada Rasulullah s.a.w. Kalaulah Jibril tidak ditakdirkan datang kepada Rasulullah untuk mengajarkan Agama kepada para sahabat, sebenarnya batang tubuh Rasulullah itu adalah contoh Agama itu sendiri. Lihatlah betapa besarnya hadiah yang Allah Taala kurniakan kepada umat Muhammad dengan memperlihatkan wakilnya dari alam malaikat untuk mengajarkan Agama. Kalau wakil dari sebuah sekolah datang ke rumah membawa hadiah kepada kita mungkin itu perkara biasa tapi kalau wakil dari Kementerian Pelajaran datang ke rumah dan menyampaikan hadiah itu agak luar biasa dan sangat istimewa.

Islam Iman dan Ehsan adalah seperti satu anggota atau tubuh badan Agama. Kalau Agama itu kita ibaratkan sebagai satu orang manusia dan manusia itu mempunyai jasad, akal (hati) dan batin hati (roh qudus), maka begitu jualah Agama mesti ada Islam, Iman dan Ehsan. Kalau pada jasad manusia itu tempat zahirnya segala perbuatan manusia maka Agama  itu mesti ada Islam tempat zahirnya segala pekerjaan syariat agama. Kalau pada manusia itu ada hati dan akal untuk membezakan atau memilih yang baik atau yang buruk, yang hak dan yang batil, yang qodim dan yang muhdis maka Agama itu mesti ada Iman yakni tempat  menerima kepercayaan. Kalau manusia itu mempunyai Roh tempat menerima Amar Tuhan (suruh tuhan) maka Agama itu mesti ada Ehsan tempat penyaksian Zat, sifat, af’al dan nama-nama tuhan. Jadi yang dikatakan Agama itu bukan sekadar menyempurnakan pekerjaan syariat Islam semata-mata, malah mestilah disertai dengan ada kepercayaan atau pegangan i’tiqod yang benar dan mesti ada kesedaran serta penyaksian ketuhanan pada roh (jiwa).

Islam Adalah Simbol Agama

Mengapa bila disebut Agama hanya dirujuk kepada Islam sahaja yakni Agama Islam, tidak Agama Iman atau Agama Ehsan?. Islam Iman dan Ehsan saling memerlukan untuk membentuk Agama. Sudah diterangkan di atas bahawa Agama itu ibarat daripada satu anggota badan. Orang akan mengenal kepada seseorang itu ialah melalui rupa dan bentuk tubuh badan itu sendiri. Si Ahmad dapat dikenal dengan rupa dan bentuk badannya, berbeza pula dengan rupa dan bentuk si Zaid. Jadi orang akan mengenal satu-satu agama itu dari rupa bentuk zahir dan pekerjaan agama itu. Kalau Agama Islam mestilah di atas tanda pekerjaan syariat Islamnya yang membezakan dengan Agama Kristian, Buddha, Hindu contohnya. Ada pun Iman dan Ehsan tiada tanda khusus untuk dikenali. Iman dan Ehsan adalah syariat nabi yang batin, manakala Islam adalah syariat nabi yang zahir.  Jadi Islam itu menzahirkan ketandaan seseorang itu beriman.  Orang yang mengerjakan syariat Islam adalah orang yang menzahirkan ketaatan kepada agama. Orang yang taat kepada perintah agama adalah orang yang mempunyai keimanan dan ketauhidan pada umumnya.  Masalah sekuat atau selonggar mana keimanan dan ketauhidan seseorang itu masalah lain.  Yang penting apabila disebut agama Islam maka sudah tersimpul pada agama itu Iman dan Ehsan.

Rukun Islam, Rukun Iman Dan Rukun Ehsan

Bersumbarkan Hadis di atas apabila Rasulullah ditanya oleh Jibril “terangkanlah kepadaku tentang Islam.” Kemudian Rasulullah s.a.w menjawab: ”Islam yaitu: hendaklah engkau bersaksi tiada tuhan yang haq disembah melainkan Allah dan sesungguhnya Muhammad adalah utusan Allah. Hendaklah engkau mendirikan sholat, membayar zakat, berpuasa pada bulan Ramadhan, dan mengerjakan haji ke rumah Allah jika engkau mampu mengerjakannya.”

Telah muafakat sekalian ulama bersandarkan hadis tersebut meletakkan lima perkara yang disebutkan oleh Rasulullah itu telah menjadi rukun, maka ia disebut sebagai Rukun Islam.  Hukum mempelajari perkara-perkara yang menjadi rukun dalam Islam ini menjadi Fardhu ‘Ain kepada setiap mukallaf.  Jadi ilmu bagi mempelajari tentang rukun Islam ini disebut sebagai Ilmu Fekah. Maka had mempelajari ilmu fekah ini ialah sekira-kira mengesahkan amal seseorang.

Setelah itu Jibril bertanya lagi kepada Rasulullah ”Lalu terangkanlah kepadaku tentang iman”. Rasulullah menjawab ”Hendaklah engkau beriman kepada Allah, beriman kepada para malaikat-Nya, kitab-kitab-Nya, para utusan-Nya, hari akhir, dan hendaklah engkau beriman kepada taqdir yang baik dan yang buruk.” Maka dengan sabda Rasulullah s.a.w mengenai iman ini telah diistimbat oleh para ulama bahawa Rukun Iman itu enam perkara sebagaimana sabda. Bila ia sudah menjadi rukun kepada dasar keimanan seseorang maka hukum mempelajari dan mendalami ilmu mengenai rukun iman ini menjadi fardhu ‘ain.  Adapun ilmu yang membicarakan perkara keimanan ini di panggil Ilmu Usuluddin atau Ilmu Kalam atau Ilmu Tauhid. Serta had mempelajari ilmu usuluddin ini ialah bagi mengesahkan keimanan serta mengesahkan i’tiqod atau pegangan  seseorang.

Seterusnya Rasulullah ditanyai oleh Jibril mengenai Ehsan, maka Rasulullah menjawab  “Hendaklah engkau beribadah kepada Allah seolah-olah engkau melihat-Nya. Namun jika engkau tidak dapat (beribadah seolah-olah) melihat-Nya, sesungguhnya Ia melihat engkau.” Inilah dia intipati bagi segala amalan hidup beragama, yakni merasa seolah-olah melihat Allah dan merasa sentiasa diawasi oleh Allah dalam setiap amalan, setiap saat, setiap detik serta setiap masuk dan keluarnya nafas hamba.  Di sini terdapat dua perkara yang menjadi rukun Ehsan, yakni pertama ‘Hendaklah engkau beribadat seolah-olah melihat Allah’ disebut dengan istilah MUSYAHADAH.  Keduanya pula ‘Jika engkau tidak dapat melihatnya sesungguhnya ia (Allah) melihat engkau, diistilahkan sebagai MUROQABAH. Ilmu yang membicarakan perkara yang berkaitan dengan Musyahadah dan Muroqabah ini dikenali sebagai ILMU TASAWWUF.  Ini bermakna mempelajari ilmu tassawwuf juga adalah fardhu ain bagi setiap mukallaf.  Mempelajari ilmu fekah bagi mengesahkan pekerjaan amal (syariat) manakala mempelajari usuluddin bagi mengesahkan i’tiqod atau pegangan hati dan mempelajari tasawwuf itu bagi melepaskan daripada syirik khafi dan jali serta mengesahkan pahala amal seseorang.

