Bismillaahirrahmaanirrahim

Segenap pujian bagi Allah Azza Wa Jalla tuhan yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana. Yang Kaya ia daripada tiap-tiap yang lain dan berkehendak oleh tiap-tiap yang lain itu kepadanya. Lagi yang bersifat ia dengan tiap-tiap sifat kesempurnaan dan Maha Suci ia daripada bersifat dengan sifat kekurangan. Pencipta Alam ‘Uluwi yang bertingkat-tingkat dan Alam Sufli yang bertingkat-tingkat. Pencipta Syurga dan Neraka yang berlainan tingkatannya. Pencipta makhluk dengan berbagai mertabatnya.

Solawat serta Salam ke atas Junjungan kita Nabi Muhammad s.a.w. Sebaik-baik kejadian, padanya adalah kerahmatan kepada sekalian alam, kekasih yang dikasih, Cahaya bagi segala cahaya-cahaya, Rahsia bagi segala rahsia-rahsia. Penghulu di dunia dan Raja di akhirat. Dan ke atas keluarga baginda dan para sahabat baginda.

Wahai ikhwan!…

Jika ada sesiapa (Muslim atau Non-Muslim) yang mewatakkan paras rupa baginda Rasulullah, samada berbentuk karikatur, visual atau arca. Atau disamakan dengan seseorang seperti Rasulullah itu sama dengan Gautama Buddha, atau Confucius atau Hitler. Hatta disamakan atau dibandingkan dengan nabi-nabi lain sekalipun seperti Nabi Muhammad sama macam nabi Yusuf atau Nabi Yusuf lebih cantik dari Nabi Muhammad, maka telah ijma’ seluruh ulama dari ke empat-empat mazhab menghukumkan HARAM. Kalau seorang Muslim yang melakukannya boleh menggugurkan syahadat, wajib bertaubat dan memperbaharui mengucap dua kalimah syahadat. Kalau Non-Muslim yang melakukan maka wajib diperangi.

Kalaulah seseorang datang kepada kita dan berkata “Kamu ni macam Firaun”, atau “Kamu ni macam Abu Lahab”… apa reaksi anda? Adakah anda mengiakan tohmahan sahabat anda itu dengan alasan Firaun atau Abu Lahab itukan manusia serupa kita jua. Namun saya berpendapat  tentu sekali anda menafikan dengan mengemukakan hujah anda. Atau sahabat anda itu membandingkan orang yang anda sayangi seperti katanya “Tuan Guru Nik Aziz (maaf Tuan Guru) tu serupa je macam Najib” … Saya rasa kalau tak mata sahabat anda lebam, mungkin rumah sahabat anda tu kena baling telur busuk. Atau mungkin anda panjang akal dan menafikan dengan mengemukan hujah anda bahawa Tuan Guru Nik Aziz dan Najib tak serupa, jauh panggang dari api.

Mungkin anda mempunyai sebuah keluarga yang besar, katakan anak dari isteri pertama anda berjumlah 10 orang, 5 lelaki dan 5 perempuan. Isteri kedua anda melahirkan 9 orang anak, isteri ke 3 anda ada 8 orang anak dan isteri ke 4 anda ada 4 orang anak yakni kembar empat, 2 lelaki dan 2 perempuan.  Anda sebagai bapa kepada 31 orang anak akan mendapati kesemua anak-anak anda tidak sama dari segi fizikal atau keperibadian. Begitu juga kembar 4 dari isteri ke empat anda, walaupun seakan-akan serupa wajah-wajah kembar tersebut namun tidak sama dan ada perbezaan raut wajah mereka. Ini adalah kekayaan dan kebesaran Allah Taala mengadakan makhluk dan hambanya dengan sifat yang bersalahan semenjak nabi Allah Adam a.s. hingga sekarang.

Kita manusia ini ada mempunyai sifat persamaan dari sudut Biologi Kemanusiaan, seperti anatomi tubuh badan, dan sifat tabii seperti makan , minum, tidur, berpasangan, beranak pinak dan sebagainya. Walaupun sama dari sudut  biologi kepunyaan  seperti memiliki tangan , kaki, kepala, mulut, hidung dan sebagainya namun masih tidak sama dari segi aspek individual seperti rupa paras, bentuk besar, kecil, panjang , pendek, lebar, kurus, gemuk dan sebagainya. Lihatlah pada jari-jari tangan dan kaki anda, ibu jari tak sama dengan jari telunjuk, begitu juga dengan jari hantu, jari manis dan kelingking. Begitu juga ira-ira jari manusia.  Malahan mata kanan dan kiri anda pun tak sama.  Begitu juga sifat tabii yang lebih subjektif seperti selera, keinginan, kepandaian berfikir, kepercayaan, pegangan hidup dan sebagainya. Kalau kita pergi lebih terbuka yakni hubungan sesama manusia, kedudukan di dalam masyarakat, perbezaan pangkat, darajat, harta, keturunan seperti Tun , Syed, Tungku, Wan dan sebagainya memanglah berbeza. Begitu jugalah hubungan manusia dengan Yang Maha Pencipta, Allah Azza wa Jalla lagilah tidak sama antara seorang dengan seorang yang lain. Maka di dalam Quran Allah mengkelaskan golongan manusia mengikut mertabat mereka dengan Allah seperti Golongan Muqorrobin, Muttaqin,  Siddiqqin,  Mukhlisin, Muhsinin, ‘Abidin, ‘Alimin, Solihin dan sebagainya. Allah menyeru hamba-hambanya mengikut mertabat mereka begitu juga golongan engkar dan ma’asi dibezakan Allah daripada orang yang taat dengan panggilan seperti Kafirun, Musyriqun,  Munafiqun, Thoghut dan sebagainya.

Orang-orang yang jahil dan orang-orang yang ‘alim adalah mempunyai perbezaan yang sangat jauh, seperti maksud firman Allah:

“Di angkat oleh Allah orang-orang yang berilmu daripada kamu dan orang orang yang diberi ilmu dengan beberapa tingkat.” ( Al Mujadalah: 11)

Ibnu Abbas r.a mengatakan, “Untuk ulama beberapa tingkat di atas orang mukmin dengan 700 tingkat tingginya. Antara dua tingkat itu jaraknya sampai 500 tahun perjalanan.”

Saya mengemukakan dalil dan kiasan-kiasan di atas bagi membuka minda membetulkan salah anggap sesetengah golongan kita hari ini terhadap mertabat Nabi besar kita Sayyidina Muhammad sallallahi ‘alaihi wasallam. Anggapan-anggapan yang songsang seperti mengatakan:

  • Nabi Muhammad manusia serupa macam kita juga cuma dia dipilih oleh Allah menjadi Rasul.
  • Nabi Muhammad tu serupa macam Mat Mat yang lain juga, seperti Awang Mat, Adik Mat, seperti Mat-Mat kampung juga. Ibunya Aminah tak tahu pun Muhammad ini akan jadi Nabi.
  • Kita tak ada kene mengena dengan Nabi Muhammad sehinggalah umurnya 40 tahun.  Setelah menjadi Rasul baru kena mengena dengan kita.
  • Nabi Muhammad itu ibarat macam posmen,  tugas dia tukang bawak surat pada kita, yang penting ialah surat tu.
  • Marilah kita berfikir seperti mana Nabi Muhammad Berfikir.

Nabi Muhammad manusia serupa macam kita juga cuma dia dipilih oleh Allah menjadi Rasul.

