Sejak Allah Taala menurunkan Nabi Allah Adam ke bumi  serta diajarkan Agama sebagai satu cara kehidupan untuk Nabi Allah Adam dan bagi disampaikan kepada zuriatnya. Untuk menghadapi kehidupan baru di bumi Allah Taala membekalkan benih-benih tumbuhan seperti gandum, padi dan kapas serta logam berupa besi daripada syurga. Jibril sebagai guru, melalui Jibril Nabi Allah Adam telah mengajarkan anak-anaknya ilmu berhuma dan ilmu membentuk besi menjadi peralatan keperluan seharian, ilmu melombong logam dan sebagainya. Dalam perkara ibadah, puasa tiga hari dalam sebulan yakni pada 13, 14 dan 15 haribulan setiap bulan telah disyariatkan kepada Nabi Allah Adam dan menjadi ikutan kepada anak cucunya. Begitu juga dalam bab perkahwinan, bab qurban dan ibadat-ibadat lain. Nabi Allah Adam mempunyai syariat nya yang tersendiri.  Nabi Allah Adam memperkenalkan ajaran yang berupa Syariat Nabi Adam, juga baginda menanamkan keimanan kepada Allah dan mengajarkan akhlak (ehsan) kepada anak-anak cucunya. Ilmu ladunni yang Allah perhiaskan kepada Nabi Allah Adam sejak dari dalam syurga lagi tidak hilang dari jiwa Nabi Adam.

Setelah kewafatan Nabi Allah Adam, Allah Taala menzahirkan Nabi Allah Syeith dari zuriat Adam sebagai pembaharu Agama. Seterusnya Nabi Idris, Nuh, Hud, Soleh dan dari satu generasi ke satu generasi sentiasalah Allah Taala mengutuskan nabi-nabi dan rasul-rasul bagi mengajarkan Agama kepada umat manusia sehinggalah nabi akhir zaman Sayyidina Muhammad Rasulillah s.a.w.  Walau apa pun bentuk syariat yang difardhukan berbeza-beza antara nabi-nabi dan rasul-rasul namun hakikat atau intipatinya tetap sama yaitu kembali kepada Zat Allah Taala, seperti maksud firman Allah Taala:

“Tidak aku jadikan jin dan manusia itu melainkan untuk menyembah (beribadat) ia akan daku”.

Maka diturunkan amalan syariat supaya dengan amalan syariat ini bagi menguat serta menambah keimanan dan dengan keimanan yang tinggi membuahkan intipati Agama yakni Ehsan. Ini bermakna Ehsan itu adalah tujuan terakhir atau maksud kepada firman Allah tersebut, yakni tujuan Allah menjadikan manusia dan jin adalah untuk menyembah Allah dan murod dengan menyembah itu ialah dengan Makrifatullah, kerana mustahil  sesorang dapat menyembah dengan tiada mengenal itu siapa yang disembah. Juga mustahil seseorang itu dapat Muroqabah dan Musyahadah yakni merasa diperhatikan Allah dan merasa berhadap-hadapan dengan Allah (pada makam Ehsan) tanpa mereka itu makrifat kepada Allah.

Secara mudahnya Allah memfardhukan pekerjaan syariat seperti Syahadah, sembahyang , puasa, zakat, dan  haji, serta fardhu yang dituntut sebahagiannya seperti bab Munakahat, Muamalat, Jinayat, berjuang, berjihad, politik Islam, juga pekerjaan-pekerjaan sunat, semua ini adalah Thoriqah umum (jalan) untuk menyampai dan memperkuatkan keimanan. Oleh jtu janganlah kita terhenti dan berpuas hati setakat pekerjaan Islam sahaja. Jangan kita merasa cukup dengan berlafaz Syahadat sahaja, atau berpuas hati dengan sembahyang, atau banyak mana kita keluarkan zakat atau berapa kali kita pergi haji. Juga jangan kita terhenti setakat politik Islam, kerana politik Islam bukan lagi kemuncak hidup beragama. Politik dan mendapatkan kuasa memerintah adalah Fadhu Kifayah kepada umat Islam. Allah Taala berfirman,yang maksudnya