Di zaman Rasulullah belum timbul istilah Fekah, Usuluddin dan Tasawwuf, tetapi kehidupan beragama yang mengandungi Islam Iman dan Ehsan sudahpun ditunjukkan oleh Rasulullah dan telah diamali oleh para sahabat.  Perkataan-perkataan dan amalan yang menjurus kepada kehidupan Tasawwuf sudah sebati dengan jiwa para sahabat. Bilal ibni Rabah walaupun disiksa oleh kafir Quraish dengan berbagai seksaan namun kelazatan musyahadah beliau terhadap tuhan yang Ahad telah menghilangkan segala kesakitan jasad beliau.  Saiyidina Ali apabila panah tertusuk ke badan beliau meminta para sahabat beliau mencabut panah tersebut sewaktu beliau bersembahyang.  Musyahadah terhadap zat tuhan telah menghilangkan rasa sakit pada jasad beliau sewaktu panah dicabut.  Saiyidina Abu Bakar setelah habis kesemua hartanya dibelanjakan pada jalan Allah, lantas nabi bertanya ‘Apa yang tinggal pada engkau wahai Abu Bakar?’ Abu Bakar menjawab ‘Allah dan Rasul’. Ini membawa maksud pada pandangan mata hati Abu Bakar dirinya sendiri tidak ada yang ada hanyalah Allah dan Rasulnya sahaja.  Selanjutnya Rasulullah berkata ..Sesiapa yang ingin melihat mayat berjalan lihatlah pada Abu Bakar.  Yang dimaksudkan dengan ‘mayat’ di sini Diri yang tiada mempunyai wujud hakiki.  Rasulullah dapat memandang jauh ke dalam lubuk hati Abu Bakar bagaimana Musyahadahnya Abu Bakar terhadap Zat Allah yang Wajibalwujud.

Kehidupan bertasawwuf ini dapat juga kita lihat dari perkataan-perkataan para sahabat mengenai pandangan Basyirah (Musyahadah) mereka kepada zat Allah. Telah berkata Abu Bakar “Tiada aku lihat sesuatu melainkan aku lihat Allah dahulunya”  Maka berkata pula Umar “Tiada aku lihat sesuatu melainkan aku lihat Allah kemudiannya.”  Berkata pula Uthman “Tiada aku lihat sesuatu melainkan aku lihat Allah sertanya”.  Ali pula berkata “Tiada aku lihat sesuatu melainkan aku lihat di dalamnya Allah”.  Berkata lagi Saidina Ali k.w.j “Aku duduk pada pintu hati ku dan selain daripada Allah Taala tiada aku beri masuk di dalam hati ku, jikalau ada selain Allah di dalam hati nescaya telah meletak oleh berhala besar dan berhala keci (dalam hati)l”. Berkata Umar, “Hatiku melihat tuhan ku dengan cahaya dari tuhan ku.”  Ali pula berkata, “Aku tidak beribadah kepada tuhan yang tidak aku lihat (dengan mata hati)”.

Ternyata para sahabat nabi mempunyai Musyahadah yang berlainan tingkatan martabatnya, namun pokok pangkalnya mereka tidak memandang selain Allah. Inilah setinggi-tinggi pencapaian makrifat kepada Allah dalam hidup beragama. Kalau di syurga akhirat nikmat yang paling tinggi ialah melihat zat Allah dengan mata kepala, maka di atas dunia ini melihat Allah dapat dicapai dengan Mata Hati yakni BASYIRAH. Pengelihatan Basyirah ini ialah dengan melalui MUSYAHADAH.  Firman Allah, “Katakanlah (Ya Muhammad) Ini adalah jalan ku. Aku mengajak ke jalan Allah dengan pandangan yang Jelas (Basyirah). Aku dan para pengikut ku.”

Mengikut Syeikh Abdul Qadir Jailani Basyirah yang disebut dalam Quran itu adalah dari ruh asli (Ruhil qudus) yang terbuka pada mata hati bagi auliya.  Basyirah tidak akan terbuka dengan ilmu zahir sahaja, tetapi untuk membukanya haruslah dengan ilmu batin yakni ilmu ladunni (ilmu yang langsung dari Allah), sesuai dengan firman Allah:  “Kepada dia ku berikan ilmu yang lansung dari aku” .  Mengikut Syeikh Abdul Qadir Jailani lagi untuk menghasilkan pembukaan Basyirah manusia mesti mengambilnya dari Ahli Basyirah yakni dengan mengambil Talqin dan Bai’ah dari seorang Wali Mursyid yang dapat menunjukkan pembukaan ‘Alam Lahut. 

Wallahu a’lam

bersambung…..

Apabila Habib Umar al Hafidz di tuduh Ulama Palsu


Beberapa hari lalu seorang sahabat menceritakan kepada saya tentang adanya seorang Ustaz yang juga ahli politik yang memperjuangkan Islam di dalam ceramahnya menuduh Habib Umar adalah ULAMA PALSU kerana TIDAK BERJUANG.  Ustaz ini bolehlah dikatakan bertitle ulama kerana kemampuannya mengajar dengan kitab-kitab masyhur seperti Hidayatus Salikin karangan al-Alamah Syeikh Abdus Samad al-Falimbani rahimahullahu taala. Kitab ini adalah huraian daripada kitab Bidayatul Hidayah, iaitu ringkasan kitab Ihya Ulumuddin karangan Hujjatul Islam Imam al-Ghazali rahimahullahu taala dan kitab-kitab lain yang mana pengarang kitab ini bukan sahaja Ulama Sufi Nusantara yang masyhur malahan seorang pengembang tarikat tasawwuf (tarikat Samaniah). Walaupun pejuang-pejuang Islam  sekarang (setengahnya)  sangat Alergi bila disebut Tarikat Tasawwuf namun kitab karangan ulama-ulama tersebut masih dibaca.  Samalah juga orang di Terengganu yang selalu membanggakan sejarah negeri Terengganu yang diperintah secara Islam selama 25 tahun di zaman raja nya Sultan Zainal Abidin III dan di bawah ulama besar Terengganu Sayyid Abdul Rahman Al ‘Idrus (Tok Ku Paloh).  Sultan Zainal Abidin III adalah seorang yang alim dan banyak perkara perundangan negeri dan hukum agama merujuk kepada Tok Ku Paloh.  Tok Ku Paloh pula adalah seorang Ulama Sufi, ahli Tariqah pengembang beberapa tarikat seperti Naqsyabandiyyah, Shatariyyah dan Ratib al Haddad.  Begitu juga dengan sahabat serta murid beliau yakni Hj Abdul Rahman Limbong yang di beri mandat oleh Tok Ku Paloh untuk berhadapan dengan saki baki Salibiyyah yang datang ke Terengganu dalam misi menjajah. Bukan tidak ada ulama-ulama lain dalam negeri Terengganu,  tapi bagi Tok Ku Paloh hanya Haji Abdul Rahman sahaja yang mampu menghadapi kuasa kuffar tersebut.  Haji Abdul Rahman Limbong yang selalu di bangga-banggakan oleh beberapa tokoh politik yang mendakwa berjuang Islam hanya kenal hasil perjuangan Haji Abdul Rahman Limbong sahaja, tapi tidak mengenali intipati yang menjadi perkara pokok, yang menjadi tunjang kekuatan serta dasar pegangan yang jazam kepada Haji Abdul Rahman sendiri.  Haji Abdul Rahman juga adalah ahli sufi yang mengamalkan tarikat Samaniyyah yang mana sanadnya bersambung kepada Shiekh Abdul Somad Al Palembani, kepada Shiekh Muhammad Saman, seterusnya sampai kepada Rasulullah. Beliau juga adalah seorang pedagang. Saya tidak berhajat memanjangkan kisah ulama-ulama ini namun cuba layari laman web ini http://ulama-nusantara.blogspot.com/ .  Apa yang hendak saya utarakan di sini adalah sebahagian besar ulama-ulama terdahulu yang berjuang menyebarkan Islam sehingga sampai kepada kita hari ini adalah dari tokoh-tokoh ulama tasawuf yang memilih kehidupan Sufiyyah mengikut disiplin dan manhaj Rasulullah.