Ungkapan di atas selalu kita dengar dan yang mengucapkannya bukanlah kalangan orang awam tetapi orang yang berilmu dan bertaraf Tuan Guru. Maka orang awam macam kita ini terikut-ikut memahami seperti itu jua tanpa menyedari dengan perkataan begitu telah merendahkan martabat Nabi Muhammad.  Kebanyakan mereka mengambil faham dari sepotong ayat Quran yang maksudnya  berbunyi:

Firman Allah :

“Katakanlah (wahai Muhammad): Sesungguhnya aku hanyalah seorang manusia seperti kamu, diwahyukan kepadaku bahawa Tuhan kamu hanyalah Tuhan Yang Satu; Oleh itu, sesiapa yang percaya dan berharap akan pertemuan dengan Tuhannya, hendaklah dia mengerjakan amal yang soleh dan janganlah dia mempersekutukan sesiapapun dalam ibadatnya kepada Tuhannya.
[Al-Kahf (18) : 110]

ANA BASYARUN MISTLUKUM bermaksud Aku bersifat Basyariah seperti kamu atau aku bertubuh badan manusia seperti kamu atau aku adalah BANGSA MANUSIA seperti kamu. Bersifat dengan sifat manusia seperti makan minum, tidur, sakit, sihat, berkeluarga, bermasyarakat, berekonomi, berpolitik dan sebagainya. Dan bukan bersifat dengan sifat Malaikat atau Jin. Kalaulah nabi itu bersifat dengan sifat Malaikat atau Jin  maka tidak ada satu manusia pun yang dapat menjadikan nabi tersebut sebagai ikutan.

Walaupun nabi itu Basyar seperti basyarnya manusia namun Darejat Basyariah nabi dengan Basyariah Manusia lainnya masih tidak sama. Nabi bertangan kita pun bertangan namun kearah mana tangan kita hendak kita gunakan memerlukan panduan atau tauladan dari nabi.  Begitu juga melihat, mendengar, berkata-kata, makan , minum, berpasangan, bermasyarakat dan sebagainya memerlukan suatu tauladan dan ikutan dari nabi.  Tentulah yang menjadi tauladan dan ikutan itu adalah yang terbaik peri kejadiannya, terbaik akhlaknya, terbaik basyarnya. Tanpa nabi tentu kita hidup seperti haiwan, makan apa sahaja, berkahwin dengan siapa sahaja, dengan ibu, dengan adik dan tidak ada istilah Sumbang Mahram. Kalaulah nabi itu serupa kita apa perlunya kita kepada nabi lagi?

Allah berfirman, maksudnya:

“Rasul-rasul itu Kami lebihkan sebahagian mereka atas sebahagian yang lain. Di antara mereka ada yang Allah berkata-kata (langsung dengan dia ) dan sebahagiannya Allah meninggikan beberapa derajat. Dan Kami berikan kepada Isa putera Maryam beberapa mukjizat serta Kami perkuatkan dia  dengan Ruhil Qudus.” (Al Baqarah: 253)

Dan firmannya lagi, maksudnya:

“Dan tuhan mu lebih mengetahui siapa yang ada di langit dan di bumi. Dan sesungguhnya telah kami lebihkan sebahagian nabi-nabi itu atas sebahagian (yang lain), dan kami berikan Zabur kepada Daud.” (Al Israa’ : 55)

Firman Allah di atas jelas sekali bahawa di antara para rasul-rasul, Allah telah mengurniakan mertabat yang berbeza-beza dan tidak serupa. Nabi Adam a.s. Allah mengurniakan pangkat Sofiyyallah, Nabi Ibrahim a.s. dengan pangkat Khalilullah, Nabi Musa dengan pangkat Kalimallah, Nabi Isa dengan pangkat Ruhillah dan Nabi besar kita Muhammad s.a.w. dengan pangkat yang tertinggi, termulia terbesar teragomg yakni HABIBALLAH atau KEKASIH ALLAH.

Kalaulah kita sesama manusia yang bukan nabi ini tidak mempunyai sifat persamaan dan di antara nabi-nabi pun mempunyai taraf yang berbeza mentelah lagi antara kita dengan nabi. Seperti batu dengan permata. Jadi mana bukti dan dalil mengatakan NABI MUHAMMAD SERUPA KITA JUGA?.

Nabi Muhammad Seperti Adek Mat, Awang Mat Seperti Mat-Mat Kampung?

Rentetan dari menganggap Nabi Muhammad macam kita juga maka keluarlah suara-suara pincang, cabul dan kurang ajar mengatakan Nabi Muhammad macam adik Mat, Awang Mat dan macam Mat-Mat kampung. Dan ibunya Aminah tidak tahu pun bahawa Muhammad ini akan jadi Nabi.

Allah berfirman yang maksudnya:

Janganlah kamu jadikan panggilan Rasul di antara kamu seperti panggilan sebahagian kamu kepada sebahagian (yang lain).” ( Al-Nur: 63)

Perlu ditegaskan di sini bahawa sebelum nabi kita itu zahir ke dunia ini TIDAK ADA SATU MAKHLUK PUN SAMADA DARI KALANGAN MALAIKAT, JIN ATAU PUN MANUSIA YANG BERNAMA “MUHAMMAD”. Nama Muhammad itu bukan ibunya yang beri nama, bukan datuknya Mutallib yang beri nama, tetapi Allah sendiri yang menamakan Muhammad itu. Muhammad bermaksud Yang Terpuji. Selain bernama Muhammad, Nabi mempunyai lebih kurang seratus nama-nama lain yang ada disebut di dalam Quran yang diharuskan untuk kita mengetahuinya.

Saidina Omar berkata, Rasulullah s.a.w. telah bersabda:

Maksudnya “Apabila Nabi Allah Adam a.s. melakukan kesilapan, baginda a.s. berkata: ya tuhanku, aku bermohon kepada dengan hak Nabi Muhammad s.a.w. akan keampunan bagiku. Allah berfirman: Wahai Adam, bagaimana engkau kenal Nabi Muhammad s.a.w. pada hal aku belum menjadikannya. Nabi Adam a.s. menjawab: Wahai Tuhanku, apabila engkau jadikan aku, aku mengangkat akan kepalaku dan melihat di tiang Arasy tertulis: LAA ILAAHA ILLALLAHU MUHAMMADUR RASULULLAHI, aku tahu sesungguhnya Engkau tidak menggandingkan kepada Mu melainkan sekasih-kasih makhluk kepada Mu. Allah berfirman: Benarlah katamu wahai Adam, sesungguhnya ia (Nabi Muhammad s.a.w.) adalah sekasih-kasih makhluk kepada Ku dan apabila engkau memohon dengan haknya, aku mengampunkan engkau, dan KALAULAH TIDAK KERANA NABI MUHAMMAD S.A.W. NESCAYA AKU TIDAK JADIKAN ENGKAU.” (Hadis diriwayatkan al Hakim dan disahkan oleh al Tabarani)

Di bawah ini saya nukilkan sebahagian daripada terjemahan kisah Maulud Nabi oleh Syiekh Wan Abdullah bin Wan Muhammad Amin atau Tok Syiekh Duyong  (1216 H) Terengganu seorang Wali Allah yang masyhur. Tok Syeikh Duyong adalah ulama Terengganu yang telah melahirkan ramai ulama-ulama tersohor seperti Tok Ku Paloh, Syeikh Abdur Rahman Gudang al-Fathani,  Haji Wan Muhammad yakni anak beliau sendiri yang pernah menjadi Mufti Terengganu setelah Tok Syeikh Duyung wafat. Beliau juga merupakan guru kepada dua orang sultan Terenggganu yaitu Sultan Omar dan Sultan Zainal Abidin III :

“Dan daripada Yazid ibni Abdullah ibni  Wahab, daripada mak saudaranya berkata ia bahawa adalah kami mendengar akan bahawa senya Siti Aminah tatkala mengandung ia dengan Rasulullah s.a.w., adalah ia berkata tiada aku ketahui akan bahawa senya aku telah aku mengandung dan tiada aku dapat baginya akan berat dan tiada sakit seperti barang yang mendapat oleh segala perempuan. Melainkan bahawa senya aku telah aku engkar akan terangkat haid ku. Dan datang akan daku oleh yang datang dan aku antara tidur dan jaga. Maka berkata ia bagiku adalah engkau ketahui bahawa senya engkau telah engkau mengandung. Maka seolah-olah aku berkata tiada aku ketahui. Maka berkata ia bahawa senya engkau sungguhnya telah engkau mengandung dengan PENGHULU INI UMAT dan nabinya itu nabi RAHMAT dan yang demikian itu pada hari Isnin. Berkata ia maka yang demikian itu setengah daripada  barang yang memberi yakin pada aku akan mengandung.