“Wajiblah ada di antara kamu suatu umat (golongan) yang menyeru (manusia) kepada melakukan kebaikan, menyuruh berbuat baik dan melarang berbuat yang jahat. Mereka itulah orang-orang yang berjaya (berbahagia).” _Ali Imran:104

Bersabda Rasulullah s.a.w : “Jihad yang utama ialah mengucap satu kalimah yang benar (mengingatkan perkara yang betul) di hadapan pemerintah yang zalim.”

Allah berfirman: “ Serulah (manusia) kepada jalan tuhan mu dengan Hikmah dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang baik. Sesungguhnya tuhan mu Dialah yang lebih mengetahui tentang siapa yang tersesat dari jalan-Nya dan Dialah yang lebih mengetahui orang-orang yang mendapat petunjuk.” (QS. An-Nahl:125)

Menyeru dengan Hikmah hanya dapat dilakukan oleh ahli-ahli hikmah. Hanya orang-orang yang Allah perhiasi dengan Ilmu Hikmah yang mampu menegur dan membantah dengan cara yang baik. Ahli-ahli Hikmah adalah nabi-nabi dan para rasul, aulia-aulia  Allah dan orang-orang soleh yang mewarisi ilmu Hikmah  kerana mereka ini sudah mencapai kepada peringkat Muroqqabah, Muqobalah, Musyahadah, Mukasyafah, Tawajjah, yakni makam tertinggi pada mertabat Ehsan.

Allah berfirman: Dan barang siapa yang diberikan Hikmah maka sesungguhnya dia telah diberikan kebaikan yang banyak”

Sabda Rasulullah: “Seorang Alim memberi peringatan dengan ilmu dan adab.  Sedangkan orang yang bodoh memberi peringatan dengan pukulan dan marah.”

Rasulullah bersabda lagi: “Kamu sekalian harus mahu bergabung dengan Ulama dan mendengar perbicaraan Ahli Hikmah.  Allah  menghidupkan hati dengan cahaya hikmah seperti menghidupkan bumi dengan air hujan. “

Sabda Rasulullah lagi: “Satu kalimat yang mengandungi Hikmah merupakan sesuatu yang hilang dari Ahli Hikmah. Ia mengambilnya bila menemukannya.”

Mengerjakan pekerjaan syariat bukanlah sekadar mengumpul pahala atau takut kerana berdosa sahaja malahan semua ini adalah menjadi wadah untuk mendapatkan serta memperkukuhkan Iman. Tidak ada jalan lain untuk meningkatkan Iman melainkan dengan Islam yakni membuat yang disuruh dan meninggalkan yang ditegah syara’.

Sabda Rasulullah s.a.w: “Siapa yang menyaksikan sesuatu yang munkar hendaklah ia mengubahnya dengan tangan. Jika tiada kuasa maka dengan lisannya. Jika tiada berkuasa juga maka dengan hatinya dan yang demikian adalah selemah-lemah iman.”

Hadis di atas menunjukkan membuat yang makruf dan mencegah yang munkar adalah menunjukkan tahap keimanan seseorang.  Jadi Iman itu ada kuat dan ada lemah.  Oleh sebab itu ulama ahli Usuluddin membahagikan Iman itu kepada beberapa peringkat:

  1. Iman Taklid
  2. Iman Ilmu
  3. Iman A’yan
  4. Iman Hak
  5. Iman Hakikat
  6. Iman Kamil

Iman Taklid iaitu iman ikut-ikutan. Ia meniru atau mengambil daripada perkataan orang dengan tiada boleh mengeluarkan dalil. Iman ini ada pada kebanyakan orang awam. Kalau apa yang diikutnya atau orang yang diikutnya tu boleh menyesatkan maka tersesatlah ia dan jikalau orang yang diikutnya itu tergolong dari ahli-ahli kebenaran maka selamatlah ia. Iman sebegini adalah belum melepaskan diri dari api neraka. Imam Al-‘Asy’ari, Abi Bakrin Bakilani, Imam Malik dan Imam Haromain, berpendapat bahwa Iman Taqlid hukumnya adalah Sah, hanya orangnya berdosa mengikuti orang lain tanpa dalil. Manakala Ibnu ‘Aroby dan Imam Sanusi berkata Iman Taqlid  tidak Sah.  Untuk keluar dari iman taqlid ini ialah melalui belajar ilmu sekira-kira melepaskan had fardhu ain dalam ilmu fekah, usuluddin dan tasawwuf. Sabda nabi “Belajar ilmu itu fardhu ke atas muslimin dan muslimat”

Firman Allah:  artinya  “Adakah sama bagi orang yang dibukakan Allah akan dadanya kepada Islam yang mulia maka adalah ia beroleh cahaya daripada tuhannya.”

Iman Ilmu iaitu iman yang terhasil daripada makrifat pada segala ‘Aqaid dengan segala dalil. Iman ini adalah bagi orang-orang yang mempunyai dalil dan burhan. Namun iman sebegini juga tidak melepas seseorang itu dari api neraka, kerana mereka ini tahu mengenai pegangan ketuhanan sekadar makrifat ilmu yakni sekadar akal fikiran sahaja dan belum menyelinap ke lubuk hati dengan makrifat zouqi.  Golongan Iman Ilmu ini boleh berhujjah dengan dalil tentang adanya tuhan dan tentang perkara-perkara pokok dalam keimanan, tapi belum mendapat ‘Ain wujudnya tuhan, jadi rasa takut (taqwa) kepada tuhan belum sampai.   Iman sebegini masih lemah  kerana belum lagi merasa diperhatikan tuhan (muroqabah), mudah terjerumus kepada kesesatan dan kemungkaran dalam keadaan ia tahu sesuatu kemungkaran.  Oleh itu orang yang alim dalam ilmu fekah dan boleh membaca beribu-ribu kitab pun tak terlepas dari belenggu Iman Ilmu ini seperti apa yang dikiaskan oleh Al Imam Ghazali:

“Orang alim yang anda katakan memakan barang haram, ia tahu benda itu haram. Sama seperti anda tahu arak, babi, riba haram. Malah sama seperti anda tahu bahawa umpat keji, dusta, fitnah semuanya itu haram, tapi anda buat juga. Bukan kerana anda tidak percaya perbuatan itu maksiat, tapi anda dikuasai oleh hawa nafsu.  Hawa nafsu orang alim itu sama seperti hawa nafsu anda. Ia dikalahkan oleh hawa nafsunya sebagaimana anda dikalahkan oleh hawa nafsu anda. Tapi terdapat perbezaan antara anda dan si alim ya itu pengetahuannya, selain daripada hal ini ada banyak lagi perkara yang anda tidak tahu.

Firman Allah:  artinya  “Orang Arab (Badwi) berkata : Kami telah beriman. Katakanlah (wahai Muhammad) : Kamu belum beriman (janganlah berkata demikian, tetapi sementara Iman belum lagi meresap
masuk ke dalam hati kamu) berkatalah sahaja : Kami telah Islam”
.