Orang mengenali Ikhwanul Muslimin yang diasaskan oleh Hassan Al Banna sebagai badan yang memperjuangkan Islam di Mesir.  Namun berapa ramai yang mengetahui apakah yang menjadi tapak asas yang menjadi kekuatan Ikhwan pada permulaan kewujudannya. Berapa orang yang mengetahui bahawa Ustaz Hassan Al Banna adalah seorang yang terdidik dengan jalan sufi.  “Jam’iyyah As-Suluk wal Akhlak” dan “Jama’ah An-Nahyu Al-Munkar” adalah menjadi landasan awal sebelum terbentuknya Ikhwanul Muslimin dan beliau juga memiliki hubungan yang erat dengan harakah sufiyyah yang pada saat itu marak tersebar di berbagai pelosok daerah dan kota di Mesir.

Mungkin ada di kalangan anda yang sudah mengenali Habib Umar. Beliau adalah seorang ulama dan pendakwah yang gigih. berasal dari Tarim, Hadramaut, Yaman.  Salasilah keturunan nya sampai kepada Imam Hussein cucu kepada Rasulullah s.a.w. Ayahanda beliau Habib Muhammad bin salim adalah seorang mufti Kota Tarim juga seorang pendakwah dan pejuang agama. Pernah memikul senjata melawan komunis Yaman.  Sekarang tidak diketahui samada hidup atau mati setelah diculik oleh komunis.

Seperti tradisi ulama-ulama silam yang tersohor, Habib Umar sejak remajanya telah mampu menghafaz Al Quran.  Di bidang hadis pula dikatakan beliau mampu menghafaz lebih dari 100,000 hadis beserta sanad dan matan hadisnya sekali.  Pernah sekali semasa majlis Daurah yang di adakan di Kuala Lumpur beliau membaca dan menghuraikan kitab Ihya Ulumuddin karangan Imam Ghazali tanpa dengan ketiadaan kitab di hadapannya, seolah-olah karangan Al Imam Ghazali itu berada dalam dadanya.   Kelayakan bagi seseorang imam mujtahid seperti imam Maliki, Syafei dan lainnya dalam menghafaz hadis jumlahnya mencapai lebih dari 600,000 hadis. Tapi orang sekarang Hadis Arba’in (hadis 40) susunan Imam Nawawi pun belum tentu dapat hafaz sudah rasa pandai dan alim dan hentam ulama yang tak sebulu dengan mereka.

Islam menganjurkan sifat berbaik sangka sesama saudara Islam. Kita tidak boleh mendakwa kumpulan kita sahaja yang memperjuangkan Islam.  Ada perkara yang tidak mampu kita lakukan tapi dapat dipraktikkan oleh NGO Islam lain.  Ada golongan yang tak berpolitik namun memberi undi kepada parti Islam kerana menyedari kewajipan menyokong di atas nama perjuangan Islam. Mereka ada alasan mengapa tidak mencampuri kaedah berpolitik sekarang dan seharusnya kita menghormati pendapat mereka. Kita juga perlu muhasabah diri dan selalu bertanya pada diri kita sendiri apakah yang kita bawa sekarang ini ada kesinambungan dengan apa yang Rasullallah bawa. Rasulullah menyampai risalah dakwah bukan dengan kehendak atau pemikirannya sendiri melainkan dengan wahyu Allah. Rasulullah tidak menyampaikan ideologi tapi menyampaikan wahyu. Rasulullah bersabda ‘Aku, para sahabatku dan orang yang ada pada sahabatku yakni Al Jamaah (Ahlisunnah Wal Jamaah) yang masuk syurga’, tapi ahli politik sekarang kata tak apa, apa-apa fahaman pun samada ahlisunnah ke, wahabi ke, Syiah ke, DAP ke asalkan beri undi untuk memenangkan Islam.  Politik Rasulullah adalah politik wahyu.  Wahyu dibangsakan kepada nabi dan rasul manakala Ilham Rabbani dibangsakan kepada Wali-wali Allah. Wahyu sudah putus setelah berakhirnya era nabi-nabi, namun ilmu yang dibangsakan kepada wahyu yakni ilham masih tidak putus.  Pemimpin yang memimpin kaumnya diakhir zaman ini yang mendapat warid atau ilham dari Allah adalah lebih terpimpin, ampuh dan selamat dari pemimpin yang bergantung kepada kekuatan ilmu atau kealimannya dan fikiran sendiri.  Dan Allah taala itu tidak miskin dari mengadakan pemimpin pewaris ilmu wahyu yang ditugaskan menjaga ugamanya. Mereka ini telah pun disebut dalam hadis-hadis nabi.  Mereka datang dan pergi silih berganti membawa kemenangan Islam menumpaskan kuasa kuffar.  Islam menang dan manusia cepat lupa serta leka dengan kemenangan, kemudian Allah menjatuhkan umat yang lalai dan leka. Allah memberi pula kerajaan kepada kuasa kuffar. Umat Islam sedar setelah ditindas dan ingin kembali kepada kebenaran.  Allah mengadakan seorang pemimpin yang membawa umat kepada kebenaran dan memenangkan kembali Islam. Begitulah silih berganti sehinggalah Allah menzahirkan Imam Mahadi seperti yang tersebut di dalam hadis-hadis sahih.  Rasulullah tidak perlu bergantung kepada orang -orang kafir untuk memberi kemenangan kepada Parti Rasulullah. Kalau tentera Rasulullah hanya ada 313 orang dengan kelengkapan peperangan yang serba doif,  manakala tentera musuh berjumlah 3,000 orang dengan kelengkapan perang yang canggih, atas perintah wahyu Allah Rasulullah pergi berperang jua. Rasulullah bergantung hanya kepada Allah dan tak perlu pertolongan makhluk-makhluk kafir.  Namun parti Islam hari ini berijtihad perlu jua kepada undi orang kafir untuk memenangkan Islam. Maka terpaksalah bertoleransi dengan orang kafir bagi kepentingan bersama. Jadi terserahlah samada kita nak berjuang ikut kaedah tauhid Rasulullah atau ikut kepakaran dan keilmuan kita. Wallahu a’lam.

Dari sudut mana ustaz politik ini mengukur Habib Umar ulama palsu dengan alasan tidak berjuang. Dan dengan ukuran apa atau dengan penilaian apa pula ustaz ini menilai erti perjuangan. Apakah perjuangan itu ialah dengan kita mendaftar diri dalam satu pertubuhan politik dan kalau orang yang tak berpolitik itu di’cop’kan tidak berjuang.  Cepat melabelkan seseorang adalah satu sikap buruk bagi seseorang pejuang politik sekarang.  Ini adalah satu penyakit yang kalau tak ditangani oleh pemimpin-pemimpin atasan akan menjadi lebih parah. Tapi kalau pemimpin atasan pun bersikap yang serupa itu lagi parah.  Apabila Habib Umar dijemput ke Malaysia di atas tiket pemimpin UMNO maka segelintir ahli dan pemimpin PAS memandang serong dan terus meng’cop’ Habib Umar adalah ‘Proksi UMNO’.  inilah satu kesilapan besar pendakwah-pendakwah kita.  Andai kata pemimpin MCA menjemput Habib Umar berceramah kerana ingin mendengar mengenai Islam adakah kita akan cop Habib Umar Proksi MCA?. Kalau DAP menjemput pemimpin PAS di dalam majlis-majlis DAP, kita tak boleh kata bahawa PAS proksi DAP atau PAS ikut telunjuk DAP, jawapannya senang saja ia itu untuk memberi kefahaman mengenai Islam yang sangat adil kepada orang-orang kafir dalam DAP.  Alhamdulillah berkat usaha gigih dari kalangan pemimpin-pemimpin PAS sekarang DAP sudah tidak alergi lagi pada PAS.  Cumanya tak boleh lagi disebut mengenai Negara Islam kerana DAP masih lagi alergi dengan ungkapan itu.