Maka tatkala hampirlah oleh beranak ku, datanglah akan daku oleh  demikian yang datang itu maka berkata ia “Kata oleh mu U’IDUHU BIL WAAHIDISSOMADI MIN SYARRI KULLI ZIIHASAD. ” Telah berkata oleh Siti Aminah maka adalah aku, aku berkata akan yang demikian itu dan aku ulang akan dia beberapa kali.

Dikatakan tatkala menghendaki oleh Allah ‘azza wa jalla menyatakan sebaik-baik kejadiannya Nabi Muhammad s.a.w. menyuruh ia akan Jibril bahawa mengambil ia akan tanahnya daripada tempat kuburnya yang mulia, maka mengambil ia akan dia kemudian mengelilingkan  ia dengan dia akan segala Syurga Naim. dan menyelam ia akan dia di dalam segala sungai Taslim. Dan memperhadapkan ia dengan dia kepada antara haderat Allah yang Maha Tinggi lagi yang Maha Besar. Dan baginya itu peluh yang mengalir ia maka menjadikan oleh Allah daripada demikian peluh itu akan nur tiap-tiap nabi yang besar-besar.

Maka sekalian anbia itu dijadikan mereka itu daripada nur nabi Sallallahu ‘alaihi wa sallam kemudian di taruhkan tanah itu pada belakang Nabi Adam dan dijatuhkan padanya akan nur yang terdahulu oleh kemegahannya dan mendahului ia maka jatuh di sana oleh berkeliling segala malaikat yang Muqorrobin sujud bagi nabi Adam. Kemudian mengambil oleh Allah Taala atas Nabi Adam beberapa perteguhan dan beberapa perjanjian. Ketika menyuruh ia akan malaikat baginya dengan sujud. Bahawa tiada menaruh ia akan yang demikian nur itu melainkan pada yang mempunyai kemuliaan dan kemurahan. Yang di sucikan sekaliannya daripada cemar-cemar dan ingkar maka senantiasa demikian nur itu berpindah ia daripada belakang yang pilihan hingga kepada perut orang yang merdeka. Hingga menyampai akan dia oleh tangan yang mempunyai kemuliaan dan kemurahan kepada Abdullah ibni Abdul Mutalib ibni Hasyim.

Maka tatkala hampir ketika sempurna perjanjiannya terbitlah di dalam AKUAN ini oleh yang terlebih bahagianya. Dikembangkan panji-panji kemuliaan kerena menyatakan kesudahan NUBUWWAH. Meniliklah bagi Abdullah oleh segala mata, telah meneranglah atasnya oleh segala cahaya dipakaikan dia akan kain keelokan. Berkata -kata ia dengan kenyataan dan FASOHAH. Berseru-serulah akan dia oleh lidah kehendak dengan katanya “Ya Abdullah, tiada patut perbendaharaan bagi barang yang engkau menanggung daripada pertaruhan itu melainkan perut siti Aminah yang tertegah daripada kejahatan lagi yang disucikan daripada cemar-cemar dan kekeruhan. Penghulu segala perempuan kaum BANI NAJJAR. Telah berhimpunlah oleh perhubungannya dengan perhubungan Siti Aminah. Nyatalah oleh jernih yakinnya meliputilah oleh perut Siti Aminah atas anaknya. Naik cemerlang oleh nur Nabi Sallallahu’alaihisalam pada dua keningnya.

Bermula oleh bulan daripada segala bulan yang telah mengandung ia akan dia itu datang akan Siti Aminah di dalam tidurnya oleh Nabi Adam dan memberi tahu ia akan dia bahawa senya telah mengandung ia dengan yang terlebih besar alam. Dan bulan yang kedua datang akan dia di dalam tidurnya oleh Nabi Idris dan mengkhabar ia akan dia dengan kemegahan Nabi Muhammad dan qadarnya yang Rais. Dan bulan yang ketiga datang akan dia di dalam tidurnya oleh Nuh dan berkata ia baginya bahawa senya engakau telah mengandung engkau dengan yang mempunyai Pertolongan dan FUTUH. Dan bulan keempat datang akan dia di dalam tidurnya oleh Nabi Ibrahim Al Khalil dan menyebut ia baginya akan kelebihan Nabi Muhammad dan tempatnya yang Jalil. Dan bulan yang ke lima datang ia di dalam tidurnya oleh Nabi Ismail dan mencitera ia akan dia bahawa senya anaknya itu yang mempunyai hebat dan TABJIL. Dan bulan yang ke enam datang akan dia di dalam tidurnya oleh Nabi Musa Al Kalim dan memberi tahu ia akan dia dengan mertabat Nabi Muhammad dan kemegahannya yang ‘Azim. Dan bulan yang ke tujuh datang di dalam tidurnya oleh Nabi Daud dan memberi tahu ia akan dia bahawa senya telah mengandung ia dengan yang mempunyai maqam yang MAHMUD kolam yang didatangkan dan panji-panji yang MA’QUD dan kemuliaan dan kemurahan dan mengkhabar ia akan dia  bahawa senya anaknya yang mempunyai maqam yang dipujikan. Dan bulan yang ke delapan datang akan dia di dalam tidurnya oleh Nabi Sulaiman dan menkhabar ia akan dia bahawa senya telah mengandung ia dengan Nabi AKHIRUZZAMAN. Dan bulan yang kesembilan datang akan dia di dalam tidurnya oleh Nabi ‘Isa Al Masih dan berkata ia baginya bahawa senya engkau sungguhnya telah ditentukan dikau dengan menyatakan agama yang SOHIH dan lidah yang FASIH.

Bermula tiap-tiap seorang daripada mereka itu berkata ia baginya di dalam tidurnya “Hai Aminah, apabila beranak engkau akan matahari kemenangan dan petunjuk maka namai oleh akan dia MUHAMMAD.  Maka tatkala keraslah dengan dia oleh kesakitan beranak dan tiada mengetahui dengan dia oleh seseorang daripada manusia nescaya menghampar ia akan dua tapak tangan mengadunya kepada tuhan yang mengetahui akan rahsianya dan berbisik-bisikkan maka tiba-tiba ia dengan Asiah perempuan bagi Fir’aun dan Siti Maryam anak ‘Imran dan jemaah daripada BIDADARI yang elok-elok, sesungguhnya telah menerangilah daripada keelokkan mereka itu oleh tempat itu maka hilanglah daripadanya oleh barang yang mendapat ia daripada segala dukacita dan AHZAN.”