Tidak ada suatu jalan yang telah ditempuh oleh ulama-ulama silam untuk memecah tembok Iman Ilmu ini kepada mencapai kepada peringkat yang lebih tinggi melainkan mengikut jalan Tarikat Tasawwuf  Sufiyyah. Sebagaimana apa yang diperkatakan oleh Hujjatul Islam Al Imam Ghazali dalam kitabnya Al Munqidh Min Ad Dalal :

“Aku sesungguhnya tahu dengan yakin bahawa para ahli tasawwuf itulah yang sebenar berjalan di ‘jalan’ Allah taala. Keindahan cara hidup mereka tidak ada tolok bandingnyaJalan mereka adalah yang paling benar, akhlak mereka juga paling murni.  Malah jika dikumpulkan semua akal para cendikiawan, kebijaksanaan ahli falsafah dan pengetahuan alim ulama yang menyelami rahsia syariat dengan tujuan hendak mengubah sedikit cara hidup dan akhlak ahli tasawwuf dan diganti dengan sesuatu yang lebih baik, tak akan dapat mereka berbuat demikian. Ini disebabkan oleh gerak dan diamnya ahli tasawwuf, samada pada zahir atau batin, berpandukan cahaya yang terang daripada misykat Nubuwwah (kenabian). Di sebalik cahaya kenabian itu tidak ada lagi di atas muka bumi ini cahaya lain yang boleh meneranginya.”

Iman A’yan iaitu iman yang terbit daripada makrifat hati kepada Allah Taala selama mana tiada ghaib daripada hatinya dengan muroqabah kepada Allah Taala. Iman ini bagi orang-orang soleh Ahli Muroqabah dinamakannya Makam Muroqabah. Iman ini sudah mula memasuki wilayah Ehsan. Makam Muroqabah tidak akan tercapai dengan ilmu Fekah mahu pun ilmu Usuluddin. Untuk sampai ke makam ini mesti melalui jalan ahli Tasawwuf Mukasyafah dan menjalani Thoriqah Sufiyyah yakni setelah mampu beradab dengan syariat Nabi menggabungkan ilmu Fekah, Usuluddin dan Tasawwuf serta mengambil Talqin dari Guru Mursyid.

Iman A’yan juga disebut ‘Ainul Yaqin.  Orang berada pada mertabat ini setelah melalui mujahadah membersihkan hati dari sifat-sifat yang ditegah syara’ (mazmumah) seperti riak, takabur, sum’ah, kikir dan sebagainya dan diperhiasi dengan sifat-sifat terpuji (mahmudah) seperti sabar, syukur, reda, zuhud, kana’ah, fakir, tawadhu’ dan sebagainya.  Maka akan terpancarlah dari cermin hati dengan Tajalli Asma dan Af’al Allah. Orang salik pada mertabat iman a’yan merasa apabila melihat sesuatu pada alam ini diperoleh dengan Muroqabahkan nama-nama Allah dan perbuatan Allah.  Namun iman pada mertabat ini tidak sunyi lagi dengan syirik khofi yakni sirik halus yang tersembunyi. Mereka pada mertabat ini beramal dengan hadhir hati mereka pada Allah Taala, menyempurnakan hukum dan rukun syariat , mengerjakan yang disuruh dan meninggalkan yang ditegah, suci dari riak,  takabur dan sumaah, tidak mengharapkan pahala dan tidak takut pada neraka, serta memandang dirinya Hamba Allah semata-mata. Memandang bagi pihak dirinya dan memandang dari Allah kepadanya adalah syirik yang samar-samar serta halus syiriknya (khofi). Bagi orang khusus, keberadaan mereka adalah suatu syirik dan syirik yang begini adalah tersangat besar dosa bagi mereka.  Namun Rasulullah telah mengajar kita yakni dengan membanyakkan istighfar dan bertaubat serta minta berlindung dengan Allah, merasa takut (Khauf) dan merasa harap (roja’) akan Allah boleh melepaskan dari syirik khofi ini.

Dari `Abdullah bin Huzn r.a berkata ia : Pada suatu hari Rasulullah s.a.w  berkhutbah, maka beliau bersabda : “Wahai manusia, takutlah kamu kepada syirik ini. Sesungguhnya dia lebih tersembunyi dari jalannya semut”, lalu berkata kepada beliau: “Bagaimana kami akan menjauhinya sementara dia lebih halus dari jalannya semut ya Rasulullah!”, beliau bersabda : “Kalian ucapkanlah! Ya Allah! Sesungguhnya kami berlindung dengan Engkau dari mempersekutukan Engkau dengan sesuatu yang kami ketahui, dan kami minta ampun kepada Engkau bagi apa apa yang kami tidak mengetahuinya”.