Persoalannya apakah PAS akan rugi bila UMNO menjemput Habib Umar datang ke Malaysia?.  Saya berpendapat PAS tidak rugi apa-apa, malahan memberi kelebihan kepada PAS sebagai parti yang memperjuangkan Islam.  Samalah seperti UMNO menjemput Dr Yusoff Qardawi ke Malaysia sebenarnya tidak menguntungkan UMNO malahan memberi kelebihan kepada PAS. Begitu jua kebanyakan guru-guru pondok tidak memihak kepada PAS atau UMNO untuk mengajar ilmu ugama. Kalau PAS tak betul tak boleh dibiarkan mesti ditegur dan bila ditegur jangan pula kata kumpulan si anu tidak pro PAS.  Dalam menyampaikan ilmu ugama semua berhak menerima ilmu Islam samada PAS atau UMNO. Kalau orang PAS susah nak merapati orang UMNO maka NGO Islam lain  boleh bergaul dengan orang UMNO,mudah-mudahan orang UMNO yang dah Islam lebih cenderung lagi kepada Pemerintahan Islam atau terus menyokong PAS. Jadi bila sesebuah pondok menjemput mufti atau kakitangan Jabatan Agama Negeri untuk meresmikan sesuatu majlis janganlah kita melatah dan terus cop pondok itu pro UMNO. Bersangka baiklah sesama jemaah Islam kerana orang pun akan bersangka baik bila kita menjemput kafir DAP dalam majlis kita.  Bagi Habib Umar siapa saja yang menjemput beliau maka beliau akan datang dengan membawa mesej LAAILAAHA ILLALLAH MUHAMMADURRASULULLAH. Kita juga dapati apabila pemimpin UMNO membawa Habib Umar ke Malaysia yang hadir pada majlis tersebut bukannya orang-orang UMNO tapi golongan berketayap putih yakni orang-orang PAS, NGO Islam dan pelajar-pelajar pondok.  Manakala orang UMNO lebih gemar kepada konsert-konsert.  Jadi bila kita berburuk sangka kepada Habib Umar atau mana-mana ulama bebas lain itu adalah satu kerugian yang besar.

Habib Umar bukan sahaja diperleceh oleh sebilangan pemimpin-pemimpin Islam di negara kita.  Beliau juga difitnah dengan berbagai-bagai tuduhan di negaranya sendiri.  Golongan yang cenderung kepada fahaman wahabiah di Yaman termasuk pelajar-pelajar Malaysia di Sana’ah Yaman menuduh Habib Umar pengamal ajaran sesat, pembid’ah dan penyembah kubur.  Bumi Yaman adalah  bumi Ambia dan Aulia.  Banyak makam-makam perkuburan nabi-nabi dan wali-wali Allah terdapat di sana.  Banyak pula hadis-hadis nabi yang mengharuskan menziarah kubur dan mengajar adab-adab menziarah perkuburan nabi-nabi dan wali-wali Allah serta mengambil berkat daripada mereka.  Kalau kita tak mahu ziarah kubur-kubur nabi pun tak apa tapi jangan pula kita tuduh orang yang menziarah kubur itu pergi menyembah kubur. Takkan tak tahu nak bezakan tuhan dengan kubur.  Kubur itu makhluk, kayu batu itu bukan tuhan.  Orang yang mati dalam kubur juga makhluk Allah. Makhluk tak boleh memberi bekas, samada orang mati atau orang hidup sekalipun pada hakikatnya tidak memberi apa-apa manafaat melainkan Allah.  Namun kita wajib percaya dengan firman Allah yang menyebut bahawa Nabi-nabi dan Wali-wali Allah dan orang yang mati pada jalan Allah mereka itu hidup di dalam kubur mereka dan Allah memberkati mereka.  Masalah samada boleh atau tak boleh kita mengambil barkah daripada mereka sudah pun dibahaskan oleh ulama-ulama muktabar sejak berkurun lalu. Kalau kita merasa Islam berjaya dan tertegak kerana usaha dan ikhtiar serta pengorbanan kita maka syirik juga hukumnya kerana tiada sandaran kepada Allah.

Akhir sekali marilah kita kembali kepada jalan yang telah digariskan oleh pemimpin Agong kita Saiyidina Wa Habibina Muhammad s.a.w dan jalan orang-orang yang telah Allah berikan petunjuk.  Perbaikilah diri kita sendiri bagi menguntungkan dan memantapkan perjuangan Islam.  Anggaplah semua orang Islam itu bersaudara dan penuhilah hak-hak saudara kita walaupun mereka tidak sealiran fahaman politik dengan kita. Selalulah berdoa dan buatlah sembahyang hajat supaya Allah memberi petunjuk kepada seluruh umat Islam dan menyatukan hati-hati seluruh umat dibawah satu payung dan bukan berdoa untuk melaknat mereka.  Nabi sendiri dalam misi dakwahnya dihalang dengan berbagai-bagai cara yang zalim, dibaling dengan batu hingga berdarah, dihalangi jalan nabi dengan duri, dipersenda dengan meletak belulang binatang semasa nabi bersembahyang dan berbagai lagi, sehinggakan para malaikat ingin membalas perbuatan kafir Quraish dengan mengangkat gunung ingin dihempas ke atas kafir Quraish namun nabi tak benarkan malah berkata dan berdoa supaya ada zuriat dari kalangan umat yang derhaka itu  mendapat petunjuk.

Wallahu a’lam

Allah Memberi Kita Merasa


Hari ini panas terik.  Seperti hari-hari selalunya dalam beberapa bulan ini, kata orang mandi pun berpeluh.  Kalau kat rumah tu kipas berpusing 24 jam.  TNB mungkin buat koleksi lebih untuk beberapa bulan ini. Anak perempuan ku yang telah menamatkan pengajian di peringkat STPM tahun lepas kini dipanggil temuduga untuk ijazah perguruan di sebuah universiti.  Jadi aku kenalah menghantarkannya untuk menghadiri sessi temuduga.

Dalam perjalanan untuk sampai ke destinasi yang mengambil masa selama dua setengah jam itu kereta ku mula buat hal.  Jarum pada meter suhu naik mendadak dan aku sempat menyedarinya,  Aku tahu bahawa berlaku kebocoran pada mana-mana  sistem paip radiator kerana sebelum ini sudah berlaku perkara yang sama, jadi aku lebih berhati-hati.  Niat aku untuk menukar batang paip tersebut kerap  tertangguh kerana selalu kesuntukan masa.  Ada sahaja perkara yang perlu di dahulukan.