Walaupun bahasa yang digunakan di atas sudah hampir 200 tahun lalu namun diharap pembaca dapat memahaminya. Suka saya menarik perhatian bahawa sebelum Siti Aminah mengandungkan Baginda Rasulullah s.a.w., bapanya Abdullah mempunyai ceritanya yang tersendiri. Di dalam rawi di atas dicerita kan sedikit sahaja iaitu: “Meniliklah bagi Abdullah oleh segala mata, telah meneranglah atasnya oleh segala cahaya dipakaikan dia akan kain keelokan. Berkata -kata ia dengan kenyataan dan FASOHAH. Berseru-serulah akan dia oleh lidah kehendak dengan katanya “Ya Abdullah, tiada patut perbendaharaan bagi barang yang engkau menanggung daripada pertaruhan itu melainkan perut siti Aminah yang tertegah daripada kejahatan lagi yang disucikan daripada cemar-cemar dan kekeruhan.”

Cerita mengenai bapa Rasulullah pula begini:

“Maka Abdullah bin Abdul Mutallib pada masa berada di Mekah menanggung ia akan NUR NABI SALLALLAHU ‘ALAIHISSALAM. Maka tidak ada siapa-siapa pada masa itu yang terlebih elok rupanya dan terlebih hebat daripadanya pada ketika itu. Maka apabila ia berjalan pada siang hari, bertaburanlah bau-bauan yang keluar dari tubuhnya dan apabila ia berjalan pada waktu malam maka berkilat-kilat cahaya di dahinya hingga naik cahayanya itu ke atas seperti pelita. Maka orang Mekah panggil Abdullah pada ketika itu dengan PELITA TANAH HARAM MEKAH kerana  banyak cahayanya. Sehingga bila berjumpa ia dengan perempuan nescaya jadi berkenan maka ramailah perempuan yang meminangnya. Tetapi akhirnya berkahwin Abdullah dengan Aminah (dikhabarkan lebih kurang 200 wanita yang tergila-gilakan Abdullah mati setelah mengetahui perkahwinan Abdullah) dan bersetubuh keduanya pada malam Jumaat dan terus mengandung pada ketika itu ia itu 1 haribulan Rajab maka berpindahlah Nur itu kepada Aminah. Maka bertambah elok dan cantik Aminah berganda-ganda lebih daripada dahulunya. Maka pada malam itu Malaikat Redzuan menyuruh dibukakan pintu syurga dan melaung-laung (memuji-muji)

Maka tatkala keluarlah Nabi s.a.w. daripada perut Aminah maka Siti Aminah pandang kepada Nabi s.a.w. maka dilihatnya Nabi sujud sambil mengangkatkan dua anak jari (setengah ulama mengatakan satu anak jari) ke langit seperti orang yang menghinakan dirinya. Kemudian dilihat oleh Siti Aminah awan putih turun dari langit hingga menutup akan Nabi dan dibawa oleh malaikat akan Nabi ke pihak Masyriq dan ke pihak Maghrib dan di bawa masuk ke dalam laut supaya dikenal akan dia.

Kemudian kata Aminah: Terbukalah awan daripada aku, tiba-tiba adalah Nabi s.a.w menggenggam kain sutera yang hijau berlipat akan sebagai lipat yang teguh dan keluar daripada kain itu air. Tiba-tiba (kata Siti Aminah)  ada suara yang berkata:

“Telah menggenggam  oleh Muhammad akan dunia sekaliannya. Tidak tinggal oleh makhluk melainkan masuk di dalam genggamannya hal keadaan taat kepadanya.”(yakni wajib mentaati Rasulullah).

Diceriterakan juga di dalam rawi di atas orang yang membidani akan Siti Aminah bukan bidan kampung, tidak juga bidan hospital tetapi orang yang menyambut baginda Rasulullah keluar dari perut Aminah diimport khas dari syurga yakni Asiah isteri Fir’aun yang telah diberkati dan Siti Maryam anak ‘Imran dan jemaah daripada bidadari. Begitulah hebatnya layanan dari Allah terhadap Habiballah waNabiAllah Muhammad s.a.w. Jadi layakkah kita mengatakan nabi Muhammad itu sama macam budak kampung dan betulkah kenyataan mengatakan ibunya Aminah tak tahu bahawa anaknya ini akan jadi nabi? Mana dalil dan mana kitab yang dijadikan rujukan?.

Nabi Adam apabila kehilangan anak kesayangannya, Habil maka Allah mengilhamkan kepadanya akan kezahiran seorang nabi dari anaknya yakni Nabi Syieth. Begitu juga nabi Musa bukan sahaja Allah mengilhamkan tentang kezahiran Musa kepada orang tuanya, maksud firman:

“Dan sesungguhnya kami telah memberi nikmat kepada mu pada kali yang lain, yaitu ketika Kami mengilhamkan kepada ibumu suatu yang diilhamkan, Yaitu ‘Letakkanlah ia (Musa) di dalam peti, kemudian lemparkan ia ke sungai (Nil)…” (Thoha: 37)

Malahan Allah membuka pengetahuan kepada Ahli Nujumnya Fir’aun tentang kebangkitan kerasulan Musa. Begitu juga dengan Nabi Zakaria yang ketiadaan zuriat, Allah mengilhamkan kepadanya dengan maksud Firman :

“Hai Zakariya, sesungguhnya Kami memberi kabar gembira kepada mu akan (beroleh) seorang anak yang namanya Yahya, yang sebelumnya Kami belum pernah menciptakan orang yang serupa dengan dia.” (Maryam: 7)

Begitu juga dengan nabi Isa, sebelum zahirnya Allah mengilhamkan kepada Siti Maryam melalui Jibril, dengan maksud Firman:

“Ia (Jibril) berkata: Sesungguhnya aku ini hanyalah seorang utusan Tuhanmu, untuk memberi mu seorang anak laki-laki yang suci”  (Maryam: 19)

Maka apakah susah bagi Allah untuk mengilhamkan kepada ibu yang disucikan Allah yakni Siti Aminah yang mengandungkan penghulu bagi sekalian rasul-rasul?

Wahai ikhwan, inilah dia cerita yang sampai kepada pencinta-pencinta Rasulullah dan pencinta ahlul bait baginda. Golongan yang rindu dan ternanti-nanti untuk berjumpa dengan Rasulullah s.a.w., samada semasa hidup, atau saat sebelum sakaratul maut. Semoga golongan yang menyamakan Nabi Muhammad itu seperti Mat-Mat kampung, segera bertaubat dan belajarlah untuk mengasihi Rasulullah. Kerana semasa hayat baginda pun telah melafazkan rasa rindu baginda terhadap umat baginda yang terkemudian, seperti sabdanya yang bermaksud:

“Betapa ingin aku bertemu dengan saudara-saudaraku!” Para sahabat berkata: “Wahai Rasulullah, bukankah kami ini saudara-saudaramu?” Rasulullah s.a.w menjawab: “Kamu sekalian adalah sahabat-sahabatku, saudara-saudaraku adalah suatu kaum yang belum lagi muncul.”

“Wahai Rasulullah, bagaimanakah engkau dapat mengenali suatu kaum dari umatmu yang belum lagi muncul?” tanya sahabat. Baginda menjawab: “Bagaimanakah menurutmu, bila seseorang memiliki seekor kuda yang putih kepala dan kakinya di antara kuda-kuda yang hitam legam, bukankah dia dapat mengenali kudanya?” “Tentu saja wahai Rasulullah!” jawab mereka.