Iman Hak iaitu iman yang jadi daripada musyahadahkan Allah Taala dengan Ainul Basyirah(mata hati). Iman ini bagi orang Arif  lagi muqorrobin yang dinamakan Maqam Musyahadah. Mereka pada mertabat Iman Hak dibuka oleh Allah Taala akan rahsia hakikat kerasulan nabi Muhammad atau dipanggil Hakikat Muhammadiah seperti firman Allah: artinya  “Tidak dusta barang apa yang dilihat oleh (Muhammad) Fuad”.

Quran mengkelaskan mertabat hati kepada lima peringkat, pertama hati yang bernama Shodar yang dibukakan Allah akan Islam, kedua hati yang bernama Qolbi yang dibukakan Allah Taala akan Iman ketiga hati yang bernama Fuad yang dibukakan Allah Taala akan hakikat Muhammad, keempat hati yang bernama Labban yang dibukakan Allah Taala akan Tauhid dan kelima hati yang bernama Syaghof tempat keluarnya Mahabbah

Rasulullah SAW pernah bersabda:

“Sesungguhnya aku merindui ikhwanku”  Sahabat-sahabat bertanya: “ Bukankah kami ini ikhwan mu, siapakah Ikhwanmu ya Rasulullah?” Jawab Rasulullah “Kamu adalah sahabat-sahabatku, ikhwan ku ialah mereka yang tidak pernah melihatku, tetapi berpegang teguh pada ajaranku”

Saidina Ali k.w.j pernah bertanya kepada Uwais Al Qarni:

“Rasulullah telah memperkatakan berkenaan engkau sedang ia tidak pernah melihat  engkau dan menyebut engkau dan mengatakan engkaulah se afdhal Tabi’in.  Bagaimana engkau menggambarkan Rasulullah itu ya Uwais?”

Berkata Uwais Al Qarni, “Hei Ali, sesungguhnya adalah bagi kamu kelebihan berseronok-seronok, bersuka-suka dan beramah tamah dengan baginda, tetapt aku sama sekali tidak dapat kemuliaan dan kelebihan itu. Aku menggambarkan dan merupakan  Rasulullah pada pengelihatan ku lain daripada apa yang kamu lihat dengan mata kepala kamu dan pengelihatan kamu.  Rupanya Rasulullah kepada aku penuh bercahaya yang memancar memenuhi keseluruh pelusuk angkasa dan memancar keseluruh wujud ketara kepada aku rupanya, kepalanya yang mulia itu di singgah sana QOBAQOUSSAINI di Arasy dan kakinya yang mulia itu berpijak di bumi yang ketujuh…”

Apa pun hikmah daripada amanah Rasulullah kepada Umar dan Ali supaya mencari Uwais Al Qarni ialah untuk menzahirkan hadis bahawa terdapat satu jalan bagi orang-orang yang tidak semasa dengan Rasulullah untuk mengenal dan melihat HAKIKAT MUHAMMADIAH  pada maqam Haqqul Yakin seperti mana yang dinyatakan oleh Uwais tadi.  Itulah jua yang menjadi kerinduan, kegilaan dan kecintaan para pengamal Tariqah Suffiyyah, tidak ada yang lebih tinggi nilai ma’nikam dan terlebih besar nilainya berbanding se isi dunia dengan berjumpa Rasulullah.

Orang-orang pada mertabat ini adalah orang-orang yang Allah kurniakan Tajalli Sifat atau dalam istilah usuluddin Tauhidussifat.

Firman Allah:
“Wahai orang yang berjiwa mutmainnah, pulanglah kepangkuan Tuhanmu dalam keadaan redhai meredhai olehNya dan masuklah ke dalam golongan HAMBAKU dan masuklah ke dalam syurgaKU”.