Aku memberhentikan kereta ku di tepi jalan berhadapan dengan sebuah kilang penapisan minyak dan gas Petronas.  Aku mematikan injin dan menghidupkan kipas supaya dapat menurunkan suhu injin.  Dengan keadaan bonet kereta terbuka itu aku mencari di mana kebocoran berlaku.  Kalau sebelum ini kebocoran terjadi antara penyambung paip getah dan paip besi radiator tapi sekarang aku lihat satu pancaran halus dan tajam air keluar melalui batang paip besi radiator pula.  Kalau nak lihat dengan mata kasar lubang tersebut mungkin tak terlihat malahan kalau di tusuk dengan jarum yang halus pun mungkin tak lepas. Namun kerana tekanan air yang tinggi menyebabkan satu pancutan halus yang sukar kelihatan berlaku dan cukup untuk mengeringkan air dan meningkatkan haba pada injin kereta.  Aku harap  selinder head tak bengkok dahlah, namun aku pasti gasketnya dah bakar dan perlu tukar segara.  Apa taknya dah dua kali over heating. Nak tahu gasket dah terbakar tak payah, pertama kita buka penutup radiator dan start kereta. Perhatikan kalau ada lompatan kecil air semasa mula start kereta tadi, itu satu tanda.  Kedua biarkan injin hidup dan terus perhati adakah terdapat buih-buih halus seperti air minuman bergas.  Kalau ada itu adalah simtom kedua dan ketiga kalau kita terpaksa menambah air ke tangki (radiator ) dengan kerap itu memang pasti gasket dah terbakar, mungkin juga selinder head dah bengkok.

Jam menunjukkan pukul 11.20 pagi.  Sementara menunggu suhu injin kembali stabil aku berfikir macamana nak tutup kebocoran paip tersebut untuk sementara. Untuk ke workshop masih jauh lagi begitu juga kedai hardware tak ada di kawasan tu.  Lantas aku menelefon isteri ku supaya datang membawa getah tiub basikal, dawai, playar dan air.  Aku terfikir kalau aku telefon makenik kereta (seorang kawan) ceritanya panjang sedikit sedangkan benda macam ni simple je dan boleh buat sendiri.

Seperti mana pesan guru ku setiap apa yang berlaku itu adalah kehendak Allah.  Tidak ada sesuatu perkara itu terlepas dari kudrat dan iradat Allah.  Itu aku pegang.  Apa hikmah di atas  apa yang berlaku itu… yang ini aku mahu kongsikan dengan pembaca sekalian.  Aku kira perjalanan isteriku untuk sampai dengan keretanya akan mengambil masa kira-kira satu jam.  Cukup untuk memulihkan kembali suhu injin kepada suhu normal dan bolehlah diisikan air semula kedalam tangki/injin.  Sedang aku menunggu untuk memulihkan sistem penyejuk keretaku dengan mengisi air… jiwa ku juga perlu diisikan dengan air juga tapi bukan air biasa yakni air mata air yang terpancar keluar dari dalam lubuk hati. air Maa Al Hayaati.  Air yang boleh menyejukkan jiwa. Air  bagi musafir yang sentiasa kehausan.  Kehausan, kerinduan, pengharapan.   Jiwa kita tidak boleh terhalang dengan sedikit kesusahan yang Allah kurniakan.

Sedang aku menunggu kelihatan beberapa orang pekerja keluar dari kawasan Kilang penapisan dengan berbagai-bagai uniform menuju ke kenderaan masing-masing. Ada yang beruniform kuning, merah, hijau (macam lampu trafik) dan sebagainya.  Peraturan keselamatan tak membenarkan kereta pekerja malahan kenderaan bermotor berada dalam kawasan pagar kilang penapisan minyak bagi mengelakkan berlaku bencana kebakaran.  Kebetulan keretaku berada di kalangan kereta-kereta pekerja tersebut.  Sebilangan dari pekerja yang lalu di hadapan ku hanya melihat sahaja keadaan kereta ku dengan bonet terbuka dan kami dua beranak duduk termenung.  Ada juga yang bertanya apa masalah dan berlalu pergi.  Dan ada juga yang bertanya kalau aku memerlukan apa-apa pertolongan.  Namun jawab ku ‘Ta apa, benda kecik je.. saya boleh buat sendiri’.

Dalam ramai ramai pekerja yang mendapatkan kenderaan masing-masing dan berlalu pergi itu aku perhatikan seorang pekerja yang datang kepada keretanya dan membawa se utas dawai yang agak kasar juga.   Kereta pekerja tersebut betul-betul terletak di hadapan kereta ku.  Aku perhati dari kereta ku apa yang dia cuba buat.  Oh nampaknya dia sedang cuba membuka pintu kereta menggunakan dawai tersebut.  Aku pasti mesti kunci keretanya tertinggal kat dalam dengan keadaan kereta terkunci.  Tak tergamak aku duduk perhati sahaja. Dia menoleh kepada ku seolah-olah berharap pertolongan.  Aku datang merapatinya “Apa hal??.. kunci tertinggal”  Aku menyapa.  “Ya lah” jawabnya ringkas sambil mencari-cari mana nak dimasukkan dawai tersebut untuk di tuas tombol penyelak kereta tu kat dalam.  Keretanya jenis Nissan Sunny model lama (tahun 80an kot).  Kalau model ni rasanya tak susah nak bukak, bisik hati ku.  Sudah puas dia mencuba tapi tak berjaya, terus aku minta dawai tersebut untuk mencuba.  Sebenarnya aku tak pernah buat kerja kopak mengopak kereta orang ni tapi adalah dengar petua-petua nak bukak kereta yang terkunci dari dalam.  Aku pun tak berjaya.  Beberapa orang pekerja lain (kawan-kawan pekerja tersebut) datang ingin membantu.  Huhh!!… cuaca panas terik aku tinggalkan mereka kerjakan kereta tersebut seketika. Aku kembali ke kereta ku untuk meneguk air.  Alhamdulillah terasa nikmat minum air ketika sangat dahaga.  Itulah kehebatan Allah.  Diciptanya rasa dahaga pada makhluknya dan diciptakan minuman yang lazat dengan berbagai jenis. Diciptakan rasa lapar pada makhluk serta dicipta pula aneka makanan untuk makhluk menikmatinya.

Sambil relek sekejap aku memerhati pekerja-pekerja tersebut masih lagi terkial-kial nak bukak pintu kereta tersebut.  Aku mula perhati dia orang dah mula mengopek bingkai pintu kereta tersebut.  Ah… ini tak boleh jadi ni.  Aku pergi semula mendapatkan mereka.  Aku dapatkan semula besi dawai dari mereka.  Mereka kopek pintu sebelah kanan, aku pula ke  pintu sebelah kiri.  Kali ini  aku mengangkat sedikit pemegang pintu dan terdapat satu lubang yang boleh aku masukkan dawai tersebut.  Aku bengkokkan sedikit dawai tersebut dan menjolok-jolok tolak ke atas tombol pengunci kereta.  Di dalam hati ku aku mengharap akan pertolongan Allah dengan membaca beberapa solawat ke atas Rasulullah yang diajarkan guru ku.  Mudah-mudahan dengan berkat solawat tersebut Allah memudahkan kerja kita sebagaimana maksud hadis yang menceritakan kelebihan bersolawat ke atas nabi dengan 100 koramah,  30 di dunia dan 70 di akhirat.  Belum sampai 2 minit tiba-tiba dawai yang aku jolok itu tersentuh tombol penyelak tersebut dan pintu kereta pun terbuka.  Syukur… Alhamdulillah.

Aku tinggalkan mereka dan berjalan menuju ke kereta ku.  Anak perempuan ku yang berada di kereta tersenyum gembira.  Aku membisikkan kepadanya “Kalau kita menolong orang dengan ikhlas, Allah akan menolong kita”.  Masalah yang ada pada kita tidak menghalang untuk kita membantu orang yang lebih memerlukan pertolongan.  Walau pun bentuk pertolongan itu tidaklah sebesar mana, namun cukup untuk mengembirakan orang lain.