“Sungguh, mereka akan datang dengan warna putih bercahaya pada wajah dan tubuh mereka disebabkan air wudhu’. Dan akulah yang akan mendahului mereka tiba di telaga (Al-Kautsar)!” jawab baginda.” (HR. Muslim)
Muhammad s.a.w. adalah seorang yang berakhlak Agong
Belum pernah ada dikalangan makhluk ciptaan Allah, dulu, sekarang dan selama-lamanya samada bangsa Malaikat, Jin atau manusia yang Allah puji dengan pujian KHULUQIN ‘ADZHIM, hatta malaikat yang Muqorrobin sekali pun, sebagaimana maksud firman:
“Dan sesungguhnya engkau benar-benar berbudi pekerti yang agung.” (Al-Qalam 4)
Adalah Allah itu memiliki 99 nama dan di antaranya ialah  Al ‘Adzhim, yakni  Yang Maha Agong, nama yang tidak boleh dimiliki oleh sekalian makhluk. Namun kita dibolehkan menamakan anak-anak kita dengan Abdul ‘Adzhim, tetapi Nabi Muhammad bukan sahaja Abdul ‘Adzhim malahan Khuluqin ‘Adzhim.  Jadi bila Allah sendiri memartabatkan akhlak Nabi Muhammad dengan KHULUQIN ADZHIM maka layakkah kita meletakkan mertabat Nabi itu setaraf BUDAK KAMPUNG?.  Siti Aisyah apabila ditanya oleh para sahabat akan akhlak Rasulullah, maka berkata Aisyah r.a.:
“Akhlak beliau (Rasulullah) adalah Al Quran.” ( Abu Dawud dan Muslim).
Apa yang kita faham dengan akhlak Rasulullah adalah Al Quran?. Apa pula yang kita mengerti dengan Al Quran?.  Al Quran itu adalah KALAMULLAH, yakni KALAM QODIM.  Bila dikatakan Kalam Qodim maka ianya bukanlah makhluk, bukan kalam makhluk. Jadi bila Kalamullah ini bukan kalam makhluk, bukan perkataan makhluk, bukan ucapan makhluk, maka apakah kelayakan makhluk untuk memahami Al Quran itu. Oleh itu  tidak ada suatu makhluk pun samada bangsa malaikat, jin atau manusia yang mengetahui dan memahami Al Quran tanpa melalui ilmu Nubuwwah. Tidak ada sesiapa pun yang dapat mengenal, membaca mahu pun menafsir Al Quran tanpa melalui pengenalan, pembacaan mahu pun penafsiran Nabi.
Bila Allah ingin makhluknya supaya mengenal, boleh membaca dan memahami kalam ilahiatnya maka Allah Taala menurunkan Al Quran dalam bahasa makhluk, yakni bahasa yang boleh difahami oleh makhluk. Maka Allah menciptakan sebaik-baik makhluk yakni Habiballah Muhammad Rasulullah s.a.w.  sebagai wakil,  perantara,  penterjemah atau sebagai kamus ketuhanan bagi menterjemahkan kalamullah supaya dapat mengenal oleh sekalian makhluk. Sebagaimana maksud firman Allah:
“Dan sesungguhnya kamu diberikan Al Quran dari sisi (Allah) Yang Maha Bijaksana lagi Maha Mengetahui.” (An Naml: 6)
Dan Firmannya lagi:
“Sesungguhnya Kami jadikan Kitab itu sebagai Al-Quran yang diturunkan dengan bahasa Arab, supaya kamu (menggunakan akal) memahaminya. (Al Zukhruf : 3)
Jadi Nabi Muhammad itu sendiri adalah Kalamullah dan juru bahasa ketuhanan, memindahkan bahasa ketuhanan kepada bahasa makhluk.  Nabi Muhammad adalah perantara bagi sekalian makhluk mentafsirkan wahyu ilahi. Segala firman Allah yang tidak berhuruf dan tidak bersuara ditafsirkan oleh Nabi Muhammad dengan perkataannya, perbuatannya,  suruhnya dan tegahnya. Ayat di atas juga membuktikan bahawa Nabi Muhammad sudah pun menerima Wahyu yakni Al Quran sebelum lagi Jibril di perintah menyampaikan Wahyu kepada Nabi.
Tanpa Jibril sekali pun Nabi Muhammad mampu mengerti Al Quran. Namun bagi menunjukkan bahawa setiap ilmu itu mesti melalui lidah guru dan Wahyu itu bukan ciptaan Muhammad, maka wahyu Allah disampaikan melalui Jibril. Sedangkan Nabi sudah pun termaklum tentang Al Quran sebelum Malaknya Jibril. Allah Taala pernah menegur Nabi Muhammad dengan maksud firman:
“Maka Maha Tinggi Allah, Raja Yang Hak dan janganlah kamu tergesa-gesa membaca Al Quran sebelum disempurnakan mewahyukan kepada mu. Dan katakanlah: Ya Tuhanku, tambahkanlah kepada ku ilmu pengetahuan.” (Thoha:14)
Teguran Allah kepada Nabi itu sebenarnya adalah untuk menjelaskan bahawa jiwa atau peribadi atau akhlaknya nabi itu sudah terterap dengan Al Quran. Nabi sudah tahu membaca Al Quran seawal kejadiannya. Sehinggakan semasa nabi berkhalwah di Gua Hira’ dan tatkala didatangi Jibril memeluk baginda dan menyuruh dengan “Baca olehmu ya Muhammad!…”. Nabi berkata “Ma ana biqorib…” Apa yang aku nak membaca (sedangkan Al quran itu sudah termaklum pada Nabi). Bukan bermaksud Nabi tak tahu nak membaca atau buta huruf tetapi Nabi tidak membaca apa yang ditulis oleh makhluk. Nabi tidak membuat rujukan dengan kitab-kitab karangan makhluk lainnya. Nabi hanya tahu membaca akan Kalamullah yang sudah termaklum di dalam ilmunya dan bukan kalam makhluk, juga bukan perantaraan makhluk lain. Menerima wahyu terus dari Allah dengan tidak melalui Jibril yang di namakan Hadis Qudsi dan juga berjumpa dan melihat Allah di Sidratul Muntaha semasa Mi’raj nabi sedang Jibril tidak mampu lagi  untuk menemani nabi juga menjadi dalil bahawa Nabi Muhamad adalah seorang makhluk teristimewa yang khusus.
Kita tak ada kene mengena dengan Nabi Muhammad sehinggalah umurnya 40 tahun?.
Kenyataan seperti di atas hanyalah suatu ciptaan untuk menolak amalan memuliakan nabi dengan  sambutan maulud Nabi s.a.w. Tidak ada suatu nas pun samada dari Al Quran, hadis, perkataan sahabat atau ijma’ ulama yang mengatakan sedemikian. Malahan ia amat bertentangan sekali dengan firman Allah di dalam Quran yang maksudnya:
“Sesungguhnya Allah dan para malaikat-Nya berselawat ke atas Nabi. Wahai orang-orang yang beriman, berselawatlah kamu ke atas Nabi dan ucapkanlah salam penghormatan kepadanya.” (Surah al-Ahzaab, 33: 56)
Persoalannya ialah BILA dan SAMPAI BILA  Allah dan para malaikat bersolawat dan salam keatas Nabi Muhammad dan Allah menyeru orang-orang beriman supaya bersolawat serta mengucap salam kepada Nabi BILA pula? Adakah setelah Nabi berusia 40 tahun baru bersolawat. Jawabnya ialah sejak di alam arwah lagi Allah dan para malaikat mendahului memuji Nabi Muhammad (Muhammad bermaksud Yang Terpuji) dengan bersolawat keatas Nabi DAIMAN ABADA berkekalan selama-lamanya. Kemudian Allah menyeru sekalian manusia yang beriman supaya bersolawat dan mengucap salam ke atas Nabi, maka Jumhur ulama dari kalangan Ahlussunnah Wal Jamaah menghukumkan bersolawat keatas Nabi ini WAJIB. Maka dihukumkan wajib mengucap solawat di dalam sembahyang fardhu dan sunat dan di dalam khutbah jumaat sebagai satu rukun serta disunatkan bersolawat pada bila-bila masa.