Iman Hakikat yaitu iman yang jadi daripada keadaan tiada memandang ia melainkan Allah s.a.w.  Iman ini bagi orang yang ahli Muhaqqiqun yang dinamakan Makam Fana. Iman ini ialah iman nabi-nabi dan wali-wali Allah serta golongan KhowasulKhowas. Inilah makam yang tertinggi dari kalangan nabi-nabi dan wali-wali yang Allah kurniakan bagi mereka dengan Tajalli Zat

Firman Allah:

Maksudnya: Dan tatkala nabi Musa  datang pada waktu yang Kami telah tentukan itu, dan Tuhanmu berkata dengannya, maka nabi Musa berkata “Wahai Tuhanku perlihatkanlah kepadaku (akan ZatMu) supaya aku dapat memandang kepadaMU,  Allah berfirman “Engkau tidak sekali-kali akan sanggup melihatKu, tetapi lihatlah ke gunung itu, maka jika ia tetap berada pada tempatnya, nescaya engkau akan dapat melihatKu, maka tatkala Tuhan mentajallikan dirinya, kepada gunung itu maka hancur leburlah gunung itu, lalu Musa pun jatuh pengsan, setelah ia sedar semula berkatalah Musa Maha suci Engkau, aku bertaubat kepadaMu dan akulah orang yang awal beriman kepadaMu”

Firman Allah:
“Apa yang di sisi kamu itu pasti lenyap dan apa yang ada di sisi Allah tetap kekal”.

Rasulullah bertanya kepada Abu Bakar ” Apa yang ada pada engkau ya Abu Bakar?”  Abu Bakar menjawab “Allah dan Rasul”.  Jawapan Abu Bakar itu adalah keluar dari tingkatan kerohanian yang tinggi yang tidak sekali-kali beliau memandang pada Ananiah diri. Jadi layaklah jika Rasulullah berkata “Barang siapa yang ingin melihat mayat berjalan maka lihatlah pada Abu Bakar”.

Iman sebegini telah melepaskan daripada Syirik Khofi yakni syirik yang halus kerana tiadalah mereka itu memandang akan wujud diri melainkan Allah semata-mata.  Amal ibadat golongan ini adalah Minallah, Billah, Lillah yakni daripada Allah dengan Allah Bagi Allah. Golongan ahli Hakikat ini adalah orang yang fana akan dirinya sesuai dengan firman Allah “Apa yang di sisi kamu itu pasti lenyap dan apa yang ada di sisi Allah tetap kekal”.

Iman Kamil Juga disebut Kamalul Yaqin atau iman kamil mukamil.  Iman ini adalah iman yang tetap hatinya dengan Allah Taala.   Setelah hamba Allah itu melepasi makam fana pada iman hakikat, kemudian diangkat oleh Allah Taala dengan kemurahan dan kasih sayang Allah ke makam Baqo, disebut juga dengan Baqo Billah, yakni kekal dengan Allah Taala. Jangan tersalah anggap bukanlah bermaksud hamba Allah ini bersifat Baqo, kerana yang bersifat Baqo hanya  Allah Taala jua. Baqo di sini adalah Baqo dengan Allah, yakni Allahlah yang menetapkan hati-hati hambanya yang pilihan dengan ingatan yang berkekalan dengan tiada putus walau sekejip mata jua pun. Juga tidak menghalang tidur mereka itu atau jaga atau beranak beristeri atau bermasyarakat atau mentadbir dunia atau memiliki kerajaan dari mengingati Allah.