Tiba-tiba tuan punya kereta dan kawan-kawannya yang aku tolong tadi menghampiri ku.  Mungkin datang untuk membalas budi.  Mereka bertanyakan masalah yang aku hadapi dengan kereta ku itu.  Aku katakan masalahnya kecil sahaja dan boleh menanganinya sendiri.  Aku ceritakan sedikit apa yang berlaku dan menunjukkan dimana tempat yang menjadi puncanya.   Nampaknya mereka tidak berganjak untuk cuba membantu ku walau pun berkali=kali aku katakan ‘ Tak apalah, tak payahlah,  saya boleh buat sendiri’.  Ini kerana aku tidak mahu melewat masa rehat mereka.  Sebenarnya apa yang tak ada pada ku tapi ada pada mereka dan aku memandang ianya adalah juga pertolongan dari Allah.  Maka aku tidak berlebih-lebih dalam menolak pertolongan mereka, takut kalau-kalau jatuh kepada menolak pertolongan Allah.  Jadi aku biarkan sahaja mereka dan semoga mereka juga mendapat pahala dari apa yang mereka lakukan.  Mereka mengeluarkan Adhesive Tape yang mereka selalu bawa bersama perkakasan kerja dan membalutkan pada bahagian yang bocor tersebut.  “Ah!!… bolehlah untuk beberapa kilometer sampai kat workshop”  kata salah seorang mereka apabila sudah siap.  Kami bersalaman dan saling mengucapkan terima kasih.  Mereka pun beredar.

Walaupun balutan Adhesive Tape tidak mampu menanggung tekanan haba yang tinggi dari dalam injin namun bolehlah bawak kereta dan kena selalu perhati meter suhu kereta. Aku menelepon isteri ku supaya tak payah datang  membawa barang keperluan yang aku minta sebelumnya kerana ianya telah selesai satu bab.  Namun aku berhenti juga di sebuah kedai hardware untuk mendapatkan playar dan dawai.  Kebetulan berdekatan dengan kedai tersebut ada sebuah kedai membaiki motosikal, jadi aku dapatkan juga getah tiub terpakai.  Di bawah sepohon pokok ketapang aku berteduh.  Sekali lagi aku tambah balutan pada paip yang sudah dibalut dengan adhesive tape tersebut.  Balutan tersebut lebih meyakinkan dan aku teruskan perjalanan ke destinasi ku.

Begitulah saudara di sepanjang perjalanan hidup kita, setiap nafas hamba dan setiap kerlipan mata kita tak terlepas dari ujian Allah.  Ujian dengan kesusahan, ujian dengan kesenangan, kemiskinan dan kepicikan hidup.  Ujian dalam pekerjaan kebajikan,  amal kebaikan, ilmu, kedudukan.  Semua di uji.  Bagaimana kita melihat bentuk ujian itu menerima dan menyerah kepada tuan yakni Allah.  Bagaimana sangka kita terhadap Allah di atas perkara musibah atau nikmat.  Kalau buruk sangka kita kepada Allah maka buruklah jadinya begitulah sebaliknya.

Wallahu A’lam

Empat Golongan Yang Ditempelak Allah Taala


Diambil cerita dari hadis nabi bahawa empat golongan yang ditempelak oleh Allah Taala di akhirat nanti dengan empat orang nabi Allah.  Pertama golongan yang Allah kurniakan kuasa memerintah (kerajaan) serta di anugerahi dengan sumber kekayaan yang melimpah.  Di akhirat,  Allah Taala berseru-seru kepada golongan ini,  “Mana segala raja-raja dan segala orang-orang kaya!”.   Maka datang mengadaplah segala golongan raja-raja, orang-orang bangsawan dan orang-orang kaya.  Berseru lagi suara dari hadirat ketuhanan,  “Apa jua perkara yang melalaikan kamu daripada berbuat ibadat dan mengingati  Allah !??”.  Kemudian jawab mereka ” Bahawa sesungguhnya Allah Taala telah menganugerahi kami akan kuasa memerintah kerajaan dan harta yang banyak untuk ditadbir.  Oleh itu kami sangat sibuk dengan kerja-kerja pentadbiran dan urusan politik.  Dengan sebab itulah maka kami terlalai dari mengingati mu ya Allah.”   Terdengar suara dari hadirat ketuhanan,  “Mana yang lebih besar kerajaan kamukah atau kerajaan Nabi Sulaiman dan Nabi Daud ? ”  Jawab pula mereka “Kerajaan Nabi Allah Sulaiman dan Nabi Allah Daudlah yang lebih besar daripada kerajaan kami.”  Maka berseru lagi dari pihak ketuhanan ” Jika demikian itu apa jua yang telah melalaikan kamu dari berbuat ibadat kepada Allah?”  Kali ini mereka terdiam.

Seterusnya Allah memanggil golongan yang Allah taala kenakan bala semasa di atas dunia kepada mereka.  Para malaikat membawa golongan ini ke hadirat Allah Taala.  Berseru hadirat ketuhanan kepada golongan ini  ” Apa jua perkara yang telah melalaikan kamu dari beribadat mengingati ku? ”  Mereka menjawab  ” Sesungguhnya Allah taala telah menurunkan bala dan kesakitan ke atas kami semasa di atas dunia dan dengan sebab itulah kami amat merasa  masyghul, gundah gulana, dukacita dengan bala itu serta menghalang kami dari mengingati mu Ya Allah !”   Maka menjawab suara dari pihak ketuhanan  ” Engkaukah yang terlebih kena bala atau Nabi Allah Ayubkah yang terlebih kena bala dan kesakitan? ”  Maka sembah pula mereka yang terkena bala itu  ” Sesungguhnya Nabi Allah Ayublah yang terlebih engkau datangkan bala dan kesakitan ke atasnya berbanding kami ini ya tuhanku”  Balas pula suara dari pihak ketuhanan  ” Jika yang demikian itu apa jualah sebab yang melalaikan kamu daripada berbuat ibadat kepada kami?  Lalu mereka terdiam tidak terjawab.

Selanjutnya Allah Taala berseru kepada makhluknya,  ” Mana dia orang-orang yang elok rupa parasnya, muda belia serta gagah perkasa ?? ”  Para malaikat pun membawa golongan orang-orang muda dan yang elok rupa paras datang mengadap ke hadirat Ilahi.  ” Apa jua yang melalaikan kamu di dalam dunia daripada berbuat ibadat akan Allah Taala??  Maka jawab golongan tadi  ” Bahawa sesungguhnya Allah Taala telah menganugerahi kami dengan kemudaan elok paras rupa dan kami sesungguhnya telah tenggelam dan alpa dengan keadaan kami itu.  Dengan sebab itulah maka kami terlalai dari mengingati mu ya Allah”  Maka  berseru suara dari hadirat ketuhanan,  ” Siapa yang terlebih muda dan terlebih elok paras rupa, kamu kah atau nabi Allah Yusuf? ”   Lantas menjawab mereka ” Sesungguhnya nabi Allah Yusuflah yang terlebih elok paras rupa daipada kami. ”  Suara ketuhanan menempelak lagi   ” Jadi kalau begitu apa jualah yang menghalang kamu dari beribadat kepada ku”  Kali ini mereka terdiam  tidak menjawab.