Kenyataan kita hanya kena mengena dengan Nabi pada usia Nabi 40 juga bercanggah dengan ayat Quran yang maksudnya:

“Tiadalah Kami mengutus engkau (wahai Muhammad) melainkan untuk menjadi Rahmat bagi sekalian alam.” (Al Anbiya : 107)
Ayat di atas menunjukkan bukan orang Islam sahaja yang kena mengena dengan Nabi malahan orang kafir dan sekalian alam pun kena mengena dengan Nabi Muhammad. RAHMATAN LIL ‘ALAMIN ini adalah rahmat bagi sakalian kainat, termasuklah malaikat,  jin dan manusia. Jadi kerahmatan yang diperoleh bagi sekalian alam itu adalah natijah dari dikeranakan oleh Nabi Muhammad. Tanpa Nabi Muhammad tiadalah diperoleh Rahmat pada sekalian maujudat. Sesuatu yang wujud jika tiada rahmat baginya sama sahaja seperti tidak wujud. Tidak wujud itu maknanya tidak ada. Jadi adanya alam ini, syurga, neraka, arasy, kursi, malaikat, jin, cakerawala, manusia dan binatang adalah dikeranakan oleh diciptakan Allah akan Nabi Muhammad.
Lihat apa kata Sultanul Aulia As Syeikh Abdul Qodir Jailani di dalam kitab Sirru Asrar nya:
“Makhluk yang pertama yang di ciptakan oleh Allah adalah Ruh Muhammad saw. Ia diciptakan dari cahaya JAMAL  Allah. Sebagaimana firman Allah di dalam hadis Qudsi “Aku ciptakan ruh Muhammad dari cahaya Zat Ku”.

Nabi Muhammad saw, juga bersabda: “Yang pertama diciptakan oleh Allah ialah ruh ku. Dan yang pertama diciptakan oleh Allah ialah cahaya ku. Dan yang pertama diciptakan oleh Allah ialah qalam. Dan yang pertama diciptakan oleh Allah ialah akal”.

Ruh, cahaya, qalam dan akal pada dasarnya adalah satu yaitu hakikat Muhammad.

Hakikat Muhammad di sebut “nur”, karena bersih dari segala kegelapan yang menghalangi untuk dekat kepada Allah sebagaimana firman Allah “Telah datang kepada mu cahaya dan kitab penerang dari Allah”.

Hakikat Muhammad di sebut juga akal, karena ia yang menemukan segala sesuatu. Hakikat Muhammad disebut qalam karena ia yang menjadi sebab perpindahan ilmu (seperti halnya mata pena sebagai pengalih ilmu di alam huruf pengetahuan yang tertulis). Ruh Muhammad adalah ruh yang termurni sebagai makhluk pertama dan asal seluruh makhluk sesuai dengan sabda Rasulullah saw:

“Aku dari Allah dan orang-orang mukmin dari aku”.

Dan dari ruh Muhammad itulah, Allah menciptakan semua ruh di alam ‘Lahut’ dalam bentuk yang terbaik yang hakiki. Itulah nama seluruh manusia di alam Lahut. Alam Lahut adalah negeri bagi seluruh manusia. Allah menciptakan Arasy dari cahaya zat Muhammad saw. Bagitu juga makhluk lain berasal dari zat Muhammad.

Selanjutnya ruh-ruh di turunkan ke alam yang terendah, dimasukkan pada makhluk yang terendah yaitu jasad. Sebagaimana firman Allah “Kemudian Aku turunkan manusia ke tempat yang terendah” Proses turunnya adalah setelah ruh diciptakan di alam Lahut, maka diturunkan ke alam Jabarut dan dibalut dengan cahaya Jabarut. Sebagai pakaian antara dua haram lapis kedua ini di sebut ruh ‘Sultani’.

Selanjutnya ia diturunkan lagi ke alam Malakut dan dibalut dengan cahaya Malakut yang disebut ruh ‘Ruhani’. Kemudian diturunkan lagi ke alam Mulki dan dibalut dengan cahaya Mulki. Lapis keempat ini di sebut ruh ‘Jismani’.

Selanjutnya Allah ciptakan badan (jasad) dari Mulki (bumi), sebagaimana firman Allah: “Dari bumi aku mencipta kamu. Kepada bumi aku mengembalikan mu. Dan dari bumi pula lah aku mengeluarkan mu”.

Setelah terwujud jasad, Allah memerintahkan ruh agar masuk ke dalam jasad, maka ruh masuk ke dalam jasad, sebagaimana firman Allah: Ku tiupkan ruh dari Ku ke dalam jasad”….

Berkata Syeikhul Islam, Hujjatul Islam Al Imam Habib Abdullah Alawi Al Haddad di dalam kitab karanagannya Sabilul Iddikar Wa I’tibar:

“Dan telah diriwayat bahawasanya Nabi Adam a.s. pernah mendengar Nur Junjungan Rasulullah s.a.w. bertasbih di tulang belakangnya (di sulbinya yakni pada ketika itu Nur Muhammad atau roh Junjungan Nabi s.a.w. berada dalam sulbi Nabi Adam a.s.) seperti bunyi kibasan burung. Maka tatkala Siti Hawa mengandungkan puteranya Nabi Syitsalaihimas salam, nur itu berpindah kepada Siti Hawa, kemudian kepada Nabi Syits a.s. pula. Kemudian berterusan nur tersebut berpindah-pindah kepada sulbi-sulbi yang suci dan rahim-rahim yang cemerlang, sehingga lahir Junjungan Rasulullah s.a.w. daripada (pernikahan) kedua ibubapa baginda yang mulia. Tidaklah pernah terkena Junjungan Rasulullah s.a.w. akan sesuatu kekotoran jahiliyyah dan kekejiannya, walaupun ketika itu berlaku pada kalangan mereka (yakni kalangan umat-umat terdahulu) pernikahan-pernikahan yang dianggap batil, maka Allah telah mensucikan baginda daripadanya, sebagaimana disabdakan baginda ‘alaihis sholatu was salam: “Aku dilahirkan daripada nikah dan bukan daripada perzinaan.”

Selanjutnya Habib Abdullah Alawi Al Haddad menukilkan tentang tafsiran dari Ibnu Abbas mengenai maksud firman Allah:

“Yang melihat engkau ketika engkau berdiri. Dia melihat gerak badanmu di antara orang-orang yang sujud.” (As Syu’ara: 218-219)

Ibnu Abbas menafsirkan bahawasanya maksud ‘gerak badanmu di antara orang-orang yang sujud’, ia ituberpindah-pindahnya zat baginda Sallallahu ‘Alaihiwassalam  dari satu sulbi Nabi kepada sulbi Nabi yang lain; umpamanya Ismail, Ibrahim, Nuh, Syeith dan Adam alaihimus salam dan hal ini tiada syak dan ragu lagi. (Sabilul Iddikar Wa I’tibar)

Jadi apakah kena mengenanya Nabi Allah Adam dengan Nabi Muhammad itu. Jawabnya ‘Ya’ memang kena mengena sejak seawal kejadian Nabi Allah Adam, dari maksud hadis yang diriwayatkan Umar r.a. “…..KALAULAH TIDAK KERANA NABI MUHAMMAD  S.A.W. NESCAYA AKU TIDAK JADIKAN ENGKAU.” (Hadis diriwayatkan al Hakim dan disahkan oleh al Tabarani).