Nabi s.a.w bersabda, “Tidur orang alim lebih baik daripada ibadat orang jahil”. Orang alim di sini adalah Ahli Ilmu pada mertabat Kamalul Yakin. Jasad mereka kelihatan tidur manakala rohani mereka sentiasa beribadat kepada Allah Taala. Golongan ini diletakkan setara dengan para malaikat seperti firman Allah yang bermaksud :

“Allah telah menyatakan bahawa tidak ada tuhan yang berhak disembah melainkan dia dan dia telah mengakui pula para malaikat dan ahli ilmu sedang Allah itu berdiri dengan Keadilan. Tiada tuhan yang berhak disembah melainkan dia yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.  “

Orang yang Baqo billah ini ibarat sebelah kaki mereka di dunia manakala sebelah kaki lagi di negeri akhirat.  Jasad mereka di bumi hati dan ruh mereka di langit. Tubuh mereka dengan manusia manakala ruh mereka dengan Allah Taala. Wajah zahir mereka berhadap kepada alam shahadah manakala wajah batin mereka berhadap kepada Qurbah Allah Taala.   Oleh itu mereka sudah mampu mentadbir masyarakat, berada  di tengah-tengah masyarakat, menanggung amanah (sebagai warithatul ambia) Rasulullah meneruskan tugas dakwah. Berbeza dengan orang yang makam fana, hal keadaan mereka yang tenggelam dalam lautan tauhid membuatkan mereka tidak tahu akan keadaan mereka sendiri jadi macamana hendak memimpin umat.  Sesetengah daripada ahli fana ini kekal keadaan fana mereka sampai ke mati dan sesetengahnya pula Allah Taala menarik mereka kepada makam Baqo bercampur gaul dengan masyarakat. Adalah sukar untuk mengenali mereka melainkan diperkenalkan Allah, sebagaimana maksud firman:

” Aku sembunyikan wali-wali ku di dalam makhluk ku”

dan firman Allah:

“Wali-wali Allah adalah wangi-wangian Allah di muka bumi”

Jika Allah inginkan seseorang hambanya menghampirinya maka akan diketemukan dan terciumlah wangi-wangian Allah itu, yakni wali-walinya bagi memimpin orang-orang yang terpilih ke jalan Allah. Maka berdoalah kita supaya diketemukan dengan orang-orang soleh ini bagi menghampirkan kita kepada Allah.

Berkata Syeikh Abdul Qadir Jilani di dalam kitabnya Sirrul Asrar Fi ma Yahtaju Ilaihil Abrar:

“Wali-wali yang menjadi guru memiliki kehampiran yang serupa dengan Nabi S.a.w dengan Tuhannya (Ma’rifah, Qurbah dan Mahabbah). Amanah dan penjagaan terhadap ilmu ketuhanan yang serupa dianugerahkan kepada mereka. Mereka merupakan Pemegang sebahagian daripada kenabian, dan diri batin mereka selamat di bawah penjagaan Rasulullah s.a.w.”

Wali-wali yang menjadi guru dan pemimpin ummah adalah mereka pada makam Kamalul Yakin ini. Setengah mereka adalah Ulama lagi Umara yang dikurniakan kuasa memerintah seperti Kulafa al Rasyidin, seperti Umar Abdul Aziz, Sultan Salahuddin Al Ayubi, dan Sultan Mohammad Fateh. Sebahagiannya menjadi tempat rujukan oleh Penguasa atau khalifah Islam contohnya Al Imam Ghazali sendiri.   Sebahagiannya pula menjadi guru dan pemimpin kerohanian dan memimpin thoifah-thoifah kecil kaum suffiyyah yang melata di atas muka bumi Allah ini. Boleh dikatakan golongan-golongan ini sentiasa ada dan tidak terputus serta bersambung-sambung seperti rantai sejak dari zaman Rasulullah hingga sekarang.  Carilah golongan ini walau pun sampai ke negeri China (Istlmbat dari hadis nabi: “Tuntutlah ilmu walau sampai ke negeri China.”)  Mereka membawa apa yang Rasulullah bawa yakni AGAMA yang tersimpul pada nya ISLAM, IMAN DAN EHSAN

Wallahu A’lam