Akhir sekali Allah Taala  berseru, ” Mana dia orang-orang yang yang aku kurniakan kefakiran  dan kemiskinan, bawa mereka datang mengadap.”  Terus para malaikat membawa golongan fakir miskin ke hadirat ilahiah.  Maka berseru suara ilahiah kepada golongan tersebut  ” Apakah hal engkau di dalam dunia lalai engkau dari beribadat dan mengingati ku ? ”  Jawab orang-orang fakir dan mtskin tersebut,  ” Ya Allah ya tuhan kami,  telah mengurnia engkau akan kami dengan kepapaan dan kemiskinan.  Kami hidup di atas dunia dalam keadaan doif, serba kekurangan maka ianya telah menjadi halanagan kepada kami untuk beribadat dan mengingati mu. ”   Maka berseru suara ketuhanan,  ” Siapakah yang terlebih doif serta fakir dan miskin kamu kah atau nabi Allah Isa ? ”  Sahut mereka  “Nabi Allah Isa lebih fakir dan miskin daripada kami ya Allah. ”   Balas pula suara dari hadirat ketuhanan,  ” Kalau begitu apakah dengan kurniaan ku yakni fakir dan miskin menjadi sebab  menghalang kamu dari beribadat mengingati ku ?  ”  Mereka semua terdiam tidak menjawab.

Mengikut cerita Nabi Allah Isa a.s adalah seorang yang sangat miskin.  Apa yang ada pada beliau hanyalah sehelai baju jubah bulu yang dipakainya sejak dua puluh tahun lamanya,  sebuah kendi untuk beliau berwudhu dan minum dan sikat untuk menyikat rambut dan janggutnya.  Pada suatu hari beliau terlihat seorang fakir yang sedang minum air menggunakan tangannya,  maka nabi Allah Isa pun membuang kendinya dan minum pula menggunakan tangannya.  Di masa yang lain pula beliau melihat seorang fakir yang lain pula menyisir rambutnya dengan menggunakan tangannya,  maka terus sahaja nabi Isa membuangkan sikatnya.  Jadi sekarang beliau  sudah tidak mempunyai apa-apa kecuali Allah sahaja.  Kemudian Nabi Allah Isa berkata, ” Kenderaan ku ialah kaki ku, dan akan rumah ku ialah segala gua-gua,  makanan ku ialah tumbuh-tumbuhan yang melata di atas muka bumi,  minuman ku ialah segala anak-anak sungai dan aku tidak memerlukan kekayaan yang lebih dari itu.

Nota:

Wahai teman, apakah i’tibar yang dapat kita ambil dari kisah di atas.  Apakah kedudukan anda sekarang ? Adakah anda seorang pemimpin politik dan masa anda dihabiskan dengan memikirkan soal-soal mentadbir masyarakat ?  seorang usahawan yang berjaya?  Seorang yang berkedudukan tinggi dalam masyarakat? atau anda hidup kais pagi makan pagi.  Anda telah gigih berusaha tapi belum mencapai apa yang anda idamkan.  Adakah anda selalu ditimpa malang? selalu dalam kesempitan hidup? Anda telah  berusaha dan terus berusaha untuk keluar dari kepompong kemiskinan?

Cuba kita amati akan kata-kata Rabi’atul Adawiyah apabila beliau ditegur oleh seseorang ” Kenapa kamu memakai pakaian yang koyak dan kotor ?  Kamu ada kawan-kawan yang kaya dan mereka boleh memberi mu pakaian yang baru.”  Mendengar saranan itu Rabi’ah menjawab, ”  Aku berasa malu meminta perkara-perkara dunia dari sesiapa pun yang bukan hak milik mereka kerana perkara-perkara itu adalah  amanah Allah kepada mereka dan Allah jua lah yang memiliki segala-galanya.

Malik bin Dinar pernah mengunjungi Rabi’ah, dilihatnya di rumah Rabi’ah terdapat sebuah balang air yang separuh pecah untuk minum dan berwudhu’ ,  sebuah batu bata untuk bantal tidur dan sehelai tikar usang sebagai alas tidur.  Melihat itu Malik berkata kepada Rabi’ah,  “Aku ada seorang kawan yang kaya, jika kau izinkan aku akan meminta kawan ku itu mengadakan barang-barang keperluan harian mu.”  Namun Rabiah menjawab, ”  Adakah ada satu tuhan yang menanggung ku dan satu tuhan yang lain pula menanggung kawan mu itu?  Jika tidak,  adakah tuhan lupa kepada ku kerana aku miskin, dan ingat kepada kawan mu itu kerana dia kaya?   Sebenarnya Allah tidak lupa kepada sesiapa pun.  Kita tidak perlu memberi ingat kepada tuhan itu, dia lebih mengetahui apa yang baik untuk kita.  Dia yang memberi kurnia dan dia juga yang menahan kurnia itu.”

Jika kita dilanda musibah hendaklah kita mengingat orang-orang yang lebih berat lagi ujian yang berupa musibah daripada kita. ingatlah para nabi-nabi, aulia-aulia Allah dan para ulama ditimpakan dengan kesusahan, kepapaan, kesakitan malahan ramai yang terbunuh dalam menegakkan ugama Allah.  Jangan kita terhenti dengan mengenang keperitan hidup kita, kerana itu akan menghalang kita dari mengingati Allah.  Golongan Ahlillah memandang apa yang dihadapinya semuanya daripada Allah. Samada kesusahan atau kesenangan.  Bagi mereka apa yang baik itu daripada Allah  dan yang buruk itu jua daripada Allah. Malahan mereka tidak menganggap yang buruk itu adalah buruk kerana sesuatu yang datang dari Allah tak ada istilah buruk bagi mereka, kerana Allah itu maha baik.

Begitu jualah bagi orang yang dikurniakan Allah dengan kesenangan hidup, dikurniakan kekuasaan, pangkat dan kejayaan duniawi, janganlah terhenti setakat itu sahaja.  Janganlah ianya menjadi penghalang kita dalam menuju mendekatkan diri kepada Allah.  Lihatlah kepada nabi-nabi yang dikurniakan Allah dengan kerajaan dan kekayaan seperti nabi Sulaiman dan nabi Daud, Lihatlah kepada sejarah Iskandar Zulkarnain bukan sahaja penakluk yang agong tetapi juga orang yang hamptr dengan Allah.  Lihatlah hati sahabat-sahabat nabi yang tidak terpaut hati mereka kepada kebendaan yang dikurniakan Allah seperti Saidina Osman dan Saidina Abu Bakar.

Nabi sendiri selalu berdoa yang maksudnya “Ya Allah ya tuhan ku, aku berlindung dengan mu daripada fitnah kekayaan dan kepapaan.”  Kekayaan membawa fitnah bermaksud kekayaan yang boleh menyesatkan orang kepada jalan Allah,  bilamana beranggapan bahawa kekayaan itu adalah hasil usaha ikhtiar mereka sendiri dan tidak ada kena mengena dengan Allah.  Begitu juga kemiskinan boleh menyesatkan orang,  bilamana seseorang itu merasa tuhan tidak berlaku adil kepada mereka dan mencerca diri sendiri kerana miskin.

Orang yang berbahagia itu akan memandang yang baik itu daripada Allah dan yang buruk itu baik juga kerana daripada Allah.  Tidak merasa suka dengan kesenangan dan tidak merasa duka dengan kepayahan.  Bila datang musibah maka Allah lah tempat ia mengadu.  Bila datang kesenangan Allah jua yang disyukurinya. Janganlah bergantung kepada nikmat Allah tapi bergantunglah kepada Allah.

Wallahu a’lam

Sebesar Mana Amalan Kita Berbanding Rahmat Allah?