Allah Taala mengurniakan makrifat kepada Nabi Allah Adam tentang Nur Muhammad seawal kejadian Adam a.s, yakni setelah dimasukkan ruh kedalam lembaga Adam, kemudian setelah Nabi Adam mula membuka matanya, ia melihat dengan pengenalan yang jelas akan kehebatan nama Muhammad tertulis pada setiap tiang Arasy dan di dinding-dinding syurga. Begitu juga perkara yang melibatkan pernikahan antara Nabi Adam dengan Siti Hawa di mana mas kahwinnya ialah bukan dari emas perak atau intan berlian tetapi harga mas kahwinnya ialah Solawat keatas Nabi Muhammad sebanyak sepuluh kali. Dengan itu Adam dan Hawa menjadi suami isteri yang sah. Malahan seawal-awal syafaat yang diperolehi oleh bangsa manusia ialah apabila Nabi Adam bertawassul dengan hak Nabi Muhammad bagi mendapatkan pengampunan daripada Allah Taala, lalu Allah mengampunkan Nabi Adam.

Makrifat tentang Hakikat Muhammad ini bukan dikurniakan Allah pada Adam a.s sahaja, malahan nabi-nabi lain pun pada hal Allah belum menzahirkan lagi Nabi Muhammad ke dunia ini. Di dalam kitab MUKASYAFAH AL QULUB karangan Al Imam Al Ghazali ada dinyatakan bahawa Allah swt telah mewahyukan kepada Nabi Musa  a.s:

“Wahai Musa , jika engkau ingin Aku lebih dekat kepada mu daripada ucapan mu kepada lisanmu, daripada rohmu  kepada badanmu, daripada cahaya pengelihatanmu kepada matamu dan daripada pendengaranmu kepada telingamu maka perbanyaklah membaca solawat kepada Nabi Muhammad.”

Diceritakan oleh para ulama bahawa tatkala Jibril diperintahkan untuk membentuk lembaga Nabi Adam namun tidak diketahui apakah rupa bentuk yang boleh dijadikan tauladan, maka Allah memperlihatkan rupa bentuk Nabi Muhammad kepada Jibril. Dengan rupa bentuk Nabi Muhammadlah sebagai rupa bentuk Manusia maka dijadikan panduan oleh Jibril bagi merupabentukkan Basyariah Adam. Oleh sebab itu digelarkan Nabi Muhammad itu sebagai SAIYIDUL BASYAR dan Nabi Adam itu ABU BASYAR.

Jelaslah sekarang bahawa kita bangsa Manusia ini ada kena mengena bukan sahaja dengan Nabi Adam Abu Basyar  malahan juga dengan Saiyidul Basyar Nabi Muhammad s.a.w.  samada zahir kita atau pun batin kita. Maka pendapat yang mengatakan kita kena mengena dengan Nabi Muhammad setelah Nabi berumur 40 tahun adalah pendapat yang berpandukan akal fikiran semata-mata. Sejak di awal kelahiran Nabi di tanah Mekah lagi manusia memperoleh menafaat daripada kebarkahan baginda. Dengan kezahiran baginda telah meruntuhkan suatu kerajaan yang besar pada masa itu yaitu kerajaan Maharaja Kisra dan padam pula api kaum Majusi di negeri Parsi di mana api tersebut merupakan tuhan yang disembah dan tidak pernah padam-padam sejak beberapa ratus tahun. Peristiwa Ibu susu Nabi, Halimatun Sa’adiah yang ketiadaan susu telah menjadi banyak susunya, peristiwa kambing yang kurus menjadi sihat dan gemuk, peristiwa kemarau yang panjang ielah didatangi hujan dan banyak lagi itu semua kerana kena mengenanya nabi seusia bayi lagi dengan manusia. Kena mengenanya nabi dengan masyarakat jahiliah seusia remajanya sehinggakan seluruh masyarakat jahiliah meletakkan kepercayaan kepada Nabi dan menggelarkannya sebagai Al Amin, membawa maksud orang yang terpecaya.

Demikian lagi Abdul Uzza yakni bapa saudara Nabi yang dikenali sebagai Abu Lahab yang kuat memusuhi Nabi telah diberi keringanan siksa neraka oleh Allah pada setiap hari Isnin hanya kerana beliau memerdekakan seorang sahaya yang menyampaikan berita kelahiran Nabi kepadanya. Juga mengorbankan seratus ekor unta untuk dijamu dan disedekahkan kepada orang ramai kerana kesukaannya dengan kelahiran Nabi s.a.w. Malahan banyak lagi peristiwa- peristiwa yang menjadi tanda kerahmatan dari Allah diatas kelahiran Nabi s.a.w. yang kena mengena dengan kita.

Nabi Muhammad itu ibarat macam posmen,  tugas dia tukang bawak surat pada kita, yang penting ialah surat tu

Allah berfirman yang maksudnya:

Janganlah kamu jadikan panggilan Rasul di antara kamu seperti panggilan sebahagian kamu kepada sebahagian (yang lain).” ( Al-Nur: 63)

Dengan amaran Allah itu layakkah kita mengumpamakan Nabi Muhammad itu macam Posmen pembawa surat?. Posmen tu tidak penting yang penting ialah surat itu. Surat yang dimaksudkan di sini mungkin Al Quran. Dengan lain-lain perkataan Nabi Muhammad itu tidak penting, yang penting ialah apa yang dibawanya yakni Al Quran. Huh!…Pelik, macamana diaorang ni bersyahadat ya? Kefahaman begini adalah berkaitan juga dengan kefahaman bahawa kita kena mengena dengan Nabi Muhammad pada usia Nabi 40 tahun, bermakna bila nabi wafat maknanya Nabi Muhammad sudah tidak ada kena mengena dengan kita, tak perlu memujinya, tak perlu mengingatinya, tak perlu membesarkannya, tak perlu mengadakan majlis maulud. Yang penting adalah apa yang dibawanya dari Allah yakni Al Quran.  Quran sudah lengkap dan ada pada kita, maka kitalah pula bawa Quran, kitalah pula bawa Islam.

Inilah bentuk-bentuk kejahilan ahli-ahli agama zaman mutaakhir ini. Mempelajari ilmu ugama yang disukat-sukat seperti menyukat beras atau gandum. Ilmu ugama yang mengikut sukatan pelajaran, samada sukatan pelajaran di sekolah-sekolah, di kolej-kolej hatta universiti sekali pun. Maka berbanggalah mereka mendapat pangkat Sarjana Muda, Doktor dan sebagainya dari Universiti Mesir, Jordan, Yaman, Madinah tapi bila balik ke negeri sendiri hentam ulama-ulama silam, hentam orang buat majlis maulud, hentam orang bertahlil, hentam orang bertariqat, kenduri arwah, mengaji kubur, bertawassul, tapi bertawassul kepada orang-orang besar untuk dapat kerja tak apa. Menolak apa sahaja amalan dan ilmu yang mereka tidak jumpa dalam sukatan pelajaran mereka maka mereka menuduh ilmu dan amalan ulama silam adalah pengaruh Hindu, pengaruh Kristian, pengaruh jahiliah, Israiliat dan sebagainya.