Pada hari akhirat Allah memanggil seorang hambanya serta berfirman Allah, ” Hai hamba ku apakah hal perbuatan kamu di dalam dunia selama hidup mu?”  Maka sembah lelaki itu, “Ya tuhan ku, aku tinggal di sebuah pulau dengan berbuat ibadat kepada engkau selama lima ratus tahun lamanya.  Di pulau itu terdapat sepohon pokok delima yang sentiasa berbuah pada tiap-tiap tahun. Maka aku makan delima itu pada setiap hari sebiji dan tiadalah aku memerlukan  yang lain lagi melainkan menyebut-nyebut  nama mu dan puasa dan sembahyang sehinggalah mati aku dalam keadaan bersujud kepada mu”.  Firman Allah Taala, ” Benar engkau hai hamba ku, sekarang masuklah kamu ke syurga dengan RAHMAT KU”.  Sembah lelaki itu pula, ”  Ya tuhan ku tiadalah mahu aku masuk ke syurga dengan rahmat mu, akan tetapi aku masuk ke syurga dengan amalku”.  Berfirman pula Allah,  “Mari aku hisabkan akan dikau hei hamba ku,  siapa yang memberi kuat atas mu mengerjakan ibadat selama lima ratus tahun itu di pulau itu? dan siapa pula memberi kuat ke atas engkau berpuasa, sembahyang?” .  Sembah lelaki itu ” Ya tuhan ku engkau jua yang memberi kuat.”  Firman Allah lagi, ” Siapa yang menumbuhkan pohon delima yang engkau makan buahnya pada setiap hari?   Sembah lelaki itu ” Ya tuhan ku engkau jua.”  Firman Allah lagi  “Siapakah yang mengeluarkan air tawar daripada pulau yang dikelilingi oleh laut yang masin itu untuk engkau minum dan mandi?”  Sembah lelaki itu ” Engkau jua ya tuhan ku.”  Firman Allah lagi ” Siapa yang memperkenankan doa kamu apabila kamu meminta kepada ku untuk mati dalam keadaan bersujud kepada ku?”  Jawab lelaki itu ” Engkau jua ya tuhan ku”.

Allah Taala menitahkan kepada malaikat membawa segala amalan lelaki itu yang selama lima ratus tahun itu dan diletakkan di atas neraca timbangan.  Kemudian Allah mengambil cahaya pengelihatan daripada mata lelaki itu dan diletakkan pada daun neraca yang di sebelah lagi.  Maka didapati timbangan daripada cahaya pengelihatan mata lelaki itu lebih berat dari timbangan amalan lelaki itu.  Amal soleh yang dilakukan selama lima ratus tahun oleh lelaki itu masih belum mampu mengatasi kurnia Allah walau pun hanya salah satu dari kurnianya yakni cahaya pengelihatan.  Maka Allah Taala memerintahkan malaikat membawa lelaki itu ke neraka.  Di tengah perjalanan ke neraka lelaki yang soleh tersebut bermohon, ” Ya Allah, masukkanlah aku ke syurga mu dengan rahmat mu”.   Allah berfirman, ” Hai hamba ku masuklah engkau ke syurga dengan rahmat ku, engkaulah sebaik-baik hamba.”   Maka masuk lah lelaki itu ke syurga dengan kerahmatan Allah.

nota:

Wahai teman …. renungkanlah iktibar dari cerita di  atas,  apalah yang ada pada kita.  Tidak ada satu pun yang menjadi hak mutlak kita.  Perhatikan diri kita yang zahir dari hujung rambut sehingga ke hujung kaki tidak ada satu pun yang kita cipta sendiri. Perhatikan pula wajah kita di cermin, itulah rupa diri kita yang kita muliakan tapi kepunyaan Allah. Perhatikan pula kepada daya pengelihatan, pendengaran,  kebolehan bercakap, berfikir, pencapaian tingkatan ilmu semuanya kurniaan Allah.  Kemampuan kita berusaha samada berjaya atau pun tidak semuanya dari Allah jua. Allahlah yang mencipta usaha dan ikhtiar sebagaimana firman Allah yang maksudnya “Allahlah yang menciptakan kamu dan perbuatan kamu.” Perhatikan pula nikmat-nikmat iman dan Islam, nikmat makan dan minum, nikmat harta, nikmat berkeluarga semuanya Allah yang bagi pinjam dan kita hanya pakai sahaja.  Selama ini kita mengaku itu hak kita dan ini hak kita tetapi hakikatnya kosong, tak ada apa-apa. Semua hak Allah Taala.

Bandingkanlah pula amal kebaikan yang kita buat sebanyak mana dan banyak mana pula kita dalam kelalaian dalam mengingati Allah, sedang Allah berfirman di dalam Quran dengan fimannya ‘Walizikrullaahu Akbar’ .  Apakah kita merasa sudah cukup amalan kebajikan kita? Aduhhh!! …. kalau dihitungkan amalan kita amatlah kecil kalau dibandingkan dengan rahmat Allah. Bagaikan setimba air dicurah kelaut,  bagaikan segenggam garam dihambur ke laut,  bagaikan seteguk air hujan di tengah hujan yang lebat.

Inilah yang membuatkan aulia-aulia Allah sentiasa merasa takut dan gerun dengan Allah. Merasa Khauf dan Roja’, takut  dan harap kepada Allah.  Selalu bermohon akhir kalam dengan Husnul Khatimah kerana di tangannyalah hak mutlak Allah kepada siapa yang ingin diberikan iman dan kepada siapa yang ingin disesatkan.

Ya Allah ya tuhan kami… tiadalah daya upaya kami mengerjakan amal kebaikan kalau tidak dengan izin mu ya Allah dan tiadalah daya dan upaya kami menghindar kemaksiatan kalau tidak dengan izin mu jua ya Allah.

Wallahu A’lam

Kisah Mimpi Orang Soleh


Telah diciterakan daripada Abi Qolabah r.a, pada suatu malam beliau bermimpi melihat suatu kawasan perkuburan telah pecah ia dan keluar daripada setiap kubur itu orang yang di dalam kubur.   Masing-masing daripada mereka yang bangkit itu duduk di tepi kuburan mereka.  Kelihatan seolah-olah sesuatu yang bercahaya terang benderang di hadapan setiap seorang daripada mereka kecuali hanya seorang sahaja yang tidak mempunyai cahaya tersebut.  Lantas Abi Qolabah bertanyakan kepada penghuni kubur yang seorang ini “Apalah bagi ku tiada aku melihat antara hadapan mu itu nur seperti orang banyak”.  Maka jawab penghuni kubur tersebut “Adalah pada sekalian mereka itu anaknya dan taulannya memohon doa dan bersedekah mereka itu pada ibu bapa mereka dan dengan sebab itu di anugerahi Allah Taala ke atas mereka seperti yang anda lihat.  Manakala adalah bagi hamba seorang anak yang tiada soleh dan tiada meminta doa ia akan daku dan tiada memberi sedekah untuk ku.  Jadi dengan sebab itulah seperti apa yang engkau lihat sekarang serta malu ku terhadap jiran-jiran ku atas keadaan aku ini”.

Setelah terjaga Abu Tolabah dari tidurnya maka terus dipanggilnya anak kepada si mati tersebut.  Beliau menceritakan kepada anak si mati tersebut kisah pertemuan dengan orang tuanya dan bagaimana kedhoifan keadaan orang tuanya di alam barzakh.  Maka kata anak si mati itu “Sekarang hamba bertaubatlah dihadapan tuan hamba dan tiada lagi hamba kembali kepada berbuat maksiat selama-lamanya”.  Dengan rendah diri dan penuh harap si anak ini terus beribadat dan meminta doa dan membanyakkan bersedekah untuk orang tuanya.

Malam yang berikutnya sekali lagi Abu Qolabah didatangi mimpi yang serupa.  Namun kali ini Abu Qolabah melihat di dalam mimpinya si mati yang tidak bercahaya dahulu telah bercahaya melebihi cahaya matahari dan melebihi cahaya berbanding jiran-jirannya.  Maka berkata orang itu “Ya Aba Qolabah telah membalas akan dikau oleh Allah Taala akan kebajikan maka sungguhnya lepaslah aku daripada malu akan jiran ku”.

Wallau A’lam

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.