Mempelajari ilmu mengenal sifat-sifat Nabi biarlah sampai kepada  mengenal hakikat kenabian dan kerasulan Saiyidina Muhammad sallallahu ‘alaihissalam. Walaupun Nabi Muhammad telah diwafatkan oleh Allah Taala, namun baginda masih berhubung dan sentiasa mendoakan kepada umatnya, seperti sabda baginda yang bermaksud:

“Hidupku mengandungi kebaikan bagi kamu semua, kamu melakukan sesuatu dan diberikan penjelasan bagi kamu (diturunkan wahyu). dan kematianku, mengandung kebaikan bagi kamu. Amal-amal kamu diperlihatkan kepadaku, apabila kebaikan yang aku lihat, akupun mengucapkan puji syukur kepada Allah subahanahu wa ta’ala. dan apabila keburukan yang aku lihat, aku memohonkan ampunan kepada Allah subahanahu wa ta’ala untuk kamu.” (Hadith riwayat al Bazzar)

Rasulullahi sallallahu ‘alaihissalam bersabda:

“Para nabi hidup di dalam kubur, mereka (melaksanakan) solat (beribadah).” (Hadith riwayat Dailami)

Dan sabdanya lagi:

“Tidaklah seseorang mengucapkan salam kepadaku kecuali Allah subahanahu wa ta’ala mengembalikan nyawaku, sehingga aku membalas salamnya”  (Hadith riwayat Imam Ahmad)

Imam al-Baihaqi rahimahullaah menukil dalam Syu’ab al-Iman dari al-Halimi, katanya: “Sudah maklum bahawa hak Nabi sallallaahu ‘alaihi wasallam sangat mulia dan agung serta mulia dan terhormat bagi kita. Hak beliau atas kita jauh lebih daripada hak seorang tuan atas budak-budaknya (sahaya) atau orang tua atas anak-anaknya. Karena Allah Ta’ala telah menyelamatkan kita dari siksa neraka di akhirat melalui beliau. Allah juga menjamin arwah, badan, kehormatan, harta, dan keluarga serta anak-anak kita di dunia melalui beliau, juga menunjuki kita dengan perantara beliau. Sebagaimana juga apabila kita mentaati beliau maka Allah akan menyampaikan kita ke surga na’im. “

Jadi mengapakah kita terlalu biadap dengan baginda Rasulullahi sallallahu alaihi wasallam dengan berbagai-bagai ungkapan yang tidak layak bagi baginda seperti mengumpamakan seperti posmen, menyamakan seperti adik mat, mat-mat kampong dan sebagainya.

Setengahnya pula membuat perbandingan songsang “Mana baik kita menyambut Nuzul Quran atau menyambut Maulidurrasul”. Jawabnya bukan Nuzul Quran atau Malidurrasul sahaja yang patut kita sambut, malahan banyak lagi syiar-syiar agama yang patut kita perbesarkan, seperti maksud firman Allah:

“Sesiapa yang membesarkan syiar Allah maka ia adalah dari tanda ketaqwaan hati” (Al-Hajj : 32)

Al Quran adalah syiar Allah maka mengamal, menjaga dan memuliakan Al Quran adalah membesarkan syiar Allah. Nabi Muhammad juga syiar Allah, Nabi-nabi lain adalah syiar Allah, para sahabat, ulama-ulama, wali-wali Allah, tempat-tempat pemakaman atau kubur nabi-nabi, kubur sahabat, kubur para syuhada, kubur wali-wali Allah, tempat maulud nabi, rumah nabi, rumah isteri-isteri nabi, Baitullah, Baitul Maqdis, Masjid Nabawi, Masjid Quba’, Hajar Aswad, Hijir Ismail,  makam Ibrahim, Safa, Marwah dan banyak lagi semua itu adalah ikon atau lambang atau syiar-syiar Allah.

Kalau kita kasih kepada seorang ulama yang banyak jasanya kepada ugama Islam, yang banyak berkorban untuk ugama Islam samada ia masih hidup atau sudah mati, kemudian kita gantungkan gambarnya di rumah kita atau kita lekatkan pada kenderaan kita sebagai ikon atau simbol pejuang agama bukan bermakna kita jadikannya sebagai pemujaan atau sembahan. Itu maksudnya kita membesarkan syiar Allah kerana ulama tersebut telah berjuang memertabatkan agama Allah juga menjadi simbol di atas agama Allah. Begitu juga dengan mengibarkan bendera Islam samada kita pasang pada kenderaan kita atau di bumbung rumah kita juga termasuk di dalam membesarkan syiar Allah kerana ia adalah simbol kepada keagongan agama Allah. Jadi orang yang mengagongkan syiar Allah ini adalah termasuk di dalam tanda-tanda ketaqwaan hati kepada Allah.

Marilah kita berfikir seperti mana Nabi Muhammad Berfikir.

Suatu perkara besar yang juga membezakan kita sebagai manusia biasa dengan Rasulullahi Sallallahu ‘alaihissalam ialah kita menggunakan kekuatan akal fikiran, menggunakan otak untuk mentadbir-fikir dalam kehidupan seharian. Maka buah atau hasil dari fikiran itu bergantung kepada sebanyak mana kekuatan akal tersebut yang dikurniakan oleh Allah. Namun sehebat mana dan sebijak mana akal fikiran seseorang itu masih terkurung atau terbatas kepada hukum aqli. Akal tidak akan bebas selagi dikuasai oleh nafsu. Maka kita dapat lihat orang-orang yang bijak berfikir tetapi menurut hawa nafsunya, kebijaksanaannya tidak memanafaatkannya. Orang bijak tapi penipu, orang yang bijak tapi menzalimi rakyat, bijak berfikir tapi menolak hukum Quran. Jadi kebijakan akal fikiran tidak melepaskan seseorang itu dari api neraka. Apa yang menyelamatkan orang-orang yang berakal ialah dengan iman dan taqwa.

Tidak ada istilah berfikir bagi Nabi Muhammad. Gerak dan diam baginda adalah wahyu Allah.  Allah berfirman di dalam Quran yang maksudnya:

Tidaklah ia (Muhammad )  berkata dengan hawa nafsunya,   melainkan merupakan wahyu yang diwahyukan (kepadanya).” (An-Najm: 3-4)
Inilah Hakikat Kerasulan Nabi Muhammad sallallahu ‘alaihissalam. Wahyu yang difahami umum yakni wahyu yang diturunkan melalui Jibril semenjak Nabi berumur 40 tahun itu suatu hal. Namun firman di atas tidak membatasi Nabi itu dengan faktor umur baginda. Fathonah atau bijaksana baginda bukan dengan dari akal fikiran baginda tetapi kerana adanya Wahyu dari Allah Taala. Begitu juga sifat-sifat yang menghiasi diri baginda yakni Siddiq, Amanah dan Tabligh adalah kerana adanya Wahyu Ilahi pada baginda. Dan bukan baginda berumur 40 tahun baru baginda bersifat  Amanah, Siddiq, Tabligh dan Fathonah. Sifat-sifat kerasulan itu berdiri pada batang tubuh Baginda Rasulullah semenjak di awal kejadiannya dan untuk membuktikannya Allah Taala mencatitkan kalimah MUHAMMADUR RASULULLAH digandingkan bersama kalimah LAAILAHA ILLALLAH pada setiap tiang Arasy.
Akhir kalam, sempena bulan Rabiul Awal ini bulan yang ditsabitkan dengan kelahiran junjungan besar kita Muhammad Sallallahu ‘Alaihissalam marilah kita semua bersama-sama berbanyak-banyak mengucapkan solawat dan memberi salam kepada baginda. MUDAH-MUDAHAN MEMBERI TAUFIQ IA AKAN KITA OLEH ALLAH BAGI SEMPURNA MENGIKUT AKAN DIA (RASULULLAH), DAN MENGURNIA IA BAGI KITA SEMPURNA BERPEGANG DENGAN JALANNYA.  DAN MENJADI IA AKAN KITA AKAN SETENGAH DARIPADA ORANG YANG MENGHIDUP IA AKAN HUKUM SYARIATNYA, DAN MEMATI IA AKAN KITA ATAS UGAMANYA, DAN MENGHIMPUN IA AKAN KITA SERTA PERHIMPUNANNYA (RASULULLAH). AMIN.
Wallahu A’